TINTA MINDA

PELANCONGAN DOMESTIK MEMANGKIN PEMULIHAN INDUSTRI PELANCONGAN DAN HOSPITALITI NEGARA

15/06/2020 08:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Tan Ming Luk

Tidak dinafikan, pandemik COVID-19 yang melanda dunia menjadi pengganggu ekonomi (economic disruptor) paling besar bagi dekad ini dengan mengancam 75 juta pekerjaan di dalam industri pelancongan global, dan mengurangkan pendapatan sebanyak kira-kira AS$2.1 trilion (RM 9.18 trilion) bagi sektor sama tahun ini. Dalam senario ekonomi yang lebih luas, sebanyak 195 juta pekerja dijangka hilang pekerjaan pada suku kedua tahun ini.

Malaysia juga tidak terkecuali - dianggarkan sekurang-kurangnya 951,000 pekerjaan dan RM41 bilion pendapatan akan hilang akibat pandemik ini, yang termasuk anggaran kehilangan pendapatan berjumlah RM3.37 bilion di dalam sektor pelancongan antara Januari dan Februari 2020.

Pemulihan ekonomi akan memakan masa yang panjang malah ada pihak yang berpendapat sektor pelancongan mungkin mengambil masa sehingga 10 bulan untuk kembali ke tahap normal selepas pandemik ini berakhir.

Mengambil iktibar dunia

Dalam pelancongan, peluang mengalami dan melihat keadaan dengan mata kepala sendiri amatlah penting. Oleh itu, apabila industri pelancongan Korea Selatan terkesan oleh wabak MERS pada 2015, negara tersebut telah menjemput pemain industri serta media asing untuk mengunjungi destinasi pelancongan utama bagi mengembalikan keyakinan para pelancong, dalam proses pemulihannya.

Di samping itu, tarikan pelancong popular yang tidak dapat dibuka boleh memanfaatkan tempoh ketiadaan pelancong ini untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan aset, supaya destinasi berkenaan sedia mengalu-alukan kehadiran pelancong apabila pasaran kembali pulih nanti.

Perubahan tingkah laku pengguna

Mengambil kira saranan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa aktiviti perhimpunan besar-besaran perlu dielakkan selama enam bulan hingga setahun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik, kita boleh mempelajari cara mengawal bilangan pelancong daripada pasaran lain.

Misalnya, kita tahu bahawa mereka yang berkeluarga lebih suka melancong semasa musim cuti sekolah dan perayaan, sementara pelancong yang mengutamakan bajet pula lebih gemar melancong di luar musim puncak, sekali gus mengelakkan kesesakan dan menjana pendapatan yang stabil untuk perniagaan. Mereka yang baru mengenali sesuatu destinasi mungkin lebih cenderung untuk berpusu-pusu ke tempat yang tersenarai dalam 10 Destinasi Terbaik, sementara pengunjung tetap pula mungkin akan memilih untuk pergi ke destinasi yang lebih sunyi.

Di kebanyakan negara, terdapat juga perbezaan harga untuk pelancong antarabangsa dan domestik, atau tawaran potongan harga di luar musim puncak. Usaha menawarkan perbezaan harga yang menyasarkan pelancong domestik membuka akses pelancongan yang lebih luas kepada rakyat tempatan yang berbeza tahap pendapatan, selain mewujudkan pelancongan sepanjang tahun dan membantu mengurangkan tekanan akibat jumlah pelancong yang terlalu ramai.

Insentif untuk rakyat tempatan turut digunakan, serupa dengan penawaran potongan cukai sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik yang diumumkan dalam pelan rangsangan ekonomi ekoran wabak COVID-19.

Pemulihan bermula dari tanah air

Melihat kepada trend penularan penyakit, pelancongan tempatan menjadi tempat terbaik untuk memulakan pemulihan industri. Kita sudah dapat melihat tumpuan pelancongan domestik dilakukan di China, di mana negara itu dengan berhati-hati membuka semula sektor yang dianggap kurang penting, seperti pelancongan. Pada masa sama, pelancongan bebas yang dirancang sendiri digalakkan di mana kumpulan pelancong yang besar dapat dielakkan.

Di samping itu, industri berkaitan pelancongan seperti penerbangan dan perhotelan turut menawarkan sistem meminda tempahan yang lebih mudah bagi meyakinkan mereka yang masih berasa bimbang.

Pelancongan domestik juga berada dalam capaian kebanyakan rakyat Malaysia. Memandangkan majoriti pelancong domestik terdiri daripada golongan belia (39.6 peratus adalah berusia 25 hingga 39 tahun), ia memberikan satu lagi sinar harapan, jika dilihat kepada trend global. Kajian menunjukkan bahawa golongan belia cenderung memilih pelancongan sebagai satu cara yang bermakna untuk meluangkan masa mereka semasa kemerosotan ekonomi, termasuk sanggup menggunakan wang pampasan gaji untuk mengembara.

Bagi Malaysia, seperti juga negara Asia Tenggara yang lain, walaupun pelancongan domestik tidak menyumbang hasil yang besar berbanding pelancongan antarabangsa (41.8 peratus berbanding purata global 71.2 peratus pada 2018), namun nilai itu terus meningkat setiap tahun (pertumbuhan sebanyak 11.4 peratus pada 2018 berbanding 11.1 peratus pada 2017). Malah, 86 peratus tetamu hotel di Malaysia pada 2019 terdiri daripada pelancong tempatan, yang membelanjakan lebih daripada RM70 bilion untuk membeli-belah, berhibur, menginap dan bersukan ketika melancong (302.4 perjalanan pada 2018).

Tawaran destinasi domestik

Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menonjolkan penawaran unik di setiap destinasi domestik. Sebagai contoh, rakyat Malaysia amat menyukai konsep Jalan-jalan Cari Makan di mana mereka akan menuju ke bandar-bandar popular untuk menikmati makanan tempatan.

Kita boleh meningkatkan lagi usaha untuk menambah baik keunikan setiap destinasi tempatan dengan meneliti kejayaan negara seperti Jepun yang menerapkan konsep Satu Kampung Satu Produk, di mana setiap komuniti mengenal pasti produk khusus tempatan, menumpukan sumber terhadap pengeluarannya, menjadikannya sebagai jenama tempatan, dan memasarkannya ke seluruh negara atau ke peringkat antarabangsa. Sudah tentu, keupayaan pelancongan tempatan di Jepun menjana 82 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelancongannya menjadikan negara itu salah satu sumber inspirasi utama.

Ekoran pembatalan Tahun Melawat Malaysia 2020, dana berjumlah RM1.1 bilion yang telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan termasuk RM960 juta untuk pelaksanaan kempen, promosi serta program kini boleh disalurkan ke arah usaha mempromosikan pelancongan tempatan. Dengan permulaan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, minat melancong telah bangkit dan pelancongan domestik semestinya menjadi tumpuan utama. Tambahan, ia adalah antara cara untuk menzahirkan solidariti bersama-sama warga Malaysia dengan mengekalkan aliran wang di dalam ekonomi tempatan.

Ramai rakyat Malaysia mungkin memilih pelancongan domestik untuk mengunjungi saudara-mara serta teman-teman (40.6 peratus), membeli-belah (34.7 peratus) atau sekadar mencari ketenangan (10.4 peratus), namun perbelanjaan mereka pastinya dapat membantu perniagaan di dalam sektor pelancongan untuk mencapai sasaran pendapatan mereka.

Adalah diharapkan agar rakyat Malaysia dapat memanfaatkan cuti hujung minggu yang panjang di Malaysia bagi merancakkan ekonomi pelancongan domestik.

--BERNAMA

Tan Ming Luk ialah Ketua Negara Malaysia & Singapura OYO Hotels & Homes

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)