TINTA MINDA

JIKA AKAL DIPERSIA, MAQASID SYARIAH SUKAR DIPELIHARA

17/07/2020 10:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Taqwa Zabidi

Akhir-akhir ini kes kemalangan jalan raya akibat pemanduan bawah pengaruh alkohol semakin ketara. Seorang demi seorang meninggalkan kita akibat sifat tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat. Kesannya dirasai bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga terdekat, tetapi juga ditangisi oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Penguatkuasaan undang-undang

Pelbagai pihak tampil dengan berbagai pandangan untuk menangani isu pemanduan bawah pengaruh alkohol. Antaranya pemerkasaan dan penguatkuasaan Akta Pengangkutan Jalan 1987, cadangan supaya kadar ambang kepekatan alkohol dalam darah (Blood Alcohol Concentration - BAC) yang diguna pakai ketika ini diturunkan dan mengehadkan masa dan tempat jualannya. Semua usaha ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab pihak ketiga, seperti kerajaan dan pemimpin untuk mengekang kesan kegagalan segelintir manusia yang tidak mampu mengawal nafsu sekali gus memudaratkan akal fikirannya.

Memelihara akal

Hakikatnya, menjadi tanggungjawab diri individu itu sendiri untuk memelihara akal kurniaan tuhan. Justeru, Islam mengharamkan pengambilan minuman yang memabukkan kerana fungsi akal tidak boleh dipersia, malah menjadi kepentingan utama bagi setiap insan untuk memeliharanya. Akal fikiran terbit daripada otak yang diibaratkan umpama raja pada tubuh. Hanya satu yang dikurniakan untuk setiap insan. Hanya sekali dikurniakan seumur hidup. Akal tidak akan mati selagi tuannya masih hidup. Ia akan terus bekerja untuk tuannya dalam sedar, mahupun dalam tidur.

Panduan yang jelas diberikan dalam al-Quran supaya akal dipelihara, fungsinya dimaksimumkan dan sebarang kemudaratan terhadap akal hendaklah dielakkan. Firman Allah yang bermaksud, “…Dan tiadalah yang mengambil pengajaran melainkan orang yang berfikiran.” (Surah Ali Imran, 3:7). ‘Berfikiran’ dapat diterjemahkan dengan pelbagai tindakan dalam mempelajari sesuatu ilmu, menelaah, menaakul, menganalisa, memahami dan mengingati. Allah SWT turut menegaskan bahawa orang yang memelihara akalnya dan menggunakan sebaik mungkin nikmat berfikir akan ditinggikan darjatnya. Ia termaktub dalam dalam surah Az-Zumar, ayat 9, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

Daripada satu sisi yang lain, Allah mengingatkan agar segala kemudaratan dan kerosakan perlu dielakkan. Potongan ayat 195 dalam Surah al-Baqarah dapat diterjemahkan seperti berikut: “…Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dan baikilah perbuatanmu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” Kemudaratan terhadap akal fikiran boleh berlaku secara langsung seperti mengambil minuman yang memabukkan. Ia juga boleh berlaku secara tidak langsung seperti mensia-siakan fungsi akal sebenar.

Ajaibnya akal bukan sahaja memainkan peranan besar untuk tuannya. Tetapi jauh daripada itu, ia memberi impak terhadap tindakan setiap individu yang akhirnya memberi kesan kepada orang sekeliling, masyarakat, bangsa, negara dan agama. Nah, lihatlah betapa pentingnya akal perlu dipelihara!

Maqasid Syariah

Pada peringkat teratas, fungsi akal dimaksimumkan untuk meninggikan syiar agama mengikut kapasiti dan kekuatan yang kita ada. Contohnya, seorang pekerja landskap mampu berkreativiti dengan idea yang diperoleh untuk mengindahkan sesebuah kawasan demi menonjolkan syiar Islam yang mementingkan kebersihan dan keindahan. Seorang pemimpin pula merencana strategi pentadbiran terbaik demi untuk memastikan Islam didukung dalam setiap polisi dan perundangan yang digubal.

Apa yang penting, objektif setiap tindakan itu adalah jelas selari dengan kehendak syarak. Manakala kehendak syarak pula difahami melalui objektif pensyariatan atau disebut juga sebagai Maqasid Syariah. Sheikh Ahmad al-Raysuni, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia menjelaskan Maqasid Syariah bermaksud tujuan-tujuan yang telah ditetapkan oleh syariat bagi merealisasikan kemaslahatan manusia. Untuk memahami objektif sesuatu perkara itu disyariatkan oleh Allah, ia memerlukan disiplin ilmu yang khusus. Tidak hairanlah kita mendapati para ulama silam berusaha meneroka aspek illah (sebab), hikam (hikmah) dan makna secara mendalam untuk mengenal pasti perkaitannya.

Beliau menjelaskan lubuk pensyariatan Islam dan pelaksanaannya ialah memahami konteks Maqasid Syariah. Dalam memahami konteks ini, Imam al-Ghazali mengasaskan lima prinsip utama yang perlu dipelihara sebaiknya dan dielak daripada sebarang keadaan yang memudaratkan. Lima prinsip tersebut ialah memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Al-Raysuni menjelaskan antara lima prinsip ini, memelihara akal adalah perkara terpenting. Beliau pernah menyebut dalam satu majlis bersama penjawat awam ketika lawatannya ke Malaysia pada awal tahun ini, “Jika kita ingin melaksanakan syariah, maka kita perlu mengambil kira Maqasid Syariah. Jika kita mahu mengambil kira Maqasid Syariah, kita perlu memelihara lima prinsip daruriyat (kehendak). Jika kita ingin memastikan pemeliharaan lima prinsip daruriyat, maka kita perlu menitikberatkan prinsip memelihara akal. Jika kita memerlukan prinsip memelihara akal, maka kita perlu belajar dan mengajar.”

Tanpa akal, agama tidak akan dapat dipelihara, nyawa boleh terancam, keturunan boleh tergugat dan seseorang boleh menjadi papa. Akal memainkan peranan yang sangat penting bagi setiap insan untuk memastikan kelangsungan hidup yang terancang, ketamadunan yang lestari dan ketinggian syiar Islam. Jika akal dapat dipelihara sebaiknya, baik dari sudut pemakanan dan penggunaannya, Maqasid Syariah pasti dapat dipelihara.

-- BERNAMA

Taqwa Zabidi ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Maqasid Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)