SUKAN > BERITA

Piala Dunia Berbasikal Trek 2026: Muhammad Fadhil Tidak Letak Sasaran Tinggi

15/04/2026 03:13 PM

PETALING JAYA, 14 April (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis tidak meletakkan sasaran tinggi pada saingan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan bermula 24 hingga 26 April ini.

Muhammad Fadhil, yang bakal beraksi dalam acara pecut berpasukan bersama Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohamad Akmal Nazimi Jusena, menyedari hakikat misi sukar untuk merebut pingat memandangkan ramai pelumba berkelas dunia menyertai saingan itu.

“Kita tahu untuk pasukan yang baru setahun dua bergabung untuk dapat pingat itu mungkin masih jauh sedikit.

“Kami akan cuba untuk ke pusingan pertama dahulu, itu yang penting,” katanya ketika ditemui selepas pembukaan stor jenama sukan dari Amerika Syarikat, Brooks, di sebuah pusat beli-belah di sini malam tadi.

Trio negara itu sebelum ini merangkul emas acara tersebut pada Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok, Disember lepas menerusi catatan 1 minit 00.520 saat (s).

Lebih manis, mereka juga meleburkan rekod kebangsaan iaitu 1:02.077s dipegang jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Muhammad Edrus Md Yunos pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Biarpun menyedari kelibat jaguh dunia dalam kejohanan tersebut, Muhammad Fadhil berkata beliau dan rakan sepasukan tetap berazam memberikan cabaran sengit kepada pesaing mereka minggu depan.

Kejohanan tersebut akan diserikan dengan kehadiran pemenang emas Sukan Olimpik dari Belanda Harrie Lavreysen, Nicholas Paul (Trinidad dan Tobago), Sebastien Vigier (Perancis), Luca Spiegel (Jerman) dan Danial Staniszewski (Poland).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan