TINTA MINDA

PKS HALAL PERLU BERSEDIA HADAPI GELOMBANG BAHARU PERNIAGAAN

12/06/2020 03:31 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Suhaimi Ab Rahman

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada penghujung 2019 telah memberi kesan ke atas seluruh sistem kehidupan manusia termasuk aktiviti sosial, politik, dan ekonomi. Dunia seolah-olah sedang menghadapi satu malapetaka yang menuntut penghuninya melakukan semak dan imbang terhadap semua aspek kehidupan mereka.

Dari sudut pandang Islam, pandemik COVID-19 dilihat sebagai ujian Allah SWT yang menuntut umatnya agar bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan diri demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Dalam surah al-Baqarah Allah SWT berfirman, ‘Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (terhadap musuh) dan (merasai) kelaparan, dan (berlakunya) kekurangan harta dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabra. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu musibah, mereka berkata “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah juala kami kembali”. Mereka itulah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayahNya’. (Al-Baqarah: 155-157).

Di dalam surah yang lain Allah SWT berfirman, ‘Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu’. (Asy- Syura: 30).

Peka perubahan

Dalam bermu’amalah, kita mungkin terlepas pandang sehingga menyebabkan perkara-perkara dilarang berlaku dalam sesuatu transaksi. Kita juga mungkin lalai terhadap perkembangan dunia yang menuntut agar kita sentiasa peka terhadap perubahan yang berlaku dalam dunia perniagaan. Perkara ini telah menuntut kita agar melakukan semak dan imbang dalam bermu’amalah dan COVID-19 telah banyak memberi pengajaran berguna untuk disesuaikan dalam kehidupan kita.

Namun, pandemik ini telah mencetus suasana baharu dalam perniagaan. Semasa tempoh PKP para peniaga dan pelanggan perlu menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu akibat pergerakan terhad. Antara kebiasaan baharu dalam perniagaan ialah transaksi tanpa sentuhan, sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, mementingkan kebersihan dan keselamatan serta transaksi tanpa tunai.

Walaupun negara mengalami kesan ekonomi teruk akibat COVID-19, namun ia mencetus pembangunan ekonomi digital di mana e-dagang, pembayaran tanpa tunai dan penghantaran tanpa sentuhan menjadi ekonomi arus perdana. Ini bermakna kebanyakan syarikat akan menggunakan persekitaran kerja pintar dengan mengguna teknologi digital dalam perniagaan mereka. Bank Dunia meramalkan ekonomi digital akan tumbuh hampir 20 peratus dan dijangka bernilai lebih RM110 bilion pada 2020.

Perkembangan e-dagang

Hari ini platform e-dagang sudah tidak asing menjadi kelaziman kepada pengguna. Siapa tidak kenal Lazada atau Shoppe? Kebanyakan pengguna sudah biasa membeli barangan pengguna melalui talian. Menurut Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz transaksi jual beli barangan pengguna dalam talian telah meningkat sebanyak 40 peratus semasa tempoh PKP.

Sehubungan dengan itu langkah menyediakan lebih banyak platform e-dagang amatlah dialu-alukan. Usaha kerajaan negeri Perak mewujudkan SMART Niaga@Perak adalah satu langkah baik menyediakan platform perniagaan kepada usahawan kecil dan PKS negeri Perak.

Selain daripada itu perkhidmatan penghantaran bungkusan dan makanan iaitu P-Hailing juga turut mendapat kesan positif daripada penularan COVID-19. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh pihak Statista Market Forecast (2020), nilai pasaran industri perkhidmatan penghantaran makanan secara atas talian di Malaysia mencecah AS$192 juta dengan 6.2 juta pengguna. Nilai pasaran ini dijangka akan terus meningkat sebanyak 17.9 peratus atau AS$370 juta pada 2024.

Segmen pasaran terbesar adalah segmen penghantaran dari restoran ke pengguna (Restaurant – to – Consumer Delivery) iaitu sebanyak AS$137 juta berbanding AS$55 juta bagi segmen pelantar ke pengguna (Platform – to – Consumer Delivery). Statistik ini dibuat berdasarkan perkiraan awal secara konvensional tanpa mengambil kira perkembangan terbaharu yang berlaku pada musim PKP akibat penularan COVID-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula 18 Mac 2020. Secara logiknya sudah tentu nilai pasaran perkhidmatan penghantaran makanan secara dalam talian pada masa ini akan bertambah berlipat kali ganda. Menurut The Asean Post, sekurang-kurangnya 30 peratus peningkatan jualan dialami oleh restoran di Malaysia pada ketika ini. Sudah pasti perkembangan industri P-Hailing ini banyak disokong oleh perkembangan teknologi digital.

Pertingkat ekonomi digital

Justeru, para usahawan terutamanya Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) Halal perlu bersedia menghadapi gelombang baharu perniagaan ini kerana ekonomi digital merupakan ekonomi masa hapadan. Ini bermakna mereka perlu mahir mengenai perniagaan e-dagang dan boleh menggunakan teknologi ICT dalam perniagaan secara cekap.

Perlu diingatkan bahawa data sebelum ini menunjukkan hanya 20 peratus PKS bumiputera yang menceburi bidang ekonomi digital. Ini bermakna PKS bumiputera termasuk PKS Halal masih jauh di belakang dan perlu bertindak segera bagi membolehkan mereka menceburi bidang ekonomi digital ini.

Banyak agensi kerajaan yang menyediakan latihan bagi melengkapkan PKS Halal dengan ilmu teknologi ICT. Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) umpamanya menyediakan pelbagai latihan berkaitan ekonomi digital kepada usahawan yang berminat. Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengumumkan sejumlah RM25 juta diperuntukkan untuk melatih rakyat Malaysia menjana pendapatan melalui platform digital. Pihak Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) turut mempunyai beberapa program latihan halal yang boleh diambil oleh usahawan halal yang berminat. Begitu juga Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia juga menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Halal dengan kerjasama QSR Brands (M) Berhad bertujuan membimbing usahawan halal agar kompeten dengan perkembangan semasa.

Setelah kita mengharungi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan kini PKP Pemulihan (PKPP), kerajaan membenarkan kebanyakan kegiatan ekonomi termasuk kegiatan ekonomi halal beroperasi dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.

Namun budaya baharu dalam perniagaan akan terus meresap dalam persekitaran perniagaan. “Sesungguhnya setiap kesusahan akan disusuli dengan kesenangan.” (Al-Insyirah: 5).

--BERNAMA

Prof. Madya Dr. Suhaimi Ab Rahman ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan, Jaringan Korporat dan Komuniti), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)