[MERENTAS RUANG] - BIL 2, 18 MEI 2020
Sebagai Menteri di KKMM, saya menjadikan ayat an-Nahl: 125 sebagai panduan – “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.”
Kita perlu melihat gambaran besar tentang dunia yang sedang berhadapan dengan pelbagai perkembangan global yang turut dirasai masyarakat negara ini. Sifat ekonomi semasa adalah global dan intangible serta bergantung kepada inovasi idea, maklumat dan perhubungan antara manusia yang berpaksi pada jaringan elektronik yang luas. Komunikasi bukan lagi sekadar satu sektor. Komunikasi adalah ekonomi.
Inilah sebabnya saya memilih “Memacu kecendekiaan (intelligence) dalam masyarakat” sebagai matlamat baru KKMM. Kencedekiaan bermaksud masyarakat yang mampu memperoleh dan memanfaatkan ilmu dan kemahiran. Inilah maksud visi kementerian, iaitu melahirkan masyarakat terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital. Manakala undang-undang, dasar-dasar dan program-program kementerian adalah wahana untuk mencapai matlamat tersebut.
Bagi merealisasikannya, pendekatan partisipatori yang melibatkan kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil akan digunakan. Oleh itu, sebuah Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia akan ditubuhkan.
Dasar-dasar dan program-program yang telah dilaksanakan dan sedang dirangka akan diteruskan. Ini bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Di samping itu, beberapa penambahbaikan atau pendekatan baharu akan juga dilaksanakan.
Justeru, misi kementerian yang sedia ada dikekalkan. Pertama, pengukuhan masyarakat yang bermaklumat, terhubung dan berdaya maju menerusi penerangan, penyiaran dan informasi yang berkualiti, berkesan dan berintegriti. Dan kedua, memperkasa jaringan dan infrastruktur telekomunikasi digital dan komunikasi sosial serta memacu pertumbuhan ekonomi digital selain terus komited dalam mengembangkan industri kreatif negara.
KKMM akan menumpukan kepada usaha-usaha meningkatkan akses, peluang dan dividen teknologi untuk semua lapisan masyarakat, dan memastikan tiada yang terpinggir; mendokong kebebasan media tanpa berkompromi terhadap berita palsu; meningkatkan semangat patriotisme; dan mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara dari ancaman siber.
KPI sedia ada diteruskan, tetapi ditambah dengan sasaran-sasaran lebih khusus, termasuk ranking antarabangsa. Kebitaraan tertentu perlu diperkukuhkan sehingga menjadi pelopor di pentas antarabngsa. Di samping itu, saya ingin menilai keberhasilan kementerian dari sudut-sudut fundamental, iaitu amalan budaya ilmu, orientasi idea dan pemikiran futuris.
Kita perlu mengamalkan budaya ilmu. Ia berasaskan tiga prinsip: meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi; sentiasa menuntut dan berkongsi ilmu; dan semua keputusan dan tindakan adalah berlandaskan ilmu.
Kerja-kerja perlu digerakkan oleh idea. Idea terbahagi kepada empat peringkat: ‘idea yang telah wujud’, ‘idea yang sedang dimajukan’, ‘idea yang sedang didebatkan’, dan ‘idea yang perlu diantisipasi’. Kita perlu praktikal dan melaksanakan apa yang berada di hadapan kita, iaitu ‘idea yang telah wujud’ dan ‘idea yang sedang dimajukan’. Contohnya, KKMM dilantik menerajui inisiatif ekonomi digital sebagai agenda nasional dan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjadi focal pointnya.
Tetapi, masa depan negara bergantung pada kemampuan kita menggarap ‘idea yang sedang didebatkan’ dan ‘idea yang perlu diantisipasi’.
Kerana itu, kita perlu bersikap futuris, contohnya, dengan mengikuti, dan seboleh-bolehnya mempengaruhi, pemikiran sains dan teknologi masa depan. Ini termasuk soal industri-industri masa depan dan teknologi 20-30 tahun akan datang.
Semoga wujud masyarakat yang cendekia serta berbudi, berbahasa dan berbudaya.
-- BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah