TINTA MINDA

KENALI DAN PELAJARI BAHASA AL-QURAN

28/05/2020 05:19 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Mohd Nizwan Musling

Ramadan yang dilalui dalam cabaran pandemik COVID-19 kali ini sudahpun melabuhkan tirainya.

Walau suasananya agak berbeza, tetapi ia tidak menidakkan aktiviti tadarus dan tadabbur al-Quran yang dilakukan saban hari siang dan malam.

Diharapkan amalan ini dapat diterus dan dipertingkatkan sepanjang Syawal ini dan bulan-bulan mendatang.

Bahasa Arab bahasa al-Quran

Secara sedar ataupun tidak oleh setiap yang membaca dan menekuni al-Quran, kitab yang diturunkan secara beransur-ansur ke atas Rasullullah SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS adalah dalam bahasa Arab. Firman Allah SWT bermaksud: "Ia diturunkan dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata" (al-Syuara' 26: 195).

Ini secara tidak langsung telah menjadikan bahasa Arab agak istimewa berbanding bahasa-bahasa lain di dunia kerana kaitannya dengan bahasa kitab suci agama yang dijanjikan pemeliharaannya (terutama sistem sintaksis/tatabahasa) hingga kiamat.

Malah, pemilihan ini menjadikan sebahagian sarjana silam seperti Ibn Faris (wafat 395H) dalam karyanya Al-Sohibiy fi Fiqh Al-Lughah Al-Arabiyyah berpendapat bahasa Arab adalah bahasa yang paling baik disebabkan kelebihan dan keupayaannya menerangkan makna sebenar yang dikehendaki oleh Al-Quran, yang tidak mampu diungkapkan oleh bahasa-bahasa yang lain.

Sungguhpun begitu, penulis melihat ia tidaklah bermakna bahasa Arab itu lebih baik dan mulia berbanding bahasa lain yang secara linguistiknya sebagai bahasa natural. Ini kerana ia juga mempunyai empat peringkat utama sistem bahasa iaitu fonetik dan fonologi (bahasa Arab mempunyai 28 konsonan, 6 vokal dan 6 jenis suku kata), morfologi (pembentukan kata dan morfem secara derivasi dan imbuhan), sintaksis (pembentukan ayat melalui sistem fleksi, entiti dan susun atur perkataan) dan semantik.

Keunikan bahasa Arab

Kewujudan bahasa Arab bukanlah baharu semenjak munculnya Islam melalui penurunan wahyu al-Quran. Malah, ia sudah digunakan sebagai bahasa komunikasi dan kesusasteraan sejak zaman jahiliyah lagi.

Walaupun sebahagian sarjana linguistik Arab menganggarkan munculnya bahasa Arab adalah 150 tahun sebelum Islam, tetapi hakikatnya masih belum dapat dipastikan, kerana tempoh tersebut hanya dapat menggambarkan usia puisi atau syair Arab yang sampai melalui periwayatan yang kemudiannya dikompilasikan oleh Hammad Al-Rawiyah dalam Mu'allaqat yang mencakupi pelbagai tema syair milik Imru' al-Qais, Tarafa, Zuhayr, Labīd, 'Antara Ibn Shaddad, 'Amr ibn Kulthum, dan Harith ibn Hilliza.

Selain itu, ia adalah apa yang direkodkan dalam korpus klasik tatabahasa dan perkamusan Arab, seperti Al-Kitab karangan Sibawaih (yang wafat pada 180H) dan Lisanul Arab oleh Ibn Manzur (yang wafat pada 711H).

Uniknya, syair-syair ini kekal dapat difahami hingga kini tanpa sebarang proses penterjemahan penulisan semula ke dalam bahasa Arab moden. Keadaan ini berbeza dengan puisi sastera tertua bahasa Inggeris oleh Caedman pada abad ke-7 yang memerlukan penulisan semula ke dalam sistem bahasa Inggeris moden agar dapat dibaca dan difahami.

Keunikan ini sebenarnya adalah cabaran yang diberikan oleh al-Quran kepada para jagoan sasterawan Arab terutama golongan kuffar Quraish hingga kini untuk menandingi al-Quran sekiranya ia adalah rekaan Rasullullah SAW dan bukannya wahyu Allah SWT.

Cabaran ini dapat dilihat menerusi firman-Nya: “Katakanlah (wahai Muhammad)”: "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri" (Al-Isra' 17: 88).

Maka, cabaran ini langsung tidak dapat ditandingi dahulu, kini dan selamanya, sekalipun dari sudut yang lain, dilihat terdapat golongan yang cuba mengatakan di dalam al-Quran wujud kesilapan tatabahasa sebagaimana dakwaan golongan orientalis seperti John Burton pada 1988.

Korpus bahasa Arab benteng al-Quran

Dakwaan seperti di atas adalah jauh meleset apabila dijawab secara ilmiah. Prof. Dr. Fadhil Soleh Al-Samirraiy dalam satu wawancara program Lamasat Bayaniah menyatakan dakwaan seperti ini biasanya disebabkan dua faktor iaitu sama ada kejahilan atau dan sengaja ingin menimbulkan kekeliruan terhadap Islam.

Penulis melihat ada kebenarannya kerana kejahilan ini boleh timbul sekiranya pengetahuan tatabahasa Arab hanya terbatas pada tahap menengah (asas untuk tujuan pedagogi), sedangkan korpus atau bahan sumber autentik bahasa Arab merangkumi bahan bahasa yang sangat panjang usianya iaitu 150 tahun sebelum dan 150 tahun selepas Hijrah. Malah, ia merangkumi pelbagai kabilah penutur jati Arab.

Antara yang utamanya sebagaimana disebut oleh Al-Farabi dan dinukil oleh Al-Sayuti, iaitu: kabilah Asad, Qaish, Tamim, Taiyi', Huzail dan Kinanah. Ini termasuklah juga penggunaan bahasa-bahasa serumpun bahasa Arab (rumpun bahasa Semitik) dan pelbagai bentuk bacaan al-Quran (Qiroaat Quraniyyah) sama ada yang mutawatir atau shaz kerana ia tetap bahan bahasa yang tidak tertakluk dengan perkara ta’abbudi (amalan pahala).

Maka, keluasan korpus sumber bahasa inilah yang menjadi hujah bahasa bagi menjawab dakwaan wujudnya kesalahan tatabahasa, kerana penggunaan itu telah wujud sebelum turunnya al-Quran lagi, selain ia dapat dihuraikan melalui undang-undang bahasa dan teori linguistik moden seperti Teori Optimaliti.

Bahasa Arab di persada dunia

Bahasa Arab terus berkembang dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, politik dan kebudayaan, sehingga menjadikannya satu daripada bahasa yang mempunyai jumlah penutur yang sangat ramai.

Dianggarkan kini, ia mempunyai lebih 400 juta penutur yang mana lebih 130 juta daripadanya adalah penutur jati. Ia juga merupakan bahasa rasmi di 26 negara di dunia, dan merupakan satu daripada bahasa rasmi di pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Malah, selepas melihat kedudukan dan kepentingan bahasa ini, pihak PBB telah menetapkan 18 Dis setiap tahun bermula 2012 sebagai sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia.

Bahasa Arab dalam konteks kehidupan seorang Muslim pula tidak dapat dinafikan lagi kepentingannya. Malah, sebahagian sarjana Muslim seperti Al-Mawardi menyatakan bahawa mengetahui bahasa Arab adalah wajib ke atas setiap Muslim sama ada ia seorang mujtahid ataupun awam.

Ibn Taimiyyah pula menyatakan hukumnya adalah fardu kifayah untuk mempelajari bahasa Arab dan mengajarkannya kepada orang lain. Al-Imam Al-Syafie pula berpendapat wajib setiap Muslim mempelajari perkara berkaitan bahasa ini yang dapat membantu mereka dalam menunaikan kefarduan Islam.

Semua pendapat berkenaan jelas menunjukkan peri pentingnya bahasa Arab dalam kehidupan Muslim. Ini dapat dilihat melalui ungkapan dua kalimah syahadah, solat (miminum rukun-rukun qauli seperti fatihah), haji (talbiah), tilawah dan tadarus al-Quran, doa-doa ma'thur, dan syiar-syiar Islam lain seperti azan. Bahkan bagi mereka yang mahu menjadi seorang mujtahid, salah satu prasyaratnya adalah penguasaan mendalam bahasa Arab.

Maka, ayuhlah kita mengambil sedikit peluang dan ruang masa untuk mempelajari bahasa al-Quran ini yang sering kita baca dan tadaruskan.

Semoga dengan memahami sedikit bahasa ini dapat meningkatkan lagi kefahaman dan penghayatan ibadah kita dan ayat Al-Quran yang sarat dengan mesej, hikmah dan keajaiban yang tidak pernah tandus hingga ke hari Qiamat, sebagaimana diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib: "Al-Quran merupakan tali Allah yang ampuh yang keajaibannya tidak akan habis" (Al-Turmidzi, no 2906).

--BERNAMA

Dr. Mohd Nizwan Musling ialah Pensyarah Kanan (Bahasa Arab) di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)