KETAMADUNAN

MERANCANG MASA HADAPAN BAHASA MELAYU

10/06/2020 08:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Datuk Dr Awang Sariyan

Usia bahasa Melayu telah melebihi dua alaf atau dua ribu tahun, malah menurut teori Pentas Sunda yang dikemukakan oleh sarjana Barat dan sarjana setempat, bahasa Melayu telah wujud puluhan ribu tahun lalu. Perkembangannya telah melalui beberapa tahap, iaitu bahasa Melayu purba, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu baharu.

Pada tahap bahasa Melayu kuno, iaitu pada sekitar awal Masihi hingga abad ketujuh Masihi, bahasa Melayu telah mula memperlihatkan permulaan peranannya sebagai wasilah peradaban apabila digunakan sebagai bahasa pentadbiran oleh kerajaan Melayu lama seperti Langkasuka, Funan, dan khususnya Sriwijaya yang menjadi kuasa kelautan di rantau alam Melayu.

Menurut catatan pendeta Buddha dari China yang bermukim selama enam bulan di ibu kota Sriwijaya di Sumatera, Yi Jing, bahasa Melayu telah menjadi bahasa pemerintahan, bahasa pengajian agama Buddha dan bahasa kebudayaan yang tinggi. Rakaman bahasa Melayu kuno terpahat pada batu-batu bersurat yang ditemukan di Sumatera, Jawa dan Kalimantan. Tulisan yang dianggap mewakili bahasa Melayu kuno ialah tulisan Palava yang diubah suai daripada tulisan Sanskrit. Namun ada juga tulisan setempat seperti Rencong dan Kawi.

Kegemilangan bahasa dan peradaban Melayu

Tahap Bahasa Melayu klasik menandai kegemilangan bahasa dan peradaban Melayu, iaitu pada zaman kedatangan Islam ke rantau alam Melayu. Pada tahap itulah sosok bahasa Melayu yang diwarisi hingga kini mula terbina, iaitu seperti yang terlihat pada puluhan ribu manuskrip Melayu lama dalam bidang agama, ketatanegaraan, sejarah, undang-undang, perubatan, persenjataan dan surat serta perjanjian.

Tulisan Jawi yang diubah suai daripada tulisan Arab telah menjadi mangkin yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa persuratan dalam pelbagai bidang yang saya sebut tadi. Bahasa Melayu mencapai tahap kebakuan yang tinggi apabila digunakan dalam bentuk yang seragam di pelbagai pusat peradaban seperti Melaka, Aceh, Patani, Brunei, Kalimantan, Jawa dan Johor-Riau.

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas merumuskan bahawa Islam telah membentuk bahasa dan sastera Melayu baharu dan telah juga membentuk faham kebangsaan yang awal dalam konteks persatuan umat di alam Melayu. Bahasa Melayu bukan sahaja berkaitan dengan etnik Melayu malahan merentas ratusan etnik di alam Melayu sehingga menjadi bahasa penyatuan umat di rantau ini pada tahap klasik itu.

Wasilah pembentukan jati diri

Pada tahap keempat, bahasa Melayu muncul sebagai wasilah pembentukan jati diri dan pembinaan negara baharu (nation building) sesudah lepas daripada penjajahan. Bahasa Melayu menjadi salah satu asas perjuangan membebaskan negara melalui konsep yang disebut oleh William Roff sebagai nasionalisme bahasa. Untuk mengisi erti kemerdekaan, bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan yang berkaitan dengan jati diri dan perpaduan kebangsaan, bahasa rasmi untuk menggerakkan jentera pentadbiran negara dan bahasa ilmu dan pendidikan untuk melahirkan warganegara yang memperoleh ilmu dalam acuan sendiri.

Dengan huraian latar sejarah dan perkembangan bahasa Melayu yang bernada positif itu, adakah bahasa Melayu telah lepas daripada cabaran semasa? Jawab yang jelas “tidak”. Bahasa Melayu masih menghadapi cabaran dari dalam dan dari luar.

Dari dalam, cabaran paling besar ialah pembudayaan bahasa dalam kalangan yang berpengaruh besar kepada penakatan atau kelangsungan bahasa Melayu. Apabila bahasa Melayu belum betul-betul diangkat sebagai Bahasa cerminan jati diri negara dalam majlis rasmi, mesyuarat, dan pelbagai acara lain, belum dapat kita berpuas hati tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Suara golongan liberal yang menuntut kepelbagaian bahasa atau multilingualisme turut menandai belum utuhnya pembudayaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Perlembagaan Persekutuan membuka ruang besar untuk penggunaan dan pemelajaran bahasa-bahasa lain, tetapi dalam segala urusan rasmi, bahasa Melayulah bahasa yang wajib diutamakan di tiga peringkat pentadbiran, iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Dominasi citra asing masih ketara

Peruntukan undang-undang cukup jelas tetapi masih terdapat tuntutan melampau sesetengah kalangan untuk menyetarakan bahasa-bahasa lain dengan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Tindakan menggunakan pelbagai bahasa pada nama jalan dan tempat sehingga sultan sebuah negeri turut turun tangan menunjukkan isu pembudayaan bahasa yang masih goyah.

Pelaksanaan undang-undang kecil pengiklanan yang mewajibkan pengutamaan bahasa kebangsaan pada iklan, nama bangunan, kawasan dan yang lain masih merupakan duri dalam daging. Hampir 150 Pihak Berkuasa Tempatan belum benar-benar melaksanakan undang-undang itu atau kuasa pentadbiran yang ada padanya sehingga nama bangunan, kawasan perumahan, bandar dan yang lain masih dan malah kian menayangkan citra asing pada penamaannya.

Keadaan yang berbeda dapat dilihat di negara yang utuh jati dirinya dan tegas pelaksanaan dasar bahasa kebangsaannya seperti di Jepun, China, Korea, Jerman, Perancis, Belanda dan yang lain, apabila paparan bahasa di tempat awam cukup ketara menayangkan bahasa negara masing-masing.

Cabaran merencat pelaksanaan dasar

Cabaran yang lebih parah ialah apabila bahasa Melayu yang telah dinobatkan sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, dari waktu ke waktu menghadapi cabaran dalam bentuk pelaksanaan dasar atau program yang bercanggah dengan dasar bahasa kebangsaan dan undang-undang negara seperti Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pelaksanaan PPSMI, iaitu pengajaran mata-mata pelajaran berasaskan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah (kini Program Dwibahasa atau DLP), arahan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perkuliahan di universiti bagi kursus-kursus kritikal seperti perubatan, sains dan teknologi, undang-undang dan kejuruteraan nescaya merencatkan perancangan kerajaan sebelum merdeka dan pada tahap awal kemerdekaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa utama dalam bidang ilmu dan pendidikan.

Dari luar pula, cabaran globalisasi yang berasaskan dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan telah membuka ruang penjajahan linguistik (linguistic imperialism) apabila bahasa asing yang mendominasi pelbagai aspek kehidupan, iaitu ilmu, budaya, media dan yang lain bertambah dominan. Kurang agresifnya negara penerima, termasuk negara kita dalam pembinaan pelantar atau portal yang menjelmakan peranan bahasa Melayu dalam bidang-bidang kehidupan menyebabkan bahasa Melayu kian mengecil daerah penggunaannya.

Faktor kurang utuhnya pembudayaan bahasa yang saya sebut di awal tulisan ini menambah besarnya cabaran, dengan sikap permisif atau pasrah, bahkan teruja oleh bahasa dan budaya asing yang dianggap mendunia itu.

Perlu pinda Akta DBP

Kupasan ringkas tentang cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu itu memerlukan Dewan Bahasa dan Pustaka menggunakan pendekatan pelbagai dimensi, peka konteks dan memandang ke hadapan. Dalam usaha mengatasi isu pembudayaan bahasa kebangsaan, pendekatan “dakwah” melalui gerakan “menegur dan menasihati” seperti yang tersebut dalam Akta DBP tampaknya tidak sesuai lagi.

Usaha meminda Akta DBP yang telah digerakkan satu dekad lalu tetapi menghadapi pelbagai kekangan pentadbiran perlu menjadi salah satu usaha besar DBP agar memperoleh kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan. Usaha ini nescaya tidak mudah tetapi tiada pilihan untuk DBP selain mengupayakannya.

Mengupayakan penerbitan elektronik

Dalam menghadapi globalisasi dan peralihan budaya membaca sejagat yang lebih banyak terarah kepada penerbitan elektronik atau digital, DBP mahu tidak mahu perlu mengubah strategi penerbitan bahan bahasa, sastera dan ilmu dengan mengupayakan penerbitan elektronik lebih pesat. Penerbitan konvensional dalam bentuk bercetak masih perlu dipertahankan tetapi dengan strategi yang lebih praktis untuk mengelakkan lambakan stok.

Mengimbangi penerbitan elektronik dan penerbitan bercetak memerlukan gerakan berhemah, terutama untuk meladen sejumlah penulis dan pembaca yang masih berada dalam zon tradisional.

DBP sebagai benteng peradaban negara

Demikian selayang pandang fikiran awal saya apabila diberi amanah sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang sangat-sangat saya dambakan ialah bahawa DBP usah dilihat sebagai perlu wujud kerana secara tradisinya telah digagaskan setahun sebelum merdeka oleh semua lapisan yang meliputi golongan bahasawan, sasterawan, budayawan, agamawan dan pendidik.

DBP perlu wujud dalam keadaan dihormati dan dijadikan benteng peradaban negara kerana seperti kata Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pertama, “Negara tanpa bahasa kebangsaan ibarat jasad tanpa roh”.

Bahasa kebangsaan itu pula berperanan besar dalam membentuk jati diri dan perpaduan negara, menjadi wasilah pentadbiran dan pendidikan, serta bidang-bidang peradaban yang lain, serta menjadi unsur pembentukan adab dan sahsiah melalui persuratan atau kesusasteraan.

-- BERNAMA

Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka serta Penyandang Kursi Za’ba, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)