PENA WANITA

PENJARAKAN SOSIAL : MUNGKINKAH MENJURUS MALAYSIA KEPADA KONSEP ‘OHITORISAMA’

04/01/2021 07:25 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr. Noor Dzuhaidah Osman

Virus yang menyebabkan pandemik COVID-19 ini amat besar kesannya daripada pelbagai aspek seperti ekonomi , politik dan sosial, antaranya kerana pembudayaan norma baharu penjarakan sosial. Dikatakan negara Jepun menjuarai penjarakan sosial kerana selama ini memang penduduknya mempelopori dan mengamalkan konsep ‘ohitorisama’ (hidup sendiri). Beginilah yang terjadi apabila suatu masyarakat yang terlalu pesat membangun dan terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing, hingga memerlukan ruang masa untuk diri sendiri dan hidup secara sendiri-sendiri.

Terdapat pelbagai sebab mengapa Jepun memilih ‘ohitorisama’ bagi membebaskan kekangan seseorang individu dari individu lain contohnya akan berkurangnya pengaruh dan tekanan rakan sebaya, atau sekadar melepaskan kepenatan daripada rutin kerja harian yang meletihkan minda dan fizikal . Di Jepun terdapat pelbagai kemudahan awam untuk mereka yang hidup sendiri seperti tempat duduk seorang sahaja di restoran, berkaraoke seorang diri di tempat karaoke, tempat duduk seorang di panggung wayang, pusat boling, mengembara seorang diri dan sebagainya.

Perubahan sosial masyarakat

Pandemik COVID-19 juga dilihat boleh menjurus kepada ‘ohitorisama’ di negara ini secara sedikit demi sedikit jika penularan COVID-19 ini tidak dikekang. Penjarakan sosial di tempat-tempat ibadat, di masjid-masjid, surau-surau telah membuatkan masjid dan surau yang sememangnya jarang dikunjungi jemaah lelaki umumnya melainkan solat Jumaat, tarawih dan solat sunat hari raya, makin bertambah kurang dikunjungi. Tempat ibadat sering ditutup atau tidak dibuka seperti biasa iaitu hanya ketika waktu solat kerana COVID-19 yang memerlukan penjarakan tempat solat, memenuhi norma dan prosedur meletakkan kedatangan, suhu dan sebagainya, secara tidak langsung merenggangkan ukhuwwah kariah masjid dan pengunjungnya yang biasa atau sekali sekala.

Apabila rumah ibadat adalah antara tempat di kejiranan yang menampakkan kehadiran dan kewujudan seseorang di taman perumahan atau tempat kerja semakin kurang dikunjungi, maka hubungan antara manusia yang beragama semakin berkurang seperti yang diwar-warkan oleh pendakwah agama akhir-akhir ini. Apabila hubungan antara manusia semakin longgar secara fizikal, di kawasan kejiranan atau tempat kerja, maka tidak mustahil manusia akan mula hidup beribadah sendiri, jika tidak berjemaah bersama keluarga di rumah.

Selain itu sentuhan fizikal yang tidak digalakkan sebagai contoh bersalaman dan berpelukan selepas solat di masjid atau di majlis keramaian juga perkahwinan kerana ditakuti jangkitan COVID-19 juga bisa menjarakkan hubungan erat antara manusia sesama manusia.

Konsep ‘ohitorisama’ dalam masyarakat Malaysia

Walaupun begitu, berkemungkinan budaya, adat dan agama yang dianuti penduduk negara ini dan Jepun yang berbeza memungkinkan fenomena ‘ohitorisama’ ini lambat merebak di Malaysia. Namun kebarangkalian penjarakan sosial akibat COVID-19 memungkinkan hal ini terjadi di masa depan.

Ledakan kemajuan sekitar tahun 90an telah menyaksikan masyarakat di bandar awalnya hidup secara individualistik, tidak kenal mengenali sesama jiran tetangga. Manakala masyarakat di luar bandar yang generasi awal dan seterusnya masih mengamalkan semangat kejiranan yang kuat seperti bergotong royong, kenduri kendara secara masak bersama, maka pengaruh individualistik itu tidak kuat seperti di bandar. Ajaibnya di kampung dikatakan hampir satu kampung yang berjumlah ratusan orang mengenali satu sama lain.

Selain itu, konsep 'ohitorisama' juga dilihat diamalkan secara dasarnya oleh segelintir orang Islam juga agama lain yang dikatakan mendalami ilmu ketuhanan, tasawuf, sufi dan sebagainya. Konsep beruzlah, bertafakur di tempat-tempat sunyi seperti di kawasan-kawasan terpencil, gua-gua, pergunungan, dan sebagainya tanpa memakan makanan dari haiwan berdarah cuma tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran yang juga dikatakan ‘vegetarian’ , adalah berbeza dengan konsep asal ‘ohitorisama’.

Konsep beruzlah dilihat melarikan diri daripada hidup dengan manusia lain dan mendekatkan diri dengan Tuhan agar lebih kenal Tuhan dengan mendirikan sembahyang, berzikir, membaca Quran , kitab dan pelbagai jenis ibadah lagi.

Konsep ‘ohitorisama’ pula dilihat melarikan diri dari kesesakan dan kesibukan hidup di dunia dan menghabiskan masa untuk diri sendiri dengan pelbagai aktiviti secara sendiri. Masyarakat di Malaysia walau hidup sendiri kebanyakannya masih ada pertalian keluarga dan saudara mara juga mengekalkan hubungan dengan rakan yang terdekat. Ditambah lagi dengan budaya sesetengah bangsa yang masih mengekalkan tradisi hidup berkeluarga yang besar secara serumah atau tinggal berdekatan, maka ini mengurangkan kebarangkalian hidup secara ‘ohitorisama’.

Ambik cakna, kekang konsep ‘ohitorisama’

Maka di kala pandemik terutamanya majikanlah selain keluarga dan rakan yang perlu mengambil berat akan kebajikan pekerjanya terutamanya yang hidup sendiri, akan kehadiran dan ketidakhadiran walaupun bekerja secara dari rumah. Jika tidak dipantau maka tidak hairanlah akan ada kes-kes kematian pekerja seorang diri di rumah di kala pandemik ini.

Bekerja dari rumah walau secara dasarnya dilihat bagus bagi mengekang penularan wabak, juga boleh merenggangkan hubungan antara rakan sekerja yang seharusnya bekerjasama erat menjayakan sesuatu projek. Pekerja yang bekerja secara individu dan mengamalkan sikap individualistik akan menambah kebarangkalian masyarakat akan datang mengamalkan ‘ohitorisama’.

Ya benar, individu mempunyai hak untuk memilih hidup secara berkelompok atau secara konsep ‘ohitorisama’. Akan ada masa di mana individu perlu mengasingkan diri lalu hidup berfikir dan bekerja sendiri. Namun ianya bukan sepanjang masa yang mungkin menyentuh produktiviti, dan membentuk sikap peribadi sesetengah pekerja yang tidak boleh kerja secara efektif berpasukan tetapi sendiri-sendiri. Namun apabila bekerja secara berkelompok maka haruslah norma hidup bekerjasama itu diadaptasi dan tidak secara ‘nafsu nafsi’. Akan ada masa di mana kita perlu juga orang lain tidak kira pangkat atau darjat, atau kekananan untuk mencapai matlamat atau menjayakan sesuatu misi organisasi.

Semarakkan kehidupan di kejiranan, juga eratkan ukhuwah sesama rakan sekerja juga kuatkan ikatan kekeluargaan dan saudara mara juga sahabat handai di kala COVID-19 agar kita tidak terlarut kelak dalam kehidupan individualistik juga ‘ohitorisama’. Kita punya agama juga budaya yang kuat dan mampan yang seharusnya mampu mengekang ‘ohitorisama’ pada masa hadapan.

Mungkin jika majoriti masyarakat menjadi lemah dan rosak seperti zaman-zaman akhir kejatuhan empayar Rom akibat keruntuhan moral, atau ketika zaman datangnya Dajjal yang merosak aqidah, maka agaknya ketika itulah ‘ohitorisama’ atau beruzlah itu perlu.

-- BERNAMA

Dr. Noor Dzuhaidah Osman merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)