NOTA KAMPUS

USAHAWAN PERLU PERKASA PENGURUSAN RISIKO PERSEKITARAN PERNIAGAAN

05/04/2021 11:44 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Oswald Timothy Edward dan Dr Ehsan Fansuree Mohd Surin

Dalam dunia perniagaan yang semakin bergantung kepada ledakan perkembangan teknologi yang membawa kepada longgarnya halangan perdagangan serta penurunan kos komunikasi, risiko perniagaan semakin melangkaui sempadan negara. Ianya turut menjadi pemangkin kepada krisis kegagalan perniagaan.

Justeru, pengurusan risiko adalah ciri penting keusahawanan serta dalam pembangunan perniagaan. Pengurusan risiko perniagaan yang lemah sering membawa kepada kehilangan daya saing akibat kegagalan perniagaan dan sebaliknya, ia meningkatkan kemampanan perniagaan apabila risiko diuruskan dengan berkesan.

Risiko perniagaan

Risiko perniagaan merujuk kepada ancaman yang ditimbulkan kepada perniagaan focal yang berpunca daripada persekitaran politik, ekonomi, masyarakat dan teknologi firma. Risiko ini mungkin berpunca daripada perubahan yang tidak dijangka dalam dasar dan tindakan kerajaan atau firma pesaing.

Jenis risiko mungkin melibatkan aspek-aspek yang berkaitan dengan politik, isu silang budaya (cros-cultural), mata wang serta risiko gangguan perdagangan dan rantaian bekalan.

Sepanjang abad ini, pelbagai ancaman baharu dan lama seperti serangan siber, keganasan, keselamatan produk makanan di negara membangun dan jenayah siber telah muncul atau diwujudkan semula. Oleh itu, ianya telah mencetuskan keperluan untuk sumber dan kepakaran unik untuk bertindak balas, dalam usaha meneruskan kelangsungan perniagaan.

Risiko persekitaran perniagaan

Prestasi sesebuah perniagaan perlu mengambil kira risiko persekitaran perniagaan dan temp ia beroperasi. Dengan kebergantungan kepada teknologi maklumat yang semakin meningkat untuk kebanyakan perniagaan, risiko siber merupakan penyumbang terbesar keterdedahan usahawan atau firma kepada risiko perniagaan.

Hanya dengan satu insiden seperti gangguan teknikal, kesilapan manusia atau serangan siber, akan mengakibatkan gangguan perniagaan yang teruk, kejatuhan nilai saham dan kerosakan kepada reputasi syarikat.

Pada tahun 2017, ‘IT meltdown’ yang disebabkan oleh kesilapan manusia menyebabkan gangguan perjalanan untuk 75,000 penumpang British Airway. Pada tahun yang sama, Sistem Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom mengalami gangguan tahap kritikal yang tidak pernah berlaku sebelum itu, selepas serangan siber 'ransomware'. Ia turut menjejaskan banyak organisasi lain di seluruh dunia termasuk FedEx, Renault dan jaringan keretapi Jerman.

Risiko persekitaran perniagaan alaf IR4.0

Kehadiran Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang bakal membawa bersama perkembangan teknologi pengkomputeran dan automasi baharu bukan sahaja akan merancakkan lagi perubahan teknologi perkomputeran dan pengautomasian, malah meningkatkan lagi kebergantungan manusia kepadanya. Tiada siapa yang boleh lari daripada menerima tempias teknologi ini.

Pendedahan media massa berkaitan IR 4.0 sedikit sebanyak memberi kesedaran tentang pentingnya hal ini kepada semua lapisan masyarakat. Pendedahan tersebut juga tidak kurang menimbulkan perasaan bimbang, cemas dan takut dalam diri individu untuk menghadapi perubahan yang bakal berlaku disebabkan oleh Industri 4.0.

Dalam persekitaran perniagaan yang semakin kuat dan mencabar ini, usahawan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran amat di perlukan di pasaran kerana ia adalah keperluan bagi usahawan ini untuk membuat keputusan yang cepat dan tepat. Bagaimanapun, ramai usahawan gagal menguruskan perniagaan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar dan sentiasa berubah kerana kurangnya keupayaan dalam menangani situasi seperti ini.

Dalam konteks ini, persekitaran perniagaan yang dimaksudkan adalah persekitaran luaran yang berkemungkinan mempengaruhi perjalanan operasi sesuatu perniagaan. Faktor-faktor luaran tersebut terdiri daripada pesaing, pengguna, peranan kerajaan, peranan institusi kewangan dan peluang pemasaran.

Cabaran luaran yang dihadapi mungkin dari segi persaingan perniagaan, perubahan cita rasa pelanggan, keadaan ekonomi semasa, situasi politik dan lain-lain lagi.

Oleh itu, untuk kekal bersaing, setiap perniagaan perlu memberi perhatian terhadap perubahan persekitaran perniagaan ini. Tindakbalas yang pantas dapat membantu perniagaan untuk bergerak selari dengan atau lebih maju dari pesaing.

Persekitaran dinamik

Persekitaran dinamik mempercepatkan perangkaan strategi untuk memberi saingan terhadap pesaing. Selain itu, kerjasama antara satu perniagan ke perniagaan yang lain akan memberi impak yang positif dan lebih efisien.

Berdasarkan penyelidikan, persekitaran dinamik merupakan perubahan yang terdapat dalam persekitaran perniagaan. Para penyelidik berpendapat bahawa konsep persekitaran dinamik ini adalah sama seperti konsep persekitaran bergolak.

Perniagaan yang beroperasi dalam persekitaran dinamik ini memerlukan kadar inovasi supaya dapat berdaya saing. Oleh itu, sarjana-sarjana ini berpendapat setiap usahawan perlu mempersiapkan diri dengan pendidikan, pengetahuan dan kemahiran untuk membolehkan mereka bergerak pantas dalam perniagaan.

Persekitaran dinamik memerlukan kepantasan usahawan supaya berfikir dan bertindak segera terhadap peluang perniagaan. Ini kerana, hasil dari pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi daripada latihan dan pendidikan membolehkan usahawan meningkatkan daya kreativiti untuk melakukan inovasi.

Perlunya pemikiran kreatif dan kritikal

Ternyata usahawan akan mengalami kesukaran untuk bersaing jika sesuatu perniagaan itu hanya menjalankan inovasi terhad, walhal pesaing-pesaing telah mengorak langkah dan memaksimumkan penggunaan teknologi terkini.

Ketidakpastian pengaruh persekitaran perniagaan akan mempengaruhi prestasi perniagaan. Bagi perniagaan yang berkeinginan untuk berjaya, perniagaan tersebut perlulah berupaya untuk menangani pengaruh persekitaran perniagaan ini. Sebagai contoh, setiap perniagaan akan mengalami situasi ketidaktentuan terhadap nilai jualan tahunan dan juga persaingan.

Setiap perniagaan tidak mengira saiz pasti akan menempuhi cabaran-cabaran ini, cuma bagaimana ianya dihadapi bergantung kepada kebijaksanaan seseorang usahawan itu untuk merangka strategi menghadapi cabaran tersebut.

Perniagaan yang mempunyai nilai modal insan yang tinggi berupaya menangani permasalahan ini, manakala perniagaan yang kurang mempunyai nilai modal insan mengganggap tekanan daripada persekitaran perniagaan ini sebagai ancaman lantas gagal untuk menangani krisis ini. Oleh itu pemahaman terhadap risiko persekitaran perniagaan ini amat penting kepada usahawan.

-- BERNAMA

Oswald Timothy Edward merupakan Pensyarah Kanan (Pengurusan Risiko) Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Johor dan Dr Ehsan Fansuree Mohd Surin ialah Pensyarah Kanan (Keusahawanan) Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Puncak Alam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)