Malaysia kini dilaporkan berada dalam fasa pemulihan terakhir dalam memerangi ancaman wabak COVID-19. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, negara berjaya memasuki fasa ini hasil kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas. Langkah-langkah agresif dan proaktif yang diambil oleh kerajaan selama ini akhirnya membuahkan hasil dengan mengurangkan penularan kes baharu COVID-19 terutamanya dalam kalangan warganegara.
Dalam konteks ini, sudah semestinya rakyat mahu segala inisiatif yang dirancang dapat diteruskan dengan lebih baik agar kita dapat mengharungi fasa pemulihan terakhir ini dengan jayanya.
Kesanggupan mengubah sikap
Ironinya, kejayaan fasa pemulihan terakhir ini sebenarnya banyak bergantung kepada kesanggupan rakyat dalam mengubah sikap, memikul tanggungjawab dan meningkatkan tahap disiplin diri dalam berhadapan dengan ancaman wabak ini. Tambahan pula, perkembangan dan pencapaian semasa ini akan menjadi indikator penting untuk kerajaan membuka semula lebih banyak sektor ekonomi, sosial dan juga pendidikan terutamanya sekolah. Ringkasnya, selepas ini akan ada lebih banyak lagi kelonggaran dan kebebasan pergerakan kepada rakyat.
Justeru demi memastikan kita berjaya dalam fasa pemulihan terakhir, segala kelonggaran yang kerajaan telah dan bakal berikan perlu disahut dengan kerjasama dan komitmen penuh setiap lapisan anggota masyarakat. Hal ini sangat penting kerana semua pihak mengakui virus ini akan berada dengan kita untuk suatu tempoh masa yang lebih lama. Tidak mungkin kita dapat menghapuskan sepenuhnya virus ini begitu saja dalam jangka masa terdekat. Ini ditambah pula dengan situasi masih belum ada sebarang berita kejayaan penemuan vaksin untuk mengubati virus ini. Jadi kita tidak boleh leka atau lalai kerana ancaman wabak ini sentiasa akan ada dan boleh terus tular dan mencetuskan kluster baharu.
Menjaga diri dan keluarga
Oleh itu rakyat perlu lebih berhati-hati selepas sini misalnya, kita perlu mengambil inisiatif yang lebih serius untuk menjaga dan melindungi diri dan keluarga masing-masing. Jangan sesekali meletak tanggungjawab tersebut di bahu para petugas barisan hadapan semata-mata. Hakikatnya, sejak tercetusnya wabak ini, para petugas barisan hadapan telah melakukan yang terbaik untuk mengawal dan menghentikan rantaian penularan wabak, selain memberikan rawatan yang efisien. Justeru sudah tiba masanya untuk anggota masyarakat pula mengambil alih peranan dan tanggungjawab untuk menjaga diri masing-masing bagi meneruskan kehidupan dalam norma baharu.
Harus diingat pembukaan lebih banyak sektor akan turut membuka lebih banyak peluang dan ruang untuk penularan wabak ini dan ia sangat sukar untuk dikawal oleh pihak berkuasa semata-mata. Jadi langkah pertama perlu bermula dengan kita sendiri. Paling penting sekarang ialah, pastikan kita dan seluruh anggota keluarga terus mengamalkan disiplin penjagaan kebersihan yang tinggi. Amalan mencuci tangan dengan kerap, menggunakan pensanitasi tangan, memakai pelitup muka serta amalan penjarakan sosial perlu terus menjadi gaya hidup kita sepanjang masa. Ini adalah sikap dan tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi lagi.
Kita juga perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan anggota keluarga sendiri. Walaupun sekatan pergerakan sudah dilonggarkan, eloklah kita terus mengawal aktiviti luar demi keselamatan semua. Misalnya, golongan bayi, kanak-kanak dan warga emas adalah antara kelompok yang berisiko tinggi dan mudah terkena jangkitan wabak ini, maka eloklah memberikan tumpuan khusus kepada kesihatan dan keselamatan mereka. Seboleh-bolehnya elak membawa mereka ke tempat-tempat awam yang sesak dan boleh mengundang pelbagai risiko. Jangan leka atau cuai dalam soal ini kerana ia boleh mengancam nyawa mereka. Pastikan kita menghayati sepenuhnya slogan #KitaJagaKita.
Patuh SOP
Rakyat juga perlu terus mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Disiplin untuk mematuhi arahan dan SOP perlu diterapkan dalam diri masing-masing supaya kita dapat membantu memutuskan terus rantaian penularan wabak ini. Kita tidak mahu ada budaya takut dan mematuhi peraturan bila dipantau oleh pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya kita wajib mendisiplinkan diri untuk sentiasa mematuhi peraturan walaupun tiada siapa yang melihat atau memantau setiap gerak geri kita. Ini penting kerana selepas ini, tidak mungkin kita mampu menempatkan anggota keselamatan di semua lokasi pada setiap masa untuk memantau segala aktiviti anggota masyarakat.
Dalam pada itu, tidak lama lagi sekolah akan dibuka semula dan ini juga menuntut peranan dan tanggungjawab yang besar dari anggota masyarakat terutamanya ibu bapa. Ibu bapa perlu sedar tugas menjaga kesihatan dan melindungi keselamatan anak-anak bukan tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata. Jangan ada ibu bapa yang dengan sewenang-wenangnya lepas tangan dan mahu sekolah melindungi anak mereka sepenuhnya.
Kita percaya sekolah akan mengambil langkah-langkah pencegahan yang terbaik namun ibu bapa perlu turut memainkan peranan yang penting juga. Misalnya, ajar dan didiklah anak-anak tentang cara-cara menjaga dan melindungi kesihatan dan keselamatan diri selain amalan kebersihan yang sewajarnya. Jika ibu bapa dapat membantu dalam soal ini, kita boleh mencegah ancaman jangkitan kluster sekolah. Malah ini juga akan membantu para guru agar lebih memberi perhatian kepada aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Jelas sekali fasa pemulihan terakhir ini akan lebih mencabar serta menguji sikap kita, dan sama ada kita berjaya atau tidak mengharungi fasa ini banyak bergantung kepada diri kita sendiri. Kalau mahu berjaya, pastikan kita meningkatkan tahap disiplin, bersedia untuk memikul tanggungjawab menjaga dan melindungi diri dan keluarga serta mengubah sikap, tingkah laku dan cara hidup dalam norma baharu secara total.
-- BERNAMA
Noor Mohamad Shakil Hameed merupakan Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.