NOTA KAMPUS

UNIVERSITI TANGANI CABARAN COVID-19

01/05/2020 12:04 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar

Cabaran pandemik COVID-19 telah mengubah landskap global termasuk pendidikan tinggi. Sehingga kini kampus universiti beroperasi secara terhad dan proses pembelajaran dilakukan secara dalam talian. Sebelum ini, faktor ekonomi dan politik mendominasi agenda pendidikan tinggi negara. Malah, sebahagian universiti awam tempatan baharu sahaja boleh menarik nafas lega mencapai sedikit kestabilan kewangan, setelah berusaha ke arah itu beberapa tahun yang lepas.

Dalam semua keadaan, universiti perlu menyediakan pelan daya tahan dan strategi pembangunan universiti yang mampan. Asasnya, kelangsungan universiti adalah penting sebagai institusi penyedia pendidikan tinggi negara. Apa pun yang melanda pendidikan tetap perlu dipertahankan.

Bagi menangani cabaran COVID-19, langkah penyesuaian dan perubahan operasi universiti perlu dilaksanakan. Malah, universiti turut sama menjadi sebahagian barisan hadapan negara bagi membendung penularan wabak tersebut.

Dari semasa ke semasa, universiti telah mengikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Ia melibatkan pengesanan, saringan dan pengawalan. Pihak universiti amat menghargai dedikasi petugas kesihatan di universiti yang turut menyumbang dalam mengawal risiko pandemik ini.

Perancangan Awal

Dalam langkah awal, universiti telah mengenal pasti perkhidmatan keutamaan yang perlu diteruskan. Dengan mengambilkira langkah berjaga-jaga, perkhidmatan perubatan dan kesihatan, keselamatan kampus, bekalan makanan serta kebajikan warga universiti terutama pelajar telah diberi keutamaan.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), warga universiti disarankan bekerja dari kediaman masing-masing. Dalam hal ini, empat perkara dicadangkan bagi memastikan perkhidmatan dan produktiviti universiti terus dikekalkan.

Pertama, setiap individu perlu mempunyai integriti tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Mereka perlu mencari kaedah kerja yang terbaik bagi menyempurnakan tugasan masing-masing. Di sinilah keperluan mempunyai minda kreatif dan inovatif.

Usaha ini termasuklah dengan menilai semula urusan kerja sebelum ini untuk diberikan penambahbaikan. Bagi warga universiti, kesempatan ini juga adalah masa terbaik untuk melakukan pelbagai kajian bagi meningkatkan keberkesanan kerja.

Kedua, semua warga universiti perlu terus berhubung dan berkomunikasi. Penggunaan pelbagai medium komunikasi termasuk aplikasi digital dan media sosial perlu dioptimumkan untuk terus berkongsi maklumat dan tindakan semasa.

Melalui kejelasan dan kekerapan komunikasi, sifat toleransi dan kesefahaman dapat diperkukuhkan. Apatah lagi perbincangan secara dua hala maupun pelbagai hala dan ketelusan maklumat adalah penting dalam mendepani krisis seperti penularan wabak ini.

Ketiga, warga universiti perlu kreatif dalam melaksanakan tanggungjawab kerja. Bagi universiti, kekuatan aset minda dan ilmu tentunya dapat mendorong penerusan produktiviti kerja.

Misalnya, proses pembelajaran dan pengajaran diteruskan secara dalam talian melalui pelbagai medium yang efektif. Manakala kaedah pentaksiran alternatif terus diteroka.

Aspek kreativiti juga turut penting dalam mengatasi cabaran akses pelajar terhadap kemudahan digital, menyediakan bahan pembelajaran yang inovatif dan mengekalkan motivasi belajar.

Selain itu, penerusan agenda penyelidikan turut memerlukan usaha kreatif dan inovatif. Pastinya cabaran COVID-19 akan membuka ruang penyelidikan baharu yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

Keempat, setiap institusi perlu mengadaptasikan keanjalan waktu bekerja. Kini, semua warga universiti diberikan keluasan ruang untuk menyempurnakan tanggungjawab masing-masing. Mereka juga digalakkan meneroka kaedah alternatif bagi mencapai matlamat kerja.

Dalam pada itu, warga universiti perlu meletakkan keseimbangan di antara tugasan kerja dengan urusan kehidupan lain dengan sebaiknya. Penyesuaian kerja yang diintegrasikan dengan tanggungjawab harian akan menghasilkan output kerja yang terbaik.

Pelbagai Inisiatif

Di peringkat tadbir urus universiti, pelbagai inisiatif penyelesaian telah dipertimbangkan dalam mendepani cabaran semasa.

Dalam hal ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah merangka pelan strategi mitigasi risiko bagi memastikan operasi universiti berdaya tahan dan produktiviti diteruskan.

Usaha ini adalah penting bagi memastikan perancangan tahunan universiti dicapai. Selain itu, transformasi universiti dalam aktiviti akademik dan penyelidikan juga dirancang dalam mendepani norma baharu pasca COVID-19.

Pada masa yang sama, kebajikan pelajar universiti tetap menjadi keutamaan. Universiti terus memberikan sokongan kepada pelajar di dalam dan di luar kampus termasuk menyediakan bantuan kaunseling. Malah, UTM juga telah melancarkan Tabung COVID-19 bagi mengumpul dana memastikan kebajikan para pelajar terjamin.

Selain itu, perkhidmatan universiti untuk pelbagai segmen masyarakat perlu diteruskan. Misalnya, para penyelidik UTM telah berinovasi dengan menyediakan pelbagai peralatan dan bahan perlindungan serta kemudahan kepada petugas kesihatan barisan hadapan.

Melihat secara positif, cabaran COVID-19 pastinya akan mentransformasikan perkhidmatan universiti ke arah lebih baik. Universiti perlu meneruskan amanah pendidikan dengan mengambil langkah-langkah strategik supaya terus mampan menghadapi semua cabaran.

Proses penambahbaikan universiti yang berterusan perlu dikekalkan berteraskan matlamat pendidikan untuk membangunkan potensi keinsanan, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan untuk untuk kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.

--BERNAMA

Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala Dr Mohd Bakri Bakar adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains UTM

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)