NOTA KAMPUS

“STUDENT ATHLETES" JUARA SUKAN DAN AKADEMIK

28/08/2020 09:38 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mon Redee Sut Txi

Sehingga kini, mungkin masih terdapat beberapa pihak yang beranggapan bahawa sukan tidak dapat menjamin masa depan lebih-lebih lagi dalam mendapatkan peluang pekerjaan yang setanding dengan mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan yang lebih tinggi. Pada pendapat saya, persepsi ini haruslah dihapuskan daripada budaya pemikiran masyarakat kita kerana telah terbukti bahawa pembabitkan aktif dalam sukan dalam kalangan pelajar sekolah mahupun mahasiswa pada masa kini dilihat tidak menjejaskan pembelajaran mereka.

Tanggapan ini tidak lagi relevan berikutan semakin ramai atlet yang mencatat kejayaan yang cemerlang dalam bidang pengajian walaupun dalam masa yang sama mereka sibuk dengan latihan serta pertandingan di peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Kejayaan seiring

Komitmen mereka dalam memburu pingat dan juara dalam arena sukan nampak tidak pernah menghalang mereka daripada memberi fokus dalam pembelajaran supaya seimbang seiring dengan pencapaian sukan yang ingin dikecapi. Mereka sedar akan kepentingan pendidikan dalam menjamin masa depan mereka apabila tidak lagi bergelar atlet suatu hari nanti. Malah ada dalam kalangan mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di univerisiti awam dan swasta bagi mengejar impian mereka dalam bidang pembelajaran.

Sebagai seorang mahasiswa yang bergelar atlet sepenuh masa, mereka sedar akan tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang atlet yang perlu memastikan keputusan yang cemerlang dalam setiap kejohanan yang akan disertai. Dalam masa yang sama, pencapaian akademik juga perlu diberi perhatian yang serius. Ini adalah kerana, mereka sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab sebagai seorang atlet negara, pelajar universiti serta anak kepada ibu bapa yang sentiasa meletakkan harapan yang tinggi terhadap kejayaan mereka. Dengan keputusan yang cemerlang yang diperolehi oleh mereka di padang mahupun di dalam kelas akan menjadi kebanggaan pasukan,universiti, negara dan khususnya ibu bapa.

Pengalaman peribadi

Di sini saya berkongsi sedikit pengalaman sebagai seorang atlet memanah negara satu ketika dahulu dan dalam masa yang sama perlu memberi fokus kepada pembelajaran. Saya merupakan seorang pelajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Kuala Lumpur semasa tingkatan empat dan lima. Selepas menamatkan pengajian di SSBJ, saya telah ditawarkan untuk menyertai pasukan memanah negara bagi persiapan Sukan SEA dan banyak lagi kejohanan yang telah dirancang oleh pasukan. Dalam masa yang sama, saya juga telah melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di Universiti Putra Malaysia. Sepanjang saya berada di dalam skuad memanah negara, saya telah menetapkan matlamat yang ingin dicapai dalam sukan yang saya ceburi iaitu ingin beraksi di sukan olimpik suatu hari nanti. Dalam bidang pelajaran pula, saya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD dan menjadi seorang pensyarah di institusi pengajian tinggi tempatan.

Dengan matlamat dan cita-cita tersebut, saya tidak pernah berputus asa dan berhenti selagi ia tidak menjadi kenyataan. Berpegang kepada prinsip “tabah dan berusaha” dalam apa jua cabaran dan rintangan yang datang, saya memastikan setiap langkah yang diambil akan memberi makna dan keputusan yang positif kepada diri sendiri dan semua yang terlibat dalam tugasan tersebut.

Pada hari ini, saya amat bersyukur kepada tuhan dan peluang yang diberi oleh semua pihak yang terlibat sejak saya mula melangkah kaki ke sekolah sukan dan seterusnya ke menara gading, kini saya telah berjaya memperolehi segulung ijazah kedoktoran dalam bidang psikologi sukan di USM, Kubang Kerian. Saya juga kini bertugas sebagai seorang pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim serta saya juga berjaya menjadi pemanah pertama negara yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Athen pada tahun 2004 serta mencipta rekod dalam arena sukan yang diceburi sebagai atlet dan juga sebagai seorang jurulatih.

Dorongan dan disiplin diri

Namun, kejayaan ini adalah hasil sokongan dan kerjasama secara berterusan daripada kedua ibu bapa, para jurulatih, para guru dan pensyarah, rakan sepasukan, pihak Majlis Sukan Negara, Kementerian Pendidikan Tinggi dan pelbagai pihak yang juga tidak pernah berputus asa untuk melihat seorang atlet yang bergelar mahasiswa mencapai impian yang dikejar. Secara tidak langsung sikap bertangggungjawab, keyakinan diri serta jati diri dan disiplin diri yang tinggi yang dibentuk sejak awal penglibatan dalam sukan secara serius telah banyak membantu dalam melakar kejayaan sama ada di atas padang mahupun di dalam kelas.

Selain daripada itu, dari semasa ke semasa kita sering mendengar nama-nama jaguh sukan seperti Pandalela Rinong, ratu sukan terjun negara yang merupakan mahasiswa di Universiti Malaya dan rakan sepasukannya Leong Mun Yee yang sedang melanjutkan mengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Putra Malaysia, Fatin Nurfatehah atlet memanah negara yang merupakan pelajar PhD di Uniersiti Pendidikan Sultan Idris dan ramai lagi yang merupakan ahli sukan negara yang masih bergiat aktif dalam sukan masing-masing.

Untuk mencapai impian, tiada jalan pintas. Kita perlu berusaha dengan lebih gigih supaya ianya membuahkan hasil pada satu hari nanti. Sebagai seorang atlet universiti, kita perlu lebih bijak dalam pengurusan masa dan diri sendiri dengan cara yang lebih profesional di dalam bilik kuliah, di atas padang, di dalam dewan peperiksaan ataupun di dalam persiapan menghadapi pertandingan. Dengan slogan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi iaitu “thinking athletes” sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada mahasiswa yang bergiat aktif dalam bidang sukan supaya lebih bijak, cekap dan tenang dalam mengatur langkah serta strategi sepanjang karier mereka. Lambat ataupun cepat mereka tamat pengajian, mereka perlu bersabar dan perlu fokus kerana tugas yang dipikul demi mengharumkan nama negara dan universiti di pesada antarabangsa.

-- BERNAMA

Dr Mon Redee Sut Txi merupakan Pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKj) Universiti Pendidikan Sultan Idris

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)