NOTA KAMPUS

PENGGUNAAN APLIKASI DALAM TALIAN NORMA BAHARU PENDIDIKAN TINGGI

24/08/2020 08:26 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohd Hafiz Abu Hassan

Pandemik COVID-19 memberi kesan yang sangat besar kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Di peringkat pengajian tinggi tempatan, banyak garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan profesional lain untuk memberi fleksibiliti kepada institusi pengajian tinggi (IPT) agar PdP dapat dijalankan dengan lancar.

Mengambil contoh negara lain

Di China, medium kolaborasi seperti Tencent QQ dan WeChat, kelas dalam talian menggunakan ZOOM dan pembelajaran kendiri menggunakan platform Massive Open Online Courses (MOOC) menjadi pilihan utama. Di Universiti Zhejiang (ZJU), Platform ‘One-stop research at ZJU’ yang diwujudkan telah menggalakkan saintis dan pelajar peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) untuk menjalankan kolaborasi secara dalam talian dengan pelbagai pemegang taruh peringkat global seperti industri, alumni dan universiti awam tempatan di China.

Di Canada, video persidangan menggunakan aplikasi ZOOM menjadi pilihan PdP dalam talian. Temu duga pengambilan pelajar baharu juga menggunakan aplikasi ZOOM yang dilaksanakan Kolej Universiti King dan Universiti Western. Universiti Brock pula melaksanakan minggu orientasi secara maya. Selain itu, pembelajaran kendiri menggunakan platform MOOC for Coursera dilaksanakan di Universiti Toronto Scarborough. Perkhidmatan kaunseling pula diberikan kepada pelajar secara dalam talian dan panggilan telefon di Universiti Ottawa, Universiti Victoria, Universiti Royal Roads, Universiti Winnipeg, Universiti Lethbridge dan Universiti Mount Saint Vincent. Pembelajaran menggunakan kaedah Z-degrees yang mana pelajar menggunakan open textbooks juga diperkasakan melalui platform e-Campus Ontario.

Di Kenya, dilaporkan lebih 90 peratus pelajar mempunyai infrastruktur yang sesuai untuk PdP dalam talian di United States International University-Africa. Oleh itu, ujian secara open book, peperiksaan menggunakan sistem proctoring, projek, kajian kes dan penilaian berasaskan rakaman video dilaksanakan di universiti tersebut sebagai kaedah penilaian berterusan melalui platform yang dinamakan Respondus Lockdown Browser Application dan Blackboard.

Di Australia, The University of Adelaide telah melaksanakan beberapa alternatif untuk membantu pelajar yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Pelajar dibenarkan untuk menggunakan fasiliti yang ada di kampus seperti makmal komputer dan perpustakaan untuk menjalankan PdP dalam talian tetapi perlu memastikan penjarakan sosial.

Melalui webinar yang dianjurkan pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang bertajuk ‘Distance learning strategies what do we know about effectiveness?’, penceramah-penceramah telah berkongsi kaedah yang telah diamalkan di negara masing-masing. Di Lebanon, tenaga pengajar menggunakan televisyen kebangsaan dan saluran Youtube yang mana pembangunan bahan PdP dilakukan secara sukarela dan dikongsi bersama. Di Finland, pendidikan TVET melaksanakan pendidikan amali melalui simulator yang telah dibangunkan di laman sesawang.

Di United Kingdom pula, Department of International Development (DFID) UK mengumumkan pembatalan terhadap semua jenis peperiksaan peringkat tinggi dan rendah dan menggalakkan penilaian alternatif. Justeru, The Open University melaksanakan evidence based assessment for digital learning sebagai kaedah penilaian manakala galakan diberikan kepada pelajar untuk melakukan pembelajaran dalam talian secara kolaboratif.

PdP IPT di Malaysia

IPT di Malaysia juga telah bertindak menambah baik kaedah PdP sedia ada. PdP secara dalam talian melibatkan proses daripada merekod kehadiran pelajar sehingga pelaksanaan pentaksiran pelajar. Kehadiran pelajar boleh direkod sama ada secara segerak (synchronous) atau tidak segerak (asynchrounous) dengan menggunakan kaedah yang bersesuaian seperti penggunaan QR code, Google Form dan Microsoft Form.

Pelaksanaan PdP pula boleh dilakukan melalui pelbagai platform sedia ada seperti MOOC, Open Educational Resources (OER), Flipped Classroom secara dalam talian, kelas tutor secara maya menggunakan Big Blue Button selain menggunakan Learning Management System (LMS). Platform yang dimaklumkan ini juga mampu untuk merakam kehadiran pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang dilakukan pelajar.

Pelaksanaan PdP dalam talian secara segerak boleh dilakukan dengan mengunakan Microsoft Teams, Webex, Facebook Live, Google Classroom, Google Meet, Zoom dan Skype For Business. Pelaksanaan secara tidak segerak pula boleh dilakukan dengan mengunakan Microsoft PowerPoint, Microsoft PowerPoint Recording, YouTube, Powtoon, Prezi, WeVideo, SoundCloud, Google Slides, Slideshare, Google Drive, Dropbox, Screencast-O-Matic, VideoScribe, sumber daripada Khan Academy, Edmodo, Google Classroom, Facebook, Instagram, Twitter, Pinterest dan Flickr. Manakala, pelaksanaan aktiviti PdP bersama pelajar boleh dilakukan dengan menggunakan Google Form, Microsoft Form, Padlet, Blendspace, Mentimeter, Flipgrid dan Mindmeister yang mana setiap alat bantuan PdP dalam talian boleh disemak di laman sesawang UNESCO.

Pelaksanaan penilaian dan pentaksiran dalam talian pula boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah dan seharusnya berpandukan kaedah Outcome Based Education (OBE) dengan merujuk kepada Bloom’s Digital Taxonomy bagi membangunkan rubrik yang bersesuaian dengan keperluan kurikulum program. Pelbagai medium pentaksiran dalam talian yang boleh diketengahkan seperti Socrative, GoFormative, Kahoot, Quizziz, Quizlet, Gimkit, Poll Everywhere dan EdPuzzle yang mana ianya juga boleh dicapai di laman sesawang UNESCO. Pelaksanaan peperiksaan akhir secara dalam talian juga boleh dilaksanakan namun perlu mengambil kira kesediaan pensyarah dan pelajar daripada segi infrastruktur, internet akses dan perbezaan zon masa pelajar antarabangsa.

Cabaran

Di sebalik pelbagai kaedah tersedia yang boleh diguna pakai, setiap IPT perlu memastikan cabaran utama berkaitan dengan PdP secara dalam talian perlu diselesaikan dengan baik. Isu yang pertama adalah berkaitan dengan kesediaan pengajar berkaitan dengan kualiti bahan PdP yang perlu dibangunkan. Bagi menjaga kualiti PdP dalam talian, setiap IPT perlu melaksanakan kursus/klinik bagi meningkatkan kemahiran pensyarah khususnya pentaksiran dalam talian.

Cabaran yang kedua adalah berkaitan etika dan plagiat PdP dalam talian. Setiap IPT perlu memastikan bahan PdP yang dibangunkan dan pengunaan isi kandungan media (seperti grafik, audio, video, animasi dan lain-lain) tidak melanggar hak cipta mana-mana pihak. Ini termasuk isu plagiat untuk pelaksanaan peperiksaan akhir dan penilaian berterusan secara dalam talian dan ianya perlu dikawal dengan baik melalui penyediaan garis panduan yang jelas kepada pelajar dan pengajar. Cabaran yang seterusnya adalah berkaitan dengan penilaian dan pentaksiran pelajar. Ianya perlu dilaksanakan dengan adil dengan mengambil kira kekangan pelajar daripada segi infrastruktur dan capaian internet.

Pelbagai hikmah diperoleh akibat penularan wabak COVID-19 dengan terhasilnya pelbagai norma baharu dalam bidang pembelajaran di IPT. IPT akan menjadi lebih kreatif dan fleksibel dalam pelaksanaan PdP. Bagi pelajar yang tidak mempunyai masalah peranti dan capaian internet, PdP secara dalam talian boleh menjadi pilihan utama. Manakala pelajar yang mempunyai kekurangan daripada segi peranti dan capaian internet, bantuan subsidi internet kepada ahli fakulti dan pelajar-pelajar yang mengikuti PdP secara jarak jauh (melalui pos) boleh diusahakan.

PdP juga sesuai dilaksanakan secara hibrid yang mana gabungan antara PdP dalam talian dan jarak jauh boleh diintegrasikan mengikut kesesuaian. Ini bertujuan memberi fleksibiliti kepada IPT untuk melaksanakan kaedah PdP yang terbaik dengan mengambil kira masalah dan kekangan yang dihadapi pihak yang terlibat. Selain itu, norma baharu juga dipertingkatkan untuk bidang penyelidikan yang mana sebarang bentuk proses penerbitan artikel juga akan berlaku secara dalam talian dan ini akan menggalakkan kolaborasi di peringkat antarabangsa.

Kesimpulannya, semua pihak yang terlibat perlu bekerjasama dalam menghadapi norma baharu ini. Segala amalan yang baik perlu menjadi ikutan dan garis panduan pelaksaan PdP pada masa akan datang. KPT, MQA dan badan profesional lain perlu lebih fleksibel demi memastikan PdP boleh terus dilaksanakan tanpa mengabaikan kualiti yang diperlukan.

-- BERNAMA

Dr Mohd Hafiz Bin Abu Hassan ialah Pensyarah Fakulti Sains & Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)