TINTA MINDA

PELANCONG DOMESTIK PERLU TERUS PULIHARA ALAM SEKITAR

22/06/2020 08:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Mohammad Najib Jaffar

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohammad Najib Jaffar

Tanggal 10 Jun mencatat sejarah terbaharu negara apabia Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pelancongan domestik dibenarkan ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa 10 Jun hingga 31 Ogos depan. Seperti kebiasaannya, Perutusan Khas beliau di samping Sidang Media Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan Menteri Pertahanan antara perkara yang dinantikan rakyat Malaysia.

Seperti yang kita sedia maklum, 8 Jun merupakan Sambutan Hari Laut Sedunia dan dalam tempoh kebanyakan negara di seluruh dunia menguat kuasa Perintah Berkurung atau Perintah Kawalan ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19, laporan dunia menunjukkan kualiti alam sekitar termasuklah air sungai dan laut semakin baik.

‘Healing Process’ bumi sepanjang ketiadaan pencemaran air akibat kurangnya aktiviti-aktiviti manusia berjaya memperlihatkan perubahan iklim alam semula jadi kembali ‘go green’ dan kebiruan lautan melambai-lambai para pelancong.

Kita Jaga Kita

Kepatuhan rakyat Malaysia kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Fasa 1 lagi amat terpuji sehingga Perdana Menteri boleh membenarkan pelancongan domestik bagi merancakkan semula ekonomi negara dengan lebihan tunai rakyat Malaysia yang menikmati Bantuan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS Tambahan, (PRIHATIN PKS) dan yang terbaharu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Dalam pada itu, kebiasaan baharu pelancong domestik dalam penjagaan kesihatan diri perlu diteruskan iaitu menjauhi 3C iaitu crowded place (kawasan sesak), confined space (kawasan sempit) dan close conversation (sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat) di samping pengamalan 3W iaitu wash (kerap mencuci tangan dengan sabun atau Hand Sanitizer), wear (memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala), dan warn (amaran dari KKM yang berkonsepkan peringatan). Disiplin tinggi yang dimiliki oleh pelancong tempatan ketika akur dengan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) perlu dikekalkan bagi mengelak pencemaran air berulang seperti yang berlaku di Laut Mediterranean apabila dipenuhi dengan pelitup separuh muka dan sarung tangan plastik terpakai. Pencemaran laut ini ditemui oleh Laurent Lombard, pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Opération Mer Propre dan pasukannya yang kebetulan berenang di laut tersebut.

Seyogia Malaysia pernah digegarkan dengan penyu yang tercucuk penyedut minuman air plastik sehingga hidungnya mengalami pendarahan yang membawa kepada larangan penggunaan straw di Wilayah Persekutuan pada 1 Januari 2020. Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sejumlah sembilan juta tan plastik dilepaskan ke dalam laut setiap tahun dengan 2,000 tan daripadanya adalah penyedut minuman plastik yang telah mengancam ekosistem marin.

Slogan ‘Kita Jaga Kita’ yang tersemat di minda rakyat Malaysia perlu dipraktikkan dalam menyuburkan pelancongan domestik. Ini kerana pemuliharaan laut melalui disiplin tinggi dengan tidak membuang sampah termasuklah pelitup separuh muka terbuang merata-mata ketika berkelah di tepian pantai laut bakal menjadikan pelancong tempatan mempunyai minda kelas pertama seperti pelancong Jepun yang amat menitikberatkan kebersihan.

Pelancongan dan Ibadah berpisah tiada

Konsep ‘Pelancongan Itu Ibadah’ perlu dihadam khususnya pelancong Muslim tempatan ketika melakukan aktiviti-aktiviti air di lautan yang bakal dikunjungi dalam tempoh PKPP dan selepasnya. Aktiviti seperti banana boat, hoping island mahupun pelayaran kapal mewah dengan memastikan minyak hitam yang tercemar tidak dibuang ke laut boleh memberikan pahala MLM sekiranya informasi tersebut disebar luas kepada pelancong domestik. Selain itu, hidupan laut juga mempunyai hak yang perlu dituntas oleh pelancong tempatan dengan memulihara habitatnya dan memastikan ekosistem marin tidak dicemari oleh tangan-tangan yang tidak berperikemanusiaan.

Adalah diharapkan agar lautan yang kembali membiru dan alam sekitar yang kian menghijau secara semula jadi sepanjang pelancong domestik kuarantin di rumah masing-masing dalam tempoh PKP dan PKPB lepas terus dipulihara sebagaimana yang disarankan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar Dan Air kerana ia selari dengan prinsip Islam yang menyeru manusia agar membangunkan bumi secara adil, seimbang dan makmur.

-- BERNAMA

Dr Mohammad Najib Jaffar ialah Profesor Madya di Fakulti Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)