NOTA KAMPUS

ADAB TUNTUT ILMU WALAU BELAJAR SECARA DALAM TALIAN

17/08/2020 09:55 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Hasnizam Hashim

Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan walau dalam apa juga keadaan dan dengan apa cara sekalipun serta perlu dilakukan secara berterusan tanpa batasan masa. Banyak nas syarak yang menekankan akan kepentingan dan kelebihan menuntut ilmu. Antaranya Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang maksudnya ‘Menuntut ilmu adalah merupakan kewajipan ke atas setiap Muslim’. Ilmu juga adalah penentu kehidupan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Tanpanya, kehidupan akan menjadi terumbang ambing dan tidak menentu.

Al-Quran juga menegaskan bahawa orang yang beriman dan berilmu akan memperoleh kedudukan dan penghormatan yang tinggi di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah ayat 11 maksudnya ‘Allah meninggikan darjat atau kedudukan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan’.

Dalam suasana dunia termasuk negara kita yang masih menghadapi ancaman pandemik COVID-19, mahu atau tidak, kaedah pengajaran dan pembelajaran terpaksa berubah daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka kepada pembelajaran secara dalam talian. Sekiranya sebelum ini kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian ini bukanlah medium utama dalam pembelajaran, namun pada ketika ini, kita tiada pilihan lain selain melaksanakannya di peringkat sekolah rendah, menengah sehinggalah di institusi pengajian tinggi sebagai suatu norma atau kelaziman baharu. Dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian, sebagaimana pembelajaran secara bersemuka, adab dan etika pembelajaran juga perlulah difahami dan diikuti oleh setiap pelajar bagi memastikan proses menuntut ilmu dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai objektifnya. Kegagalan menerapkan kefahaman mengenai adab atau etika yang baik semasa sesi pembelajaran secara dalam talian serta keperluan mempraktikkannya akan mengundang suasana tidak harmoni sekali gus akan menganggu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Berikut antara adab yang perlu difahami, diterap serta dipraktik oleh setiap pelajar yang mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Mempunyai niat yang betul dalam menuntut ilmu

Menuntut ilmu merupakan ibadah dan akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Justeru, setiap pelajar perlu mempunyai niat yang betul dan ikhlas dalam menuntut ilmu. Setiap pelajar juga perlulah mempunyai kefahaman tentang kepentingan ilmu dalam mencorakkan kehidupannya pada masa akan datang. Niat yang betul dan kefahaman yang jelas tentang perkara ini akan memberi kesan langsung terhadap kesungguhan pelajar tersebut dalam menuntut ilmu di samping memberikan nilai-nilai positif seperti istiqamah, kuat semangat, sabar dan tidak mudah putus asa dalam menghadapi cabaran menuntut ilmu. Dalam erti kata lain, niat yang betul akan melahirkan sikap bersungguh-sungguh dalam setiap usaha yang dilakukan dan pada masa yang sama meyakini bahawa Allah SWT akan memberikan pertolongan dan kemudahan dalam menghadapi setiap cabaran dan kesukaran yang dihadapi.

Memulakan belajar dengan berdoa

Doa merupakan harapan dan manifestasi kebergantungan seseorang individu dengan Allah SWT. Terdapat banyak doa yang telah diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW yang boleh diamalkan ketika hendak belajar atau menuntut ilmu. Sebagai pelajar, berdoa pada setiap kali sebelum mula belajar sepatutnya dijadikan sebagai amalan bagi memperoleh keberkatan, ilmu yang bermanfaat, ketenangan, kemudahan serta kefahaman yang baik dan dijauhkan daripada sifat lupa.

Melakukan persediaan awal untuk pembelajaran

Setiap pelajar perlu memainkan peranan dan bertindak lebih proaktif dan sentiasa berusaha untuk mencari maklumat berkaitan kursus atau subjek yang hendak dipelajari dengan lebih awal serta membuat persediaan sebelum pembelajaran bermula. Dalam menghadapi suasana kritikal seperti ini, pelajar tidak sepatutnya hanya bergantung kepada bahan yang dibekalkan oleh tenaga pengajar semata-mata. Selain itu, sebelum sesi pembelajaran dalam talian bermula, pastikan juga bahawa segala bahan pembelajaran telah disediakan termasuk peralatan yang diperlukan seperti alat pengecas bagi peranti yang digunakan.

Menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran

Bagi pembelajaran secara dalam talian, adalah sukar untuk tenaga pengajar melakukan pemantauan ke atas setiap pelajar terutama sekiranya bilangan pelajar adalah ramai. Setiap pelajar, atas rasa kesedaran dan tanggungjawab sendiri sewajarnya menghargai pengorbanan yang diberikan oleh guru mereka dengan memberikan kerjasama dan tumpuan sepenuhnya terhadap subjek pembelajaran serta menjauhi sikap sambil lewa. Semasa sesi kelas dalam talian sedang berlangsung, usahlah melakukan perkara lain yang tiada kaitan dengan pembelajaran seperti tidur, membuka laman web lain yang tiada kaitan dengan subjek pembelajaran, bersembang dan sebagainya. Perbuatan sebegini mungkin ‘berjaya’ dan tidak diketahui oleh tenaga pengajar tetapi ketahuilah bahawa perbuatan tersebut sebenarnya hanya akan merugikan diri pelajar itu sendiri.

Menepati masa

Bagi membantu kelicinan pembelajaran secara dalam talian, setiap pelajar sewajarnya menepati masa yang telah ditetapkan untuk masuk ke dalam talian dan mengekalkan keberadaan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pelajar juga bertanggungjawab untuk membuat tugasan yang diberikan dan menghantarnya dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Berkomunikasi secara baik dan melibatkan diri secara aktif

Sebelum sesi kelas secara dalam talian bermula, pelajar hendaklah menggunakan nama dan gambar sebenar serta perlu memperkenalkan diri apabila diminta untuk berbuat demikian oleh tenaga pengajar atau guru. Pastikan juga kamera peranti dihidupkan sekiranya ingin berbicara dengan mereka. Sekiranya anda ingin bercakap atau bertanyakan sesuatu, mintalah izin terlebih dahulu serta perkenalkanlah diri anda dan elakkan bercakap serentak dengan pelajar lain pada masa yang sama. Sekiranya semua pelajar bercakap pada waktu yang sama, pembelajaran akan terganggu dan menjadi tidak harmoni.

Pastikan juga mikrofon peranti anda berada dalam mod senyap atau dipadamkan sekiranya anda tidak menggunakannya agar tidak mengganggu pelajar lain. Jika anda ingin turut serta dalam perbincangan secara bertulis dalam chatbox umpamanya, perkenalkanlah diri terlebih dahulu dan gunakanlah bahasa yang baik. Elakkan daripada menggunakan bahasa pasar, bahasa rojak, tulisan ringkas atau simbol emoji yang tidak sesuai. Sekiranya anda ingin berhenti sebentar kerana sesuatu sebab, maklumkan di dalam chat box terlebih dahulu. Selain itu, pelajar yang mengikuti kelas pembelajaran secara dalam talian juga perlu melibatkan diri secara aktif dan tidak hanya mendiamkan diri terutamanya apabila berhadapan dengan sebarang masalah pembelajaran. Ucapkanlah terima kasih kepada guru anda selepas sesi pembelajaran secara dalam talian tamat sebagai tanda penghargaan kepada beliau. Pastikan juga anda tidak merakam sesuatu tanpa mendapat kebenaran atau keizinan daripada guru anda terlebih dahulu.

Menjaga penampilan diri

Walaupun pembelajaran dilakukan secara dalam talian, pelajar dinasihatkan agar memakai pakaian yang bersesuaian serta berpenampilan kemas. Perlu diingat bahawa pembelajaran secara dalam talian disaksikan oleh ramai orang serta mungkin dirakam dan perkara yang mengaibkan boleh berlaku sekiranya kamera peranti anda dihidupkan secara tidak sengaja atau secara tidak sedar. Pastikan juga latar belakang anda semasa sesi pembelajaran dalam talian berlangsung adalah sesuai serta tiada sebarang bunyi bising yang akan menganggu. Maklumkan juga kepada rakan ataupun kepada keluarga bahawa anda sedang mengikuti kelas dalam talian supaya mereka mengetahui dan tidak menganggu anda.

Kesimpulannya, Islam amat menyanjung tinggi setiap usaha yang dilakukan untuk menuntut ilmu. Namun begitu ianya perlulah dilakukan dengan cara yang beradab. Dalam Islam, ilmu dan adab sama sekali tidak boleh dipisahkan bahkan ia adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Tidak ada gunanya jika seseorang pelajar itu memiliki ilmu yang hebat namun tidak mempunyai adab atau etika yang baik. Adab yang baik sebenarnya adalah cerminan atau manifestasi keilmuan seseorang. Semakin tinggi ilmu seseorang itu maka semakin baiklah adabnya dan begitu jugalah sebaliknya. Oleh yang demikian setiap pelajar perlulah memahami, mengambil berat dan mempraktikkan adab belajar yang baik walaupun ianya dilakukan secara dalam talian. Imam Malik bin Anas Rahimahullah sebagaimana yang dinukilkan di dalam Kitab Hilyatul Auliya’ pernah mengungkapkan tentang keperluan mempelajari adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu. Sebenarnya pandemik yang yang berlaku pada hari ini juga, sama ada kita sedar atau tidak sedang mengajar manusia termasuk penuntut ilmu kembali mempraktikkan semua adab dan etika yang baik bukan sahaja dalam pembelajaran namun dalam semua aspek kehidupan.

-- BERNAMA

Dr Hasnizam Hashim ialah Pensyarah Kanan/Ketua Program Sarjana Muda Fiqh & Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)