Mengambil kira perkembangan ekonomi semasa serta laporan kadar pengangguran di negara ini, golongan belia disaran mengikis mentaliti makan gaji seterusnya meneroka secara lebih serius bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan. Hal ini kerana kita tidak pasti bila ekonomi negara dan global akan pulih sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Kadar Pengangguran
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan kadar pengangguran di negara kita. Berdasarkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia untuk April 2020, kadar pengangguran negara melonjak kepada 5.0 peratus dan jumlah penduduk yang tiada pekerjaan meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 778,800 orang. Kita percaya bilangan individu yang diberhentikan kerja akan terus meningkat dalam keadaan ekonomi yang sangat tidak menentu kesan serangan wabak COVID-19.
Ini jelas menunjukkan para pencari kerja sedang bergelut untuk memperoleh peluang pekerjaan bagi meneruskan kehidupan masing-masing. Hal ini akan menyebabkan berlaku persaingan sengit antara kelompok senior dan berpengalaman yang diberhentikan kerja dengan golongan belia yang baru hendak menjejak kaki dalam dunia pekerjaan tanpa sebarang pengalaman. Belia dalam kalangan lepasan sekolah, institusi kemahiran serta graduan baharu dilihat bakal berhadapan dengan cabaran yang besar untuk menembusi pasaran kerja.
Menceburi bidang keusahawanan
Jadi, apa lagi pilihan yang belia ada dan sampai bila mahu kekal dengan mentaliti mahu makan gaji? Sudah tentu antara pilihan terbaik belia buat masa sekarang ialah berani menyahut cabaran untuk meneroka bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya mereka. Dalam konteks ini, belia perlu buang jauh-jauh sikap dan budaya suka makan gaji. Harus diingat dalam senario semasa, kerja makan gaji juga tidak selamat dan terjamin. Misalnya seorang pekerja yang berjawatan tetap dengan gaji yang baik juga boleh diberhentikan kerja akibat pelbagai faktor persekitaran.
Di samping itu, persepsi dan pemahaman belia bahawa keusahawanan adalah kerjaya kelas kedua, tidak mempunyai masa depan yang cerah serta merupakan bidang yang sukar dan berisiko tinggi juga perlu diperbetulkan dengan segera. Ringkasnya, mana ada kerja yang mudah dan tiada risiko?
Jadi para belia perlu berani mencuba sesuatu yang baharu, sanggup mengambil risiko, bekerja keras untuk memajukan diri dengan hasil usaha sendiri. Hakikatnya peluang untuk memajukan diri dan keluarga sangat terbuka luas dalam bidang keusahawanan. Hal ini kerana sebagai usahawan, kita tidak terikat dengan mana-mana pihak sebagai majikan atau bos, sebaliknya kita adalah bos dan majikan kepada diri sendiri. Kita boleh bekerja dengan lebih fleksibel serta boleh menentukan sasaran dan melaksanakan perancangan yang diperlukan untuk mencapai hasil yang lebih baik. Malah dengan menjadi usahawan, kita juga boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang lain.
Penulis percaya persekitaran semasa lebih mesra kepada usahawan. Misalnya ancaman wabak COVID-19 merancakkan lagi platform perniagaan atau jual beli secara dalam talian. Jadi belia boleh mengambil kesempatan ini untuk menjadi usahawan digital atau dalam talian. Melalui kaedah ini kita tidak perlu lagi memikirkan soal keperluan ruang kedai secara fizikal yang pastinya melibatkan pelbagai kos seperti kos sewa dan bil utiliti. Ringkasnya, belia boleh berniaga dari rumah atau mana-mana lokasi yang difikirkan selesa dan sesuai.
Inisiatif dan bantuan
Pada masa sama, sebagai galakan kepada golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan, kerajaan juga menyediakan pelbagai program, inisiatif dan bantuan supaya belia boleh menjadi seorang usahawan. Bagi yang berminat dalam bidang pertanian misalnya boleh menyertai Program Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Program yang telah diwujudkan sejak 2016 ini memberi fokus kepada golongan muda yang berumur dari 18 hingga 40 tahun. Ia bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti dalam rantaian nilai sektor pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agropelancongan.
Antara bantuan yang disediakan oleh kerajaan di bawah program ini ialah Geran Agroprenuer Muda (GAM), pakej pembiayaan dan juga khidmat nasihat teknikal serta latihan. GAM adalah bantuan kepada agropreneur muda bagi membantu meminimumkan impak kewangan dalam menjalankan perniagaan. Geran ini diberi dalam bentuk barangan dan ia tidak perlu dibayar balik. Bagi pakej pembiayaan pula, ia melibatkan pembiayaan dengan kadar keuntungan sebanyak dua peratus setahun bagi pembesaran projek pertanian yang telah beroperasi sekurang-kurangnya satu tahun dan bantuan ini adalah daripada Agrobank dan TEKUN Nasional. Di samping itu, individu yang memerlukan bimbingan pula boleh mengikuti program dan latihan bersesuaian yang dianjurkan oleh pelbagai jabatan atau agensi secara intensif.
Dalam pada itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga baru-baru ini mengumumkan cadangan untuk membuka ruang yang lebih luas bagi belia mengusahakan pertanian nilai tinggi di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) terpilih. Ini adalah inisiatif kolaborasi rentas kementerian yang akan memberi manfaat kepada lebih 10 juta belia iaitu 68 peratus daripada tenaga kerja yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
Jelas di sini bahawa belia boleh menjadi usahawan dalam apa jua bidang yang mereka minati selagi mana mereka benar-benar serius dan sanggup mengambil risiko serta bersedia untuk mengikis mentaliti makan gaji. Jangan lupa pihak kerajaan juga sedia membantu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia. Belia juga perlu sedar budaya makan gaji bukan lagi menjadi trend atau pilihan pada masa hadapan.
Jadi, secara prinsipnya peluang untuk golongan belia menceburi bidang keusahawanan serta mengikis mentaliti makan gaji cukup terbentang luas. Kini pilihan di tangan belia itu sendiri sama ada mahu terus merintih nasib kerana sukar mendapat peluang pekerjaan atau berani menyahut cabaran menjadi usahawan sekali gus menjadi pencipta peluang pekerjaan kepada orang lain.
-- BERNAMA
Noor Mohamad Shakil Hameed merupakan Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia