[MERENTAS RUANG] - Bil 5, 8 Jun 2020
Pada 8 Jun 2020, rakyat Malaysia merafak sembah setinggi-tinggi tahniah atas Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Memandangkan kita masih berperang dengan pandemik COVID-19, maka, Yang di-Pertuan Agong sendiri telah bertitah supaya semua acara sambutannya ditangguhkan.
Dalam menangani COVID-19, keprihatinan Yang di-Pertuan Agong amat luar biasa. Baginda berangkat turun padang melihat sendiri bagaimana para petugas barisan hadapan memikul tanggungjawabnya di hospital dan di jalan raya. Ketika bertitah merasmikan sidang Parlimen pada 18 Mei lalu, baginda mengajak semua Ahli Parlimen berdiri dan bertepuk tangan mengucapkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang berjuang menyelamatkan rakyat daripada COVID-19.
Keprihatinan baginda terhadap untung nasib rakyat mendapat pujian satu negara. Prinsip “Raja dan rakyat berpisah tiada” adalah amalan baginda. Hal yang sama diamalkan oleh Permaisuri Agong dan ahli-ahli keluarga baginda.
Pada kesempatan ini, ada baiknya kita mengapresiasi kebijaksanaan para pemimpin terdahulu yang mengekalkan institusi Raja-raja Melayu, dengan inovasi semasa, iaitu Raja Berperlembagaan dalam sistem demokrasi berparlimen.
Satu daripada peranan Yang di-Pertuan Agong ialah sebagai payung perpaduan rakyat.
Sejarah perpaduan kita tercemar dengan rusuhan di Kuala Lumpur yang mengorbankan 196 nyawa pada 13 Mei 1969. Sebelum ia merebak, kerajaan telah segera mengambil tindakan mengawal ketenteraman awam dengan mengisytiharkan darurat. Parlimen telah digantung dan pemerintahan negara ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai Tun Abdul Razak Hussein.
MAGERAN telah bertindak pantas dan cemerlang. Hasilnya, beberapa dasar baru telah dilancarkan. Bagi ekonomi, dilancarkan Dasar Ekonomi Baru. Manakala bagi perpaduan, dilancarkan Rukun Negara.
Kebanyakan daripada kita hafal lima prinsip Rukun Negara, iaitu:
- Kepercayaan kepada Tuhan
- Kesetiaan kepada Raja dan Negara
- Keluhuran Perlembagaan
- Kedaulatan Undang-undang
- Kesopanan dan Kesusilaan
Tetapi, ada yang terlupa bahawa terdapat pendahuluan Rukun Negara, iaitu, bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya:
- Memelihara satu cara hidup demokratik;
- Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
- Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak;
- Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;
Rukun Negara telah diisytiharkan oleh KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Tunku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin, di Kuala Lumpur, pada 31 Ogos 1970.
Demikianlah, bagaimana dalam situasi yang genting, Yang di-Pertuan Agong telah menyelamatkan negara dengan cara memupuk kembali perpaduan dalam kalangan rakyat.
Pada tahun ini, genaplah 50 tahun usia Rukun Negara. Dalam hal ini, pada 3 Jun lalu, saya telah mempengerusikan satu perbincangan tentang Program Khas Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020. Pelbagai aktiviti telah dicadangkan dan akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan.
Pada 4 Jun pula, saya telah berbincang dengan Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique. Kami bersetuju supaya dibawa cadangan ke Kabinet agar beliau mengetuai sebuah pasukan petugas untuk menyediakan kandungan dan program jangka panjang ‘Pendidikan Rukun Negara’. Tujuannya ialah supaya Rukun Negara diserapkan secara formal dan tidak-formal, dan dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan medium, agar ia benar-benar dijiwai dalam hati secara berkekalan dan berkesan.
Semua ini adalah dengan matlamat untuk memperbaharui komitmen dan meningkatkan penghayatan Rukun Negara, termasuklah kefahaman terhadap kepentingan dan peranan Institusi Yang di-Pertuan Agong.
Dirgahayu Tuanku! Daulat Tuanku!