NOTA KAMPUS

VIVA VOCE DALAM TALIAN DI ARUS NORMAL BAHARU

10/06/2020 08:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Fariza Puteh-Behak

Tahun 2020 menyaksikan kemunculan norma-norma baharu di dalam negara kita dari pelbagai aspek seperti penjanaan ekonomi, aktiviti-aktiviti sosial termasuk pengurusan pendidikan tinggi. Dengan adanya prosedur operasi standard (SOP) seperti larangan perhimpunan dan saranan penjarakan sosial, beberapa proses pengajian pelajar, khasnya pelajar siswazah, agak terkesan.

Dalam pengurusan pengajian siswazah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil berani menjana norma-norma baharu untuk memastikan kelestarian pengajian pelajar siswazah di kampus USIM. Pelajar pasca siswazah lazimnya berbeza dengan pelajar ijazah pertama. Kebanyakan pelajar siswazah terdiri daripada pelajar yang lebih matang, ada yang telah berada di alam pekerjaan, malah ada yang memegang jawatan yang tinggi di institusi dan jabatan masing-masing.

Sehubungan itu, pelajar siswazah lebih menekankan keupayaan sesebuah institusi pendidikan tinggi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam memastikan kemelut virus COVID-19 yang sedang melanda dunia tidak memberikan kesan negatif terhadap pengajian mereka secara keseluruhan.

Viva voce dalam talian

Antara proses pengajian siswazah yang terkesan adalah proses viva voce atau pun sesi pembentangan akhir bagi pelajar Sarjana dan juga Doktor Falsafah untuk memastikan pelajar layak dianugerahkan ijazah.

Lazimnya sesi viva voce dijalankan di dalam sebuah bilik khas yang melibatkan kehadiran sekurang-kurangnya 10 ahli panel yang terdiri daripada pengerusi, penyelia-penyelia pelajar, pemeriksa dalaman, pemeriksa-pemeriksa luaran, wakil fakulti, pelajar dan juga urus setia Pusat Pengajian Siswazah. Proses pembentangan ini akan berlangsung selama beberapa jam. Ini sudah tentu bercanggah dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekarang ini iaitu larangan perhimpunan di ruangan tertutup dan saranan penjarakan sosial.

Peka dengan kepentingan untuk memastikan pengajian pelajar siswazah tidak terjejas, Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Sains Islam Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menjalankan sesi viva voce untuk pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah secara dalam talian.

Setelah mendapat kelulusan Senat Universiti, Pusat Pengajian Siswazah telah menjalankan sesi viva voce secara dalam talian bermula daripada bulan April yang lalu, dan sehingga kini telah menjalankan lebih dari 15 sesi viva voce dengan penglibatan pelbagai pihak dari seluruh negara dan juga pelosok dunia.

Tidak jejas kualiti

Usaha ini telah mendapat reaksi yang positif daripada pelbagai pihak yang terlibat dengan sesi viva voce tersebut. Salah seorang pemeriksa tesis dari institusi luar melahirkan ucapan penghargaan kepada pihak pengurusan kerana telah menjalankan satu sesi viva voce yang profesional dan tidak menjejaskan kualiti viva voce walaupun pelajar dan semua panel yang terlibat tidak berada di dalam satu bilik fizikal seperti sebelumnya. Malah beliau menyatakan akan membawa usul yang sama ke institusi pengajian tinggi beliau.

Pusat Pengajian Siswazah juga menerima beberapa pesanan ringkas dari beberapa ahli panel viva voce tentang keberkesanan dan kelancaran sesi viva voce dalam talian yang dikendalikan oleh pusat pengajian siswazah di USIM.

Jaga kepentingan pelajar

Antara pembelajaran yang dapat digarap melalui pengalaman menguruskan sesi viva voce secara dalam talian ini; Pertama, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, seharusnya kemelut Covid-19 ini tidak menjadi batu penghalang untuk institusi pendidikan tinggi dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada semua lapisan pelajar.

Menjaga kepentingan pelajar dari segi memastikan setiap proses pembelajaran dan juga penilaian berjalan seperti biasa tanpa melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada musim koronavirus ini perlu diberikan keutamaan.

Kedua, setiap pihak yang terlibat perlu berfikiran terbuka dan tidak taksub kepada norma- norma pengurusan sesi viva voce sebelum ini. Dengan sifat keterbukaan ini, pelbagai pihak dapat meneroka cara–cara baharu dalam menjalankan sesuatu perkara seperti viva voce dalam talian ini.

Ketiga, dengan adanya sesi viva voce dalam talian bukanlah alasan untuk mengabaikan nilai-nilai dan kualiti yang diperlukan dalam pengajian seseorang pelajar pada peringkat Sarjana mahupun Doktor Falsafah. Setiap nilai dan kualiti perlu diperhalusi supaya lebih ketara dan tidak dikompromi sepanjang sesi viva voce dalam talian tersebut.

Menyusuri cabaran

Walaupun perkembangan kemelut COVID-19 di Malaysia ini sudah menunjukkan tanda-tanda penurunan yang positif, namun Malaysia dan juga dunia masih lagi dalam perjuangan menentang musuh yang tidak kelihatan ini dalam tempoh yang agak lama.

Justeru, institusi pendidikan tinggi masih lagi berhadapan dengan cabaran-cabaran norma baharu dan perlu tampil berani untuk menyusuri cabaran dengan menyediakan inisiatif-inisiatif yang lebih proaktif untuk terus memberikan pendidikan berkualiti kepada setiap lapisan pelajar.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr. Fariza Puteh-Behak ialah Timbalan Dekan Akademik, Pusat Pengurusan Siswazah, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)