SUARA BELIA

MENANGANI TRANSISI PASCA NORMAL COVID-19

28/05/2020 02:22 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Muhammad Faisal Abdul Aziz

Hari ini, ketika masyarakat dunia berusaha menempuhi tempoh sukar ekoran pandemik Coronavirus atau COVID-19, pasti pelbagai perubahan dari sisi cara hidup masyarakat sedang berlaku. Seluruh masyarakat dunia hari ini terpaksa menjalani kehidupan yang amat berbeza apabila masing-masing terpaksa duduk di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan.

Perubahan ini secara selari merangkumi perubahan cara hidup dan interaksi individu dan keluarga, majikan dan pekerja, atlet sukan dan penyokong, serta rakyat dan pemimpin dan membawa kepada satu istilah yang sering digunakan hari ini iaitu normal baharu atau ‘new normal’.

Cadangan peperiksaan untuk program sarjana di universiti menerusi aplikasi atas talian seperti Zoom yang diawasi oleh pensyarah di satu tempat yang lain pasti sebelum ini dianggap di luar kebiasaan kita. Tidak kurang, Liga Perdana Inggeris (EPL) mencadangkan untuk meneruskan baki permainan liga tanpa penonton tetapi ditemani iringan rakaman sorakan penonton di dalam stadium tertutup.

Situasi yang berlaku sebegini pastinya adalah sesuatu yang tidak normal dan janggal tetapi secara berperingkat dari semasa ke semasa akan dianggap sebagai satu normal yang baharu.

Dalam perbahasan berkenaan normal baharu ini, ia adalah salah satu dari konsep besar post normal time dan post truth satu istilah yang dibawa pengkaji future studies Ziauddin Sardar. Beliau berpendapat kita kini memasuki fasa zaman post normal yang merupakan zaman transisi ke arah sesuatu yang tidak normal dari kaca mata kita sekarang.

Semangat zaman kita hari ini atau espiritu del tiempo diwarnai dengan ketidakpastian mutlak, perubahan yang terlalu drastik, penjajaran semula konsep kuasa dan pengaruh, perilaku yang diselubungi kekalutan dan pergolakan tanpa arah.

Zaman post normal seperti normal baharu ini pasti mengundang ketakutan akibat tiada pengetahuan akan apa yang berlaku di hadapan kita. Dalam tempoh normal sebelum ini, kita menyedari ke mana arah perubahan itu menerusi pemerhatian corak perubahan yang pernah berlaku, dan ia akan dapat dipantau sebaiknya. Maka, kita sentiasa dapat mencari penyelesaian ekoran kejayaan menunggang dan memandu perubahan tersebut dengan sebaiknya.

Dalam masa sama, apa yang lebih parah adalah pandemik COVID-19 menjadi pembakar yang memarakkan dan mempercepatkan lagi normal baharu dalam kehidupan kita. Ia juga secara tidak langsung menyedarkan kita akan normal baharu yang sedang berlaku dalam kehidupan kita tanpa ruang persediaan buat kita.

Normal Baharu Dalam Politik

Dalam situasi PKP susulan COVID-19, ia telah mendekatkan lagi interaksi antara rakyat dan pemimpin. Rakyat dengan cepat mengemaskini pergerakan pemimpin politik dan dalam masa yang sama pemimpin tanpa segan silu berkongsi semua berita di media sosial termasuk yang mengundang kecaman.

Senario ini pasti melebarkan lagi krisis kereputan kepercayaan (trust deficit) masyarakat ke atas pemimpin politik.

Normal Baharu Dalam Ekonomi

Dalam konteks ekonomi, satu normal yang baharu pasti dirasai ketika kita berada dalam wabak COVID-19. Ia seakan-akan mengesahkan secara mutlak aktiviti ekonomi tanpa menggunakan talian teknologi bakal berakhir.

Ketiadaan Bazar Ramadan serta penghantaran juadah berbuka puasa atas platform aplikasi teknologi akan menjadi kebiasaan masyarakat pada masa akan datang walau selepas berakhirnya pandemik Coronavirus.

Begitu juga sektor pekerjaan dari rumah sepenuh masa mungkin akan jadi kebiasaan untuk setiap sektor dan pastinya ia membawa kepada ketidakpastian sejauh mana ia akan melebar ke segenap sudut aktiviti pekerjaan dan ekonomi masyarakat. Adakah semua sektor pekerjaan bersedia untuk dipaksakan mengikut arus tersebut?

Normal Baharu Dalam Masyarakat

Dalam situasi sekatan pergerakan ini, masyarakat dunia telah terperangkap dalam alam maya seolah-olah ia adalah satu cara hidup yang mengatur kehidupan kita. Dari aktiviti pekerjaan harian awal pagi hingga petang, membeli barangan dan juadah makanan, sekolah atas talian anak-anak, hingga hiburan di waktu senggang menerusi Netflix akan memberi tekanan kepada manusia yang memerlukan ruang yang sewajarnya bagi mengadaptasi perubahan yang mengatur kehidupan mereka.

Bekerja di rumah secara dalam talian sambil diselami tanggungjawab mengatur aktiviti anak-anak yang berputar setiap hari dalam tempoh yang panjang, ditambah isu pendapatan yang semakin susut dikhuatiri akan menggegarkan dan meruntuhkan paksi norma -norma kehidupan kita.

Tempoh ‘me time’ yang dicari untuk tenangkan fikiran juga terpaksa bergantung dengan alam maya apabila menggunapakai pelbagai aplikasi sebagai cara bermeditasi tidak akan dapat menyelesaikan masalah dalam tempoh yang panjang.

Apalagi mereka yang duduk dalam “extended family” serta tinggal di dalam rumah yang sempit dan kurang selesa sudah tidak ada lagi jalan keluar untuk melepaskan tekanan.

Kekhuatiran ini ada asasnya jika kita merenung ke negara China iaitu trend yang sedang berkembang dalam masyarakat di sana selepas selesai sekatan pergerakan. Berdasarkan laporan Bloomberg bertarikh 31 Mac 2020, kadar perceraian di negara tersebut meningkat secara mendadak sejurus selepas sekatan pergerakan yang pasti harus diamati sebagai amaran kepada masyarakat dunia lain.

Selain itu, insiden keganasan rumah tangga juga meningkat berganda. Dalam laporan akhbar atas talian Sixth Tone, pihak polis di wilayah Yangtze River di tengah Hubei telah menerima 162 laporan keganasan rumah tangga pada bulan Februari meningkat tiga kali ganda berbanding 47 laporan yang diterima pada bulan yang sama tahun 2019.

Justeru, berasaskan trend normal baharu yang dinyatakan dalam sudut politik, ekonomi, dan sosial ini, kecenderungan ia menjadi norma yang negatif adalah ekoran kegagalan kita mengamati dan mengurus perubahan ini. Arusnya pasti akan melanda seluruh masyarakat dunia tanpa mengira sempadan.

Walaupun kesuntukan masa, kita harus berupaya dengan data dan laporan dari semasa ke semasa, untuk meneliti corak perubahan yang drastik ini dan kesannya sebelum ia membarah meruntuhkan norma kehidupan sedia ada.

Sebagai indikator, data harian dan insiden yang berlaku di China pasca pandemik harus diberikan perhatian untuk kita bersedia dengan inisiatif dan alternatif untuk membentengi transisi perubahan supaya ia dapat diredakan sesuai dengan ruang yang diperlukan oleh kita untuk menguruskannya.

Sudah pasti mekanisme penelitian corak perubahan post normal ini memerlukan kaedah penyelesaian yang mungkin juga new normal sifatnya.

-- BERNAMA

Muhammad Faisal Abdul Aziz merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)