KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Penganjuran SCORE Marathon 2026 oleh AIA Vitality bakal mencipta sejarah tersendiri sebagai acara larian terbesar di Malaysia, dengan 50,000 peserta dijangka mengambil bahagian dalam edisi akan datang di Putrajaya pada 18 dan 19 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata susulan permintaan yang sangat menggalakkan, pihaknya menyediakan tambahan 300 slot bagi menyertai larian berkenaan.
Beliau berkata acara tersebut, yang terus mendapat sambutan dalam kalangan pelari pelbagai peringkat, turut menyasarkan pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records sebagai acara larian terbesar di negara ini.
“Pencapaian 50,000 pelari ini merupakan detik penting bagi kami, namun yang lebih utama, ia mencerminkan bagaimana budaya larian di Malaysia telah berkembang.
“Apa yang kita saksikan bukan sekadar peningkatan penyertaan, tetapi juga perubahan dalam cara orang mendekati sukan ini, daripada pelari kali pertama hinggalah kepada mereka yang mahu meningkatkan prestasi,” katanya pada sidang media SCORE Marathon 2026 oleh AIA Vitality di Lumi Tropicana di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang, dijangka mencuri tumpuan apabila bakal membuat penampilan sulung dalam acara separuh maraton.
“Pada tahun lepas, menamatkan larian 10 kilometer sudah pun menjadi pencapaian peribadi terbaik buat saya. Tahun ini, saya mahu mencabar diri dengan menyertai separuh maraton di SCORE Marathon,” katanya.
Acara larian yang dijadual berlangsung di Dataran Putrajaya pada 18 dan 19 Julai itu akan mempertandingkan empat kategori utama - 5 kilometer (km), 10km, separuh maraton (21km) dan maraton penuh (42km).
Menambahkan lagi kemeriahan, edisi kali ini akan menampilkan barisan pelari elit serantau, termasuk pemegang rekod kebangsaan separuh maraton Malaysia, K. Prabudass serta pelari Singapura, Soh Rui Yong.
Prabudass, yang bakal membuat penampilan sulung di SCORE Marathon, menzahirkan keterujaannya meskipun masih dalam proses kembali ke prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan.
“Ini kali pertama saya bersaing dalam SCORE Marathon. Jadi saya sangat teruja dan tidak sabar, lebih-lebih lagi kerana akan berlari bersama rakan saya, Soh Rui Yong dari Singapura,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa laluan berbukit di Putrajaya memerlukan persiapan rapi dan tidak sesuai untuk mencatat rekod baharu, namun beliau tetap mempunyai sasaran peribadi.
“Kita tidak boleh menjangkakan untuk memecahkan rekod kebangsaan di laluan ini kerana ia berbukit, jadi saya mungkin akan menyasarkan catatan terbaik musim ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial