TINTA MINDA

BAHAYA DIABETES KEPADA JANTUNG BAYI DALAM KANDUNGAN

21/12/2020 08:36 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Putri Yubbu

Diabetes atau lebih dikenali sebagai penyakit kencing manis merupakan penyakit kronik yang banyak diperkatakan terutama komplikasinya kepada penghidap.

Bagaimanapun, kurang perhatian diberi atau kesedaran mengenai bahaya diabetes yang tidak terkawal khususnya kepada bayi dalam kandungan.

Laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019 menganggarkan seramai 3.9 juta (18.3 peratus) penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas menghidapi diabetes, peningkatan yang ketara berbanding 13.4 peratus pada 2015.

Angka ini merupakan tertinggi di Asia. Ia sangat membimbangkan kerana angka ini dijangka meningkat kepada 7 juta orang pada 2025. Dianggarkan 50 peratus daripada mereka tidak mengetahuinya sehinggalah ujian gula dalam darah dilakukan.

Laporan National Diabetes Registry 2013 – 2019 pula menganggarkan hanya 32.4 peratus pesakit diabetes yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan mencapai tahap kawalan diabetes yang optimum.

Kawal gaya hidup

Sehubungan itu, kesedaran masyarakat sangat penting mengenai penyakit diabetes, rawatan, komplikasi dan kepentingan mengambil langkah-langkah pencegahan dari peringkat awal melalui gaya hidup serta pemakanan yang sihat.

Bagi ibu-ibu hamil, mereka mungkin telah mempunyai penyakit diabetes sebelum mengandung dikenali sebagai pra-gestasi diabetes (pre-Gestational diabetes). Mereka juga boleh mendapat diabetes semasa mengandung atau lebih dikenali sebagai diabetes gestasi (Gestational diabetes).

Kajian di Malaysia menunjukkan prevalen diabetes gestasi di Malaysia adalah setinggi 27.9 peratus. Oleh itu, pengesanan awal diabetes dalam kalangan wanita yang berisiko tinggi adalah penting untuk mencegah komplikasi bukan sahaja kepada ibu tetapi juga pada bayi dalam kandungan.

Komplikasi dan risiko akibat diabetes

Masalah diabetes yang tidak terkawal pada awal kehamilan memberi kesan kepada pembentukan jantung bayi yang boleh menyebabkan masalah jantung kongenital.

Ia juga boleh dikaitkan dengan kecacatan seperti sacral agenesis di mana tulang punggung bayi tidak terbentuk dengan normal, kecacatan sistem saraf otak (anencephaly) dan paling serius boleh membawa kepada kematian janin (stillbirth).

Komplikasi lain yang tidak kurang pentingnya termasuklah saiz bayi terlalu besar yang menyukarkan proses kelahiran, masalah kurang gula pada bayi (hipoglisemia) dan masalah kuning (jaundis).

Ibu-ibu hamil yang menghidap diabetes tidak terkawal didapati mempuyai risiko lima kali ganda bayi mereka menghidap penyakit jantung kongenital berbanding ibu-ibu hamil yang sihat.

Fakta ini menunjukkan bahawa pengawalan diabetes sangat penting sebelum merancang untuk hamil, begitu juga ketika hamil untuk mengelakkan komplikasi tersebut.

Bahaya diabetes kepada jantung bayi

Sebagai doktor pakar jantung kanak-kanak yang mempunyai minat dalam pengesanan awal masalah jantung bayi semasa dalam kandungan, saya terpanggil untuk membincangkan isu ini. Sejak kepulangan saya dari melanjutkan kepakaran dalam bidang pediatrik kardiologi di Children Hospital of Philadelphia, Amerika pada awal tahun 2016, hampir separuh rujukan yang diterima daripada pegawai perubatan atau pakar obstetrik dan ginekologi untuk pemeriksaan lanjut jantung bayi adalah daripada kalangan ibu-ibu hamil yang menghidap diabetes.

Masalah jantung kongenital yang dikaitkan pada bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menghidap diabetes adalah jenis jantung berlubang (ventricular septal defect), masalah saluran darah terbalik (transposition of great arteries), masalah injap saluran darah ke paru-paru dikenali (pulmonary atresia) dan masalah jantung kompleks yang lain.

Terdapat juga bayi yang mempunyai anatomi jantung yang normal tetapi mempunyai otot jantung yang tebal dikenali sebagai hypertrophic cardiomyopathy.

Pemeriksaan imbasan (ultrasound scan) jantung bayi dalam kandungan atau lebih dikenali sebagai fetal echocardiography boleh dilakukan pada usia kandungan seawal 18-22 minggu.

Kaunseling sebagai persediaan

Pengesanan awal ini membolehkan kaunseling diberikan pada ibu bapa mengenai jenis masalah jantung yang dialami, perancangan kelahiran dan rawatan yang diperlukan selepas bayi dilahirkan. Kaunseling banyak membantu ibu bapa untuk lebih bersedia daripada segi mental.

Perancangan kelahiran yang dilakukan dapat memastikan rawatan sebaiknya diberikan di hospital yang menyediakan kepakaran dalam merawat jantung bayi.

Pengesanan awal ini memberi impak yang besar terutamanya pada masalah jantung kongenital yang kritikal kerana bayi boleh mengalami biru yang teruk (severe cyanosis) akibat tahap oksigen yang terlalu rendah atau kegagalan jantung jika mendapat rawatan yang lambat.

Cabaran melakukan fetal echocardiography pada bayi dalam kalangan ibu yang menghidap diabetes ialah kebanyakan mereka juga mengalami masalah obes dan masa rujukan pada usia kehamilan agak lewat yang menyukarkan penghasilan imej jantung bayi yang jelas.

Oleh itu, kerjasama doktor di Obstetrik dan Ginekologi, dan mereka yang terlibat dalam rawatan ibu hamil di klinik kesihatan kerajaan atau swasta adalah penting untuk memastikan kejayaan pengesanan awal masalah jantung kongenital.

Justeru, memastikan kawalan diabetes yang baik sebelum merancang kehamilan dan semasa tempoh kehamilan adalah penting untuk mengelakkan komplikasi diabetes pada bayi.

Diabetes yang tidak terkawal membawa kesan yang serius pada jatung bayi dalam kandungan. Pengesanan awal masalah jantung pada bayi boleh dilakukan melalui fetal echocardiography. Ia membolehkan perancangan pengurusan yang sebaiknya kepada bayi dan memberi kaunseling kepada ibu-bapa yang terlibat.

-- BERNAMA

Dr Putri Yubbu merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, Pakar Kardiologi (Pediatrik), Hospital Serdang

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)