TINTA MINDA

KEMPEN PENANAMAN 100 JUTA POKOK

21/03/2021 10:07 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Hutan yang sihat mampu menjamin keselamatan hidup kita dengan menjadi benteng kepada bencana alam seperti banjir, kemarau, tanah runtuh, pencemaran, penyakit, ribut dan gangguan fizikal lain.

Penebangan hutan yang tidak terkawal di negara ini telah memberi impak yang cuk up besar bukan sahaja kepada manusia tetapi juga kepada alam sekitar. Tidak dinafikan, sebarang bentuk aktiviti pembalakan serta sebarang bentuk perubahan guna tanah hutan mendatangkan kesan buruk yang boleh mengundang kepada peningkatan kejadian bencana alam.

Peranan Hutan

Yang paling ketara adalah penambahan intensiti, kesan dan risiko kejadian banjir di negara ini. Hal ini kerana, peranan hutan dalam mengawal masalah banjir dengan efektif iaitu dengan menutup permukaan tanah daripada hakisan hujan, menadah, menapis dan menyimpan limpahan air hujan dengan berkesan serta bertindak sebagai span semula jadi dalam menyerap lebihan air hujan/banjir telah dilenyapkan.

Malahan, peranan hutan dalam mengawal dan menahan mendapan tanah yang menjadi salah satu punca utama kepada banjir juga telah musnah. Maka tidak hairanlah mengapa bila berlakunya hujan lebat, banjir mudah terjadi. Ini membuktikan kehadiran tumbuhan hutan boleh mengelak atau/dan mengurangkan risiko kejadian banjir.

Struktur pokok hutan yang berakar menjalar, tunjang dan pelbagai saiz bertindak sebagai jaringan konkrit semula jadi untuk memegang struktur tanah. Namun, peranan hutan dalam mengukuhkan, mencengkam dan menstabil tanah daripada kejadian tanah runtuh telah lenyap. Akibatnya, bencana tanah runtuh telah meningkat dengan ketara, khususnya apabila berlaku hujan lebat.

Peningkatan suhu setempat boleh berlaku akibat aktiviti pemusnahan atau penebangan hutan yang tidak terkawal. Apabila pokok-pokok ditebang, cahaya matahari akan terus sampai ke permukaan bumi tanpa ada halangan daripada tumbuh-tumbuhan yang rendang.

Hal ini akan menyebabkan gas karbon dioksida yang dilepaskan oleh manusia dan haiwan terbebas dan terkumpul dalam udara kerana ketiadaan pokok yang berfungsi sebagai penyerap gas karbon dioksida dan pembebas gas oksigen. Fenomena ini akan menyebabkan kehidupan harian manusia terjejas kerana tidak selesa dengan cuaca yang terlalu panas.

Flora dan Fauna

Hutan Tropika merupakan habitat penting ratusan ribu spesies flora dan fauna lalu membentuk ekosistem dan interaksi kompleks yang memberikan stabiliti dan kelangsungan hidup di planet bumi.

Walaupun begitu, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Malaysia kini diancam masalah kepupusan serius pelbagai jenis hidupan liar sama ada flora mahu pun fauna.

Kemusnahan flora hutan telah menyebabkan spesies baharu mendominasi kawasan, malah kewujudan flora baharu akan mengubah persekitaran iklim mikro kawasan asal, serta saling kebergantungan antara spesies terganggu.

Masalah kepupusan hidupan liar di negara ini semakin kritikal berikutan pelbagai ancaman, termasuk kegiatan perubahan guna tanah hutan kepada pelbagai pembangunan tidak terancang, pembalakan dan pemburuan haram serta kelemahan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

Penebangan dan perubahan guna tanah hutan akan mengundang pelbagai kesan buruk kepada hidupan liar. Kemusnahan hidupan liar tertentu seterusnya mengganggu siratan makanan, keseimbangan populasi spesies asal terganggu, serta berlakunya penghijrahan spesies akibat kemusnahan habitat semula jadi mereka iaitu hutan.

Kemusnahan habitat ialah proses yang menyebabkan sesebuah habitat semula jadi hilang keupayaannya untuk menampung spesies-spesies hidupan liar yang sedia ada. Dalam proses ini, pelbagai jenis hidupan liar yang pernah menggunakan tapak habitat ini kehilangan tempat tinggal atau dimusnahkan, maka berkuranganlah jumlah biodiversitinya selain diancam kepupusan.

Kematian spesies terakhir badak sumbu Sumatra di negara ini, Tam seharusnya memberi peringatan tentang perlunya masyarakat segera bertindak untuk melindungi semua spesies terancam.

Pemuliharaan Hutan

Agensi berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pula perlu meneroka pendekatan baharu dalam pemuliharaan dan pada masa yang sama menangani ancaman yang dihadapi spesies terancam. Pengurusan habitat perlu diberi keutamaan dalam usaha memastikan haiwan terutama yang diancam kepupusan dapat diselamatkan.

Terdapat juga keperluan untuk mewujudkan satu pelan tindakan khas bagi menangani masalah kepupusan hidupan liar termasuk harimau, gajah, badak sumtra dan pelbagai spesies haiwan lain yang kini di ambang pupus. Kerajaan juga wajar mewartakan kawasan tertentu di taman negara dan pusat perlindungan hidupan liar sebagai zon larangan.

Penyahutanan hutan tanah tinggi yang berleluasa sekarang bukan sahaja membinasakan alam semula jadi tetapi juga memusnahkan "hutan awan" (cloud forest) yang boleh mengakibatkan kehilangan sumber air yang berharga. Membinasakan hutan bukit misalnya boleh menyebabkan kehilangan sumber air yang banyak kerana tanpa pokok, sebahagian besar lembapan di udara akan kekal di tempatnya sehingga proses hujan berlaku.

Tanpa kawasan hutan yang tebal, apa sahaja lembapan yang ada di atmosfera akan terdedah kepada sistem angin yang akan membawa lembapan itu ke tempat lain dan melepaskannya ke laut.

Akibatnya sumber air mentah semakin berkurangan akibat pemusnahan kawasan tadahan air ini iaitu hutan. Sumber air negara menjadi semakin merosot dan kronik disebabkan banyak hutan dan bukit yang menjadi kawasan tadahan air diteroka serta digondolkan bagi tujuan pembangunan.

Masalah kemarau juga berkait rapat dengan pengurangan sumber air. Apabila berlaku pembangunan tidak terkawal dan berterusan, seperti hutan atau kawasan bukit yang menjadi kawasan tadahan air semula jadi digondolkan, ia akan menjejaskan bekalan sumber air semula jadi bawah tanah yang akan menjadi mata air dan mengalir ke sungai. Kitaran hujan memerlukan hutan, oleh itu hutan menstabilkan kitaran hujan agar kemarau jarang berlaku.

Sebagai contoh, kemusnahan hutan hujan di Ulu Muda pada skala yang bakal mengancam keselamatan bekalan air di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang terutamanya pada musim kering setiap tahun.

Ini boleh menyumbang kepada berlakunya krisis air yang semakin serius di negara ini yang seterusnya mengganggu kelestarian alam malah kesejahteraan dan kelangsungan hidup manusia sendiri.

Ini kerana air adalah keperluan asas utama hidupan termasuk manusia. Dalam kes catuan air di Selangor dan Lembah Klang baru-baru ini, ia berpunca daripada kekurangan sumber air untuk diproses di loji milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sama ada dari sumber empangan atau sungai akibat kemarau dan penerokaan kawasan tadahan air.

Maka, cadangan pembalakan di kawasan tadahan air di mana-mana sahaja wajar dielakkan kerana kesannya amat merugikan banyak pihak, terutama penduduk setempat.

Justeru, kita tiada pilihan. Tindakan tegas mengawal dan memulihara hutan yang ada mesti dilakukan pada kadar segera jika tidak mahu isu krisis air berlarutan! Malahan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melindungi kawasan tadahan air dan bukan mengecilkannya.

Penanaman Pokok

Usaha kerajaan dengan menjadikan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok sebagai agenda nasional sehingga 2025 wajar disokong sepenuhnya kerana banyak impak positif yang akan diperolehi.

Langkah ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia merupakan lanjutan daripada langkah yang diambil oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun 2016 melalui beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang bernaung di bawahnya seperti Jabatan Hutan, Jabatan Alam Sekitar bersama-sama guru, pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang menyasarkan penanaman pokok sebanyak 80 juta menjelang 2020 di seluruh negara.

Lebih separuh daripada penduduk Malaysia tinggal di bandar besar dan kecil. Alam semula jadi atau kehijauan melalui langkah ini memberikan manfaat cukup besar terutamanya terhadap penduduk bandar dan memainkan peranan penting dalam perancangan bandar yang sihat dan berdaya huni.

Antara manfaat utama yang diperolehi hasil kempen ini adalah menyederhanakan suhu di kawasan bandar dan sekitarnya dengan mengurangkan kesan Pulau Haba. Hasil kajian menunjukkan bahawa suhu akan berkurangan di kawasan yang diliputi pokok atau kawasan berhutan. Pokok dan hutan yang wujud juga boleh menjadi manfaat estetika dan arkitektur yang adalah kepelbagaian landskap melalui pelbagai jenis warna, tekstur, bentuk dan kepadatan pokok yang wujud.

Semua dijadikan sebagai asas di dalam mereka bentuk bangunan dan infrastruktur lainnya agar menjadikan lebih menarik dan cantik dipandang. Faedah lain adalah, aktiviti ini berupaya mewujudkan kawasan rekreasi hutan bandar yang memberi peluang untuk warganya beriadah dan berinteraksi dalam kalangan mereka selain dapat mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan secara berterusan.

Pokok yang ditanam juga boleh dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar sekolah, universiti dan sesiapa juga yang berminat untuk mengetahui segala rahsia yang terkandung di sebalik pokok dan hutan bandar tadi. Pelajar boleh mengenal spesies, khasiat, kegunaan serta kepelbagaian spesies yang wujud di negara ini sebagai antara negara yang mempunyai kepelbagaian spesies paling tinggi di dunia menerusi kegiatan kokurikulum pada peringkat sekolah dan universiti.

Hutan Tropika merupakan habitat penting ratusan ribu spesies flora dan fauna lalu membentuk ekosistem dan interaksi kompleks yang memberikan stabiliti dan kelangsungan hidup di planet bumi. Hutan hujan di Malaysia merupakan antara hutan hujan tertua di dunia dengan usianya mencapai jutaan tahun dan mengandungi sekurang-kurangnya 8,000 spesies flora dan 400 spesies fauna, justeru, ia wajar dipulihara dan dipelihara sebagai sumber negara yang amat berharga.

Atas faktor tersebut, Dasar Perhutanan Negara turut menggariskan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan melalui program pembangunan hutan secara teratur dan lestari. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama memperjuangkan agar hutan kita terpelihara dan memastikan segala pembangunan di negara ini dijalankan dengan lestari dengan menitik beratkan aspek perlindungan hutan.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)