SUKAN > BERITA

All England 2026: Aaron-Wooi Yik Bakal Bertemu Rakan Senegara Wei Chong-Kai Wun Pada Suku Akhir

06/03/2026 09:01 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Malaysia sekurang-kurangnya mengesahkan satu tempat pada separuh akhir kejohanan All England 2026 selepas naib juara dua kali Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijadual berdepan rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi suku akhir di Birmingham, hari ini.

Dalam aksi pusingan kedua di Utilita Arena Birmingham pada Khamis, pasangan pilihan kedua Aaron-Wooi Yik berdepan cabaran sengit daripada rakan sepasukan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King sebelum menang 21-18, 15-21, 21-18 dalam pertarungan selama 63 minit.

Wei Chong-Kai Wun yang juga pasangan pilihan keenam kejohanan, menempah tempat ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin 21-14, 21-18 dalam masa 33 minit.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik memiliki sedikit kelebihan ke atas Wei Chong-Kai Wun selepas memenangi empat daripada tujuh perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikan satu lagi perlawanan melibatkan rakan senegara pada suku akhir tidak kesampaian apabila pasangan pilihan kelapan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, serta juara dunia remaja 2024 Kang Khai Xing-Aaron Tai tersingkir daripada kejohanan badminton tertua di dunia itu.

Sze Fei-Izzuddin tewas 21-23, 16-21 kepada pasangan Indonesia Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat, manakala Khai Xing-Aaron Tai kecundang kepada pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi 19-21, 17-21.

Dalam acara beregu wanita, pasangan utama negara yang juga pilihan kedua Pearly Tan-M. Thinaah mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Korea Selatan Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo 21-14, 21-14 dalam masa 43 minit.

Pearly-Thinaah bakal berdepan pasangan Indonesia yang tidak diletakkan sebagai pilihan, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.

Pasangan Indonesia itu mara ke pusingan seterusnya selepas mengejutkan pasangan pilihan keenam dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-11, 18-21, 21-17.

Terdahulu, cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki dan beregu campuran berakhir selepas Leong Jun Hao serta pasangan suami isteri Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas kepada lawan masing-masing.

Jun Hao tewas 9-21, 13-21 kepada pemain Jepun Koki Watanabe, manakala Soon Huat-Shevon tersingkir selepas dikalahkan pasangan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 16-21, 18-21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan