TINTA MINDA

COVID-19: GANJARAN IBADAH SAMA KERANA MASYAQQAH

29/04/2020 05:35 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Nik Roskiman Abdul Samad

Alhamdulillah, kita sekali lagi diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk memasuki Ramadan - bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Berapa ramai dalam kalangan kita yang begitu ingin sampai ke bulan Ramadan dan meraih segala kelebihannya namun tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Ketika seluruh dunia dilanda wabak COVID-19, kematian tidak lagi boleh diduga. Dianggarkan hampir 3 juta penduduk dunia kini didapati positif COVID-19 dengan hampir mencecah 200,000 kematian. Ramai daripada mereka adalah insan yang dalam keadaan sihat sebelum itu dan tidak pernah menduga bahawa mereka akan dijangkiti COVID-19, namun ketentuan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Mereka dijangkiti virus pembunuh ini dengan ramai penghidap penyakit kritikal seperti kencing manis, darah tinggi selain berusia lanjut gagal diselamatkan.

Tahun ini buat pertama kalinya kita di Malaysia dan di sebahagian besar negara-negara Islam di dunia, Ramadan disambut dalam keadaan pergerakan dikawal iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini atau ‘lockdown’ di sesetengah negara. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa PKP disambung lagi sehingga 12 Mei 2020 demi keselamatan rakyat. Walaupun kerajaan menyedari negara akan kerugian berbillion ringgit ekoran PKP selain menyukarkan rakyat meneruskan kehidupan secara normal, namun keselamatan setiap individu mengatasi segala kepentingan ekonomi dan kebendaan.

Istiqamah

Kehadiran Ramadan dalam suasana PKP dengan masjid dan surau ditutup bukanlah bermakna kita tidak mampu meraih ganjaran yang besar. Walaupun ibadah lazim seperti solat tarawih berjemaah, iktikaf atau solat fardhu lima waktu di masjid dan surau tidak dapat dilaksanakan ketika PKP, namun ia boleh dilakukan dengan penuh istiqamah di kediaman masing-masing demi mengejar pahala. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang mafhumnya menyebut kisah sahabat bernama Abu Burdah bin Abu Musa RA yang menemani Yazid bin Abu Kasyabah RA dalam suatu perjalanan, dan pada waktu itu Yazid sedang berpuasa. Abu Burdah berkata Yazid: “Saya berkali-kali mendengar Abu Musa berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Apabila seorang hamba sakit atau dalam menempuh perjalanan, maka dicatat baginya pahala kebaikan sebagaimana ketika dia bermukim dan dalam keadaan sihat”. (HR Ahmad No: 18848)

Para ulama mengambil pengajaran daripada hadis ini dengan merumuskan bahawa jika seseorang itu sentiasa istiqamah ketika sihatnya atau ketika bermukimnya melakukan sesuatu amalan soleh tetapi tiba-tiba sakit atau terpaksa menempuh perjalanan bermusafir sehingga menyukarkannya melakukan amalan sama yang sebati dengan kehidupannya, maka Allah SWT tetap memberinya ganjaran seperti mana dia melakukan amalan tersebut. Dalam hadis ini, walaupun seorang itu terpaksa berbuka puasa kerana musafir (bukan bertujuan maksiat) yang menyukarkan perjalanannya, namun dia tetap mendapat pahala kerana sekiranya bermukim,dia pasti akan berpuasa seperti kelaziman.

Sabar dan tenang

Begitu juga, kita boleh qiyaskan ketidakmampuan kita untuk pergi ke masjid bagi tujuan solat tarawih berjemaah atau iktikaf atau solat berjemaah atau solat Jumaat disebabkan masjid ditutup kerana COVID-19, sedangkan selama ini dalam keadaan biasa kita adalah orang yang istiqamah dan tidak pernah meninggalkannya, Oleh itu, bersabarlah dan bertenanglah kerana ganjaran yang sama daripada Allah akan kita peroleh seperti mana kita melakukannya.

Walaupun kita bukan sakit atau musafir, tetapi kesusahan (masyaqqah) wujud seperti mana juga kesusahan bagi orang sakit dan musafir sehingga tidak membenarkan mereka melakukan amalan yang sama. Maka, yakinlah nescaya Allah SWT tetap memberikan pahalanya kepada kita. Justeru itu, tetaplah berada di rumah dan mematuhi perintah Ulil Amri. Bersabarlah melakukan ibadah-ibadah sepanjang Ramadan di rumah sendiri buat sementara waktu sehingga wabak coronavirus yang melanda negara kita berlalu dengan segera.

— BERNAMA

Dr. Nik Roskiman Abdul Samad merupakan Felo Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Sains Politik

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)