Ramadan sentiasa dinantikan oleh seluruh umat Muhammad SAW saban tahun.
Namun, Ramadan 1441H kali ini disambut sedikit berbeza berbanding sebelum ini berikutan pandemik COVID-19 dengan rakyat Malaysia perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini PKP Bersyarat.
Jika dahulu malam pertama Ramadan, masjid dan surau dipenuhi umatnya tanpa mengira usia dan golongan bagi menunaikan solat tarawih bersama-sama. Namun, kali ini solat tarawih hanya boleh dilakukan di rumah atau tempat masing-masing.
Menariknya solat tarawih kali ini setiap keluarga akan diimamkan ketua keluarga ataupun ahli keluarga yang lain. Ada juga kali ini solat tarawih diimamkan oleh hafiz-hafiz cilik. Masya-Allah...Tanpa kita sedari, ketika ini madrasah Ramadan telah terbentuk dalam setiap keluarga.
Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)
Ramadan adalah bulan ibadah, bulan mujahadah, bulan adanya lailatulqadar dan bulan al-Quran. Jika diperhatikan, ibu ayah yang bekerjaya dapat merebut peluang untuk bertadarus dengan anak-anak semasa tempoh PKPB ini. Kalau sebelum ini, waktu seharian sangat terhad untuk diluangkan bersama ahli keluarga kini mereka dapat menghafal surah-surah tertentu selain bertadabbur ayat-ayat al-Quran atau bertadarus secara dalam talian.
Walaupun COVID-19 sedikit sebanyak merubah norma kehidupan masyarakat secara umumnya namun, amalan bertadarus secara dalam talian itu boleh merapatkan hubungan rakan-rakan yang sekian lama terputus disebabkan sibuk dengan tanggungjawab masing-masing. Dalam pada itu, terdapat juga kumpulan tadarus dalam talian yang terdiri rakan-rakan alam maya.
Serba sederhana
Setiap tahun, bazar Ramadan pasti sesak dengan pengunjung yang mencari juadah berbuka puasa. Namun, Ramadan versi pandemik ini ternyata berbeza selepas kerajaan melarang ia diadakan bagi mengelak penularan jangkitan virus. Tetapi, jualan juadah berbuka secara dalam talian pula semakin hebat.
Tidak kurang juga yang menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram untuk mendapatkan pelbagai resipi untuk dicuba atau berkongsi resipi berkenaan bersama rakan-rakan di media sosial. Perubahan baharu itu dilihat membawa manfaat apabila ramai yang memasak sendiri di rumah sekali gus mengelak berlakunya pembaziran makanan atau terlebih berbelanja di bazar Ramadan sebelum ini. Ini pastinya selari dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" Surah Al-Isra':27.
Sudah pasti, musim Ramadan dan Syawal kali ini mengajar ramai daripada kita untuk bersederhana dalam segala serbi kerana musibah pandemik COVID-19 belum menunjukkan pengakhirannya memandangkan vaksin untuk virus korona mengambil masa yang lama untuk diuji. Justeru itu, adalah lebih baik kita mula berjimat cermat dari sekarang sebagai persediaan hari mendatang.
Saling membantu
Pandemik COVID-19 yang menggerunkan dunia mendidik manusia menzahirkan sifat kasih sayang, saling membantu antara satu sama lain. Pada saat ini, ramai yang mengambil peluang bersedekah kepada golongan yang memerlukan seperti orang miskin, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan.
Malah, Ramadan versi Pandemik COVID-19 menampilkan golongan hartawan menginfakkan harta mereka ke jalan kebaikan. Perbuatan ini bertepatan dengan surah Saba’, ayat 39 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya, Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkan baginya. Dan apa saja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.”
Tidak terkecuali juga ada golongan yang mengambil peluang menjadi saluran bagi menghulurkan bantuan. Mereka mengumpul wang sumbangan orang ramai, seterusnya membeli barangan keperluan dan mengedarkan kepada golongan yang memerlukan. Ada juga yang mengumpul sumbangan orang ramai untuk digunakan membeli barangan dan menyediakan makanan bagi para petugas barisan hadapan berbuka puasa.
Indahnya Ramadan kali ini. Walaupun berada dalam musim pandemic, ramai insan berhati mulia meringankan tulang membantu golongan yang memerlukan selaiin mencari pahala syurga.
Syukur seadanya kerana Ramadan kali ini menyaksikan umat Islam masih dapat mengamalkan amal ibadat dengan selesa. Semoga Ramadan versi COVID-19 ini adalah yang terbaik buat kita semua. Sama-samalah kita manfaatkan Ramadan ini sebaiknya kerana barang kali ia adalah yang terakhir buat kita. Wallahua'lam.
--BERNAMA
Noor Adawiyah Ahmad Radzi ialah Pensyarah Bahasa Arab di Fakulti Bahasa dan Pendidikan, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)