Pihak kerajaan wajib mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan penularan wabak COVID-19 tidak merebak dengan serius di dalam pusat-pusat tahanan di negara kita, terutamanya pusat tahanan yang menempatkan warga asing serta pendatang tanpa izin.
Ini susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peningkatan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan pendatang asing tanpa izin di tiga pusat tahanan Imigresen baru-baru ini.
Penularan wabak COVID-19 ini tidak boleh diambil ringan walaupun ia berlaku di pusat tahanan kerana jika tidak dikawal dengan baik, ia boleh menular dengan cepat kepada sesiapa sahaja.
Belum ada vaksin
Wabak COVID-19 berpunca daripada sejenis virus baharu yang berbahaya dan mudah berjangkit. Sehingga kini, belum ada vaksin yang boleh mengubati mereka yang dijangkiti virus itu.
Sehingga kini, lebih lima juta orang dilaporkan telah dijangkiti virus COVID-19 selain lebih 300,000 orang maut akibat jangkitan itu di serata dunia. Golongan warga emas, individu yang memiliki tahap ketahanan atau imuniti tubuh yang lemah serta mereka yang mempunyai rekod atau sejarah penyakit kronik adalah berisiko tinggi untuk mendapat kesan sampingan kesihatan yang teruk sekiranya dijangkiti virus itu.
Oleh yang demikian, adalah penting bagi semua pihak berkenaan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan virus COVID-19 tidak merebak dengan teruk.
Bendung virus
Usaha membendung penularan virus COVID-19 perlu juga dilakukan dalam kalangan warga asing yang berada di negara kita terutamanya mereka yang masuk tanpa izin dan kini ditempatkan di pusat-pusat tahanan.
Adalah penting untuk memastikan perkhidmatan kesihatan diberikan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang serta status mereka.
Semua pusat tahanan yang menempatkan warga asing di negara kita perlu dipantau dengan lebih ketat lagi bagi memastikan semua tahanan berada dalam keadaan yang baik dan tidak terdedah dengan sebarang risiko jangkitan penyakit.
Pihak berkuasa berkaitan perlu memastikan semua pusat tahanan warga asing ini berada dalam keadaan yang selamat dan bersih. Aspek keselamatan dan kebersihan perlu diberi keutamaan di dalam semua pusat tahanan ini.
Semua pusat tahanan perlu dilengkapi dengan segala kemudahan terkini dan sesuai bagi memudahkan semua pihak yang berada di dalam pusat tahanan dapat dibendung daripada sebarang penyakit berjangkit.
Segala kemudahan yang sedia ada dalam pusat tahanan ini juga perlu diperiksa dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa untuk memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik.
Beri kesedaran
Semua tahanan warga asing perlu didedahkan dengan segala maklumat dan ilmu berkaitan dengan virus COVID-19. Mereka perlu diberi kesedaran dan pendidikan mengenai bahaya wabak ini serta diberi pendedahan dan pendidikan terhadap langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mengelak dijangkiti virus itu.
Mereka juga perlu diberitahu mengenai simptom jangkitan virus COVID-19 serta tatacara bagi mendapatkan sebarang jenis bantuan kesihatan yang sewajarnya.
Memandangkan kalangan tahanan warga asing ini terdiri daripada individu yang datang dari pelbagai negara, adalah penting supaya pihak berkuasa memberi segala kesedaran, pendedahan dan pendidikan dalam bahasa yang mudah agar mereka memahaminya.
Pihak berkuasa juga perlu memastikan semua pusat tahanan warga asing tidak berada dalam keadaan terlalu sesak. Sebarang jenis wabak akan mudah berlaku sekiranya ramai orang berada dalam satu tempat dan pada masa sama, lebih-lebih lagi berada di dalam tempat yang tertutup seperti pusat-pusat tahanan.
Pihak berkuasa perlu melaksanakan proses penjarakan sosial di dalam pusat-pusat tahanan bagi mengelakkan penyebaran COVID-19. Namun proses penjarakan sosial hanya boleh dilakukan sekiranya pusat-pusat tahanan ini tidak terlalu sesak dengan ramai tahanan.
Semua pusat tahanan yang menempatkan warga asing perlu juga menyediakan pelan pencegahan komprehensif terhadap penularan virus COVID-19.
Kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara kita juga penting bagi menjayakan segala usaha yang sedang dan ingin diambil bagi membendung penularan virus COVID-19.
Pelan pencegahan komprehensif ini perlu meliputi tatacara pengurusan mereka yang disyaki dijangkiti virus COVID-19 di dalam pusat tahanan, penyediaan pusat kuarantin dalam pusat tahanan, proses lawatan orang luar terhadap tahanan dan lain-lain lagi.
Apa yang paling penting sekali ialah untuk setiap pusat tahanan ini menyediakan kemudahan perubatan serta pemeriksaan perubatan yang sempurna terhadap semua tahanan yang berada di dalam pusat tahanan masing-masing.
Semua tahanan tanpa mengira status kewarganegaraan mereka perlu diberi segala kemudahan dan pemeriksaan kesihatan yang sempurna sekiranya kita ingin membendung penularan wabak COVID-19 dengan cepat dan dengan jayanya.
--BERNAMA
Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)