KOTA KINABALU, 7 Mac (Bernama) -- Sabah FC bertekad memburu kemenangan meskipun menjangkakan saingan sengit dalam aksi “Borneo Derby” berdepan Kuching City FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri di Kuching, Sarawak, malam ini.
Ketua Jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido berkata skuad “Badak” itu berada di landasan tepat untuk meraih kemenangan walaupun berdepan jadual perlawanan yang padat selain beberapa pemain utama masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan.
Beliau mengakui situasi itu memerlukan beberapa pemain memikul tanggungjawab lebih besar apabila terpaksa beraksi penuh selama 90 minit dalam dua perlawanan setiap minggu, termasuk perlawanan di tempat lawan.
"Pasukan semakin menunjukkan peningkatan setiap hari. Perkara paling penting ketika ini adalah memastikan pemain pulih secara fizikal dengan baik walaupun sesi latihan agak terhad kerana jadual yang padat.
"Saya sangat gembira dengan sikap dan komitmen yang ditunjukkan pemain menjelang perlawanan ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas kekalahan 0-1 kepada Kuching City dalam pertemuan pertama Liga Super sebelum ini, Garrido menegaskan beliau tidak mahu terlalu memikirkan keputusan lampau sebaliknya memberi fokus penuh kepada aksi yang bakal dihadapi.
"Saya tidak suka bercakap tentang masa lalu. Sejak awal lagi objektif kami adalah memastikan tiada pasukan yang boleh menewaskan kami dengan mudah.
"Perlawanan ini pasti sengit kerana kami menentang pasukan yang kuat dan bermain di tempat lawan. Ini adalah perlawanan yang semua orang mahu bermain dan ia memberi motivasi tambahan kepada pasukan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial