KETAMADUNAN

Seni Dan Budaya Tradisi Perlu Anjakan Paradigma

02/04/2021 11:06 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Mohammad Haris Abd Azis

Ketamadunan dan kemasyhuran sesebuah negara lahir daripada manifestasi seni dan budaya. Mengambil contoh tamadun Islam dan Eropah seperti Yunani dan Rom adalah antara tamadun besar yang mengecapi kegemilangan dalam konteks kesenian dan kebudayaan.

Sejarah telah membuktikan perihal ini. Bahkan seni dan budaya tradisi mempunyai peranan yang cukup besar dalam menyumbang kepada pembangunan sesebuah masyarakat terutama dalam membentuk sesebuah negara bangsa yang beridentiti.

Seni budaya dan jati diri masyarakat

Tahap kualiti dan kemudahan untuk kegiatan kesenian juga sering dikaitkan dengan taraf hidup sesuatu bangsa serta turut dijadikan sebagai kayu ukur antarabangsa dalam menentukan pencapaian kemajuan sesebuah negara.

Namun pada ketika ini, relevannya seni budaya tradisi terutama di Malaysia dalam membantu mewujudkan sesebuah masyarakat yang mempunyai keutuhan jati diri, berkeperibadian, mempertahankan warisan dan rasa keprihatinan terhadap sumbangan seni dan budaya sendiri dilihat semakin terhakis oleh arus perkembangan pesat dunia globalisasi.

Bagi yang berjuang mengekalkan konsep, bentuk, peranan dan konteks asal seni persembahan secara tradisi agar terus terpelihara serta terus diwarisi, sudah pasti bergelut dengan persoalan ini.

Berdepan pula dengan medium persembahan yang terhad dan keterbatasan tuntutan penjarakkan sosial pada ketika ini, memungkinkan seni tradisi itu semakin goyang, tidak dapat bertahan dan semakin tenggelam dalam arus pasca-moden. Lebih merisaukan apabila kita juga telah kehilangan ramai pakar-pakar seni persembahan tradisional yang ketiadaan pewarisnya.

Melestarikan seni tradisi dalam masyarakat moden

Luahan kebimbangan tentang masa depan seni persembahan tradisional terutama bangsa Melayu khususnya sudah lama dizahirkan oleh pelbagai pihak yang berkaitan. Ini termasuklah budayawan, ilmuan dan penggiat seni itu sendiri. Bahkan ada juga yang meletakkan sebab dari pengaruh penularan budaya popular barat sebagai punca utama kepada ancaman kelestarian seni persembahan tradisi.

Proses mengadaptasikan karya seni berupa seni tradisi dalam arus perkembangan pasca-moden dekad ini dilihat mencabar sisi daya upaya dan kreadibiliti penggiat seni untuk sentiasa berjuang melestarikan seni dan budaya. Tidak kurang pandangan sinis dan tempias tohmahan daripada mereka yang menilai seni tradisi itu dari sudut kehalusan dan nilai warisan jika ditampilkan dengan konsep yang berlainan daripada keasliannya. Malah dipandang serong jika dipersembahkan secara kontemporari dengan saduran pelbagai teknik dan dukungan teknologi terkini.

Walau apapun pokok pangkalnya, meletakkan seni tradisi untuk terus gah perlu sentiasa diikhtiarkan. Ikhtiar ini pula perlulah merentasi batas kebiasaan agar seni tradisi itu tidak sentiasa pada tahap di ‘takuk yang lama’. Justeru itu, kaedah persembahan dan cara mempromosikannya juga perlu sentiasa difikirkan, diinovasikan agar selari serta tidak janggal dengan kaedah penyampaiannya di mata generasi pada dekad ini.

Jika terlalu memandang dari sudut ketulenan dan sifat keasliannya, bagaimana pula dengan langkah kelestariannya pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada identiti budaya negara?.

Adakah kita perlu berdiam diri dan membiarkan tradisi itu hanya tinggal umpama artifak tinggalan sejarah?. Atau redha ianya tidak bernadi dan akhirnya pupus dimamah edaran zaman begitu sahaja?

Seni persembahan sebagai komoditi yang berpotensi

Justeru itu, anjakan paradigma terutama dalam kalangan penggiat seni budaya serta semua pihak perlu berubah. Apa salahnya jika warisan seni persembahan tradisi juga boleh dilihat sebagai satu bentuk dagangan yang boleh menghasilkan permintaan dan penawaran?.

Boleh dikormersialkan selari dengan arus persaingan budaya popular. Sememangnya itulah yang dilakukan oleh negara-negara maju di samping mengetengahkan budaya dan tradisi bangsa mereka di mata dunia. Bak kata pepatah ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

Sudah sampai masanya garapan seni tradisi dengan elemen semasa yang bersifat kontemporari perlu lebih berani dan rancak dikombinasikan sebagai langkah proaktif untuk disesuaikan dengan selera khalayak dan pasaran hiburan masa kini.

Allayarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) adalah contoh penggiat seni yang dilihat berpandangan ke depan, bertindak secara drastik dalam memartabatkan seni budaya tradisi menerusi langkah ini. Irama, rentak, melodi bahkan seni tari tradisi diberikan nafas baru dengan bentuk gubahan lagu, gerak tari dan corak persembahan tradisional Melayu yang diberi suntikan elemen kontemporari, telah berjaya menarik minat semua lapisan masyarakat bahkan masyarakat luar pada suatu ketika.

Irama tradisi yang dihiasi dengan ciri-ciri kreatif ini menjadikan muzik tradisi tersebut seakan istimewa, segar dan popular hingga menambat hati golongan muda mudi.

Sedar atau tidak, inilah antara kaedah yang dapat mendorongkan minat terutama generasi muda terhadap keunikan seni persembahan tradisional Melayu khususnya. Dengan cara ini juga, kelestarian warisan seni budaya Melayu ini lebih mudah diperturunkan dari generasi ke generasi seterusnya, bahkan wajar untuk terus diperdulikan.

Dalam erti kata yang lain, perlulah ada usaha untuk mempopularkan dan mengkomersialkan seni persembahan tradisional dalam mendepani gelombang persaingan budaya popular dari negara luar yang dilihat semakin menenggelamkan budaya seni tradisi kita sendiri.

Cabaran bukan halangan

Usaha ini sudah pasti tidak semudah ‘memetik jari lantas menghasilkan bunyi’. Sikap keterbukaan terutama penggiat, ilmuan, pengkarya serta budayawan seni perlu saling memberi pandangan dan dukungan agar check and balance dapat diharmonisasikan. Di samping itu, ini dapat mengelak salah tafsiran dan dapat menjaga sensitiviti sesuatu karya seni tradisi agar tidak keterlaluan dalam keghairahan mengkomersialkannya.

Kesefahaman ini penting untuk memastikan usaha dan kesepaduan bersama dapat dicapai dengan saling berbagi pandangan dan sokongan agar seni persembahan tradisional Melayu khususnya dapat sentiasa dikekalkan malah diperkembangkan pada satu tahap yang boleh dibanggakan bersama.

Mungkin juga boleh ditinjau peluang yang lebih terbuka luas berteraskan Industri Kreatif yang kini giat dijana oleh pihak kerajaan serta sokongan pertubuhan bukan kerajaan. Maka tidak mustahil seni tradisi itu dapat dipromosikan dan diperkenalkan ke peringkat antarabangsa yang akhirnya mendorong masyarakat luar untuk ingin mengenali lagi kepelbagaian seni tradisi lain yang menjadi identiti dan kebanggaan negara.

Menjana pertumbuhan industri seni

Menyebut tentang peluang dalam “industri kreatif”, sudah pasti menyinggung hal ehwal ekonomi hasil daripada produk kreatif yang dilahirkan oleh penggiat atau pengamal seni itu sendiri. Ini bermakna, seni kreativiti manusia menjadi sebahagian dari sumber utama ekonomi. Salah satu kaedah yang dilihat mampan dalam menjana pertumbuhan sektor industri ini adalah melalui sistem pendidikan dalam negara. Tetapi bagaimana?

Salah satunya adalah melalui penerapan kemahiran keusahawanan berorentasikan seni dan kreativiti yang boleh diterapkan bermula daripada peringkat sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Sistem pendidikan perlu memainkan peranan bagi mencungkil bakat dan menghasilkan modal insan seni kreatif dan inovatif yang dapat menyumbang kepada pembangunan Industri Kreatif itu kembali kelak.

Ini kerana kemampuan negara menjadi pengeluar produk seni budaya kreatif di dunia pada masa akan datang adalah bergantung kepada keperihatinan sistem pendidikan negara yang dapat melahirkan tenaga kerja industri kreatif yang berkualiti pada hari ini.

Ketika ini situasi globalisasi memaksa para penggiat seni terutama beraliran tradisi untuk turut serta memanfaatkan teknologi dan dunia digital agar dapat beradaptasi dengan perkembangan zaman. Ini terdorong demi menyahut seruan membudayakan normal baharu. Seperti yang kita sedari, budaya popular moden yang dibawa masuk pada era globalisasi ini adalah melalui kemajuan teknologi dan jaringan komunikasi.

Justeru ia tidak harus dilihat sebagai punca perosak seni dan budaya. Sebaliknya dilihat sebagai mekanisma atau sumber daya moden yang boleh diaplikasikan bagi meluaskan pasaran seni dan budaya secara global tanpa sempadan.

Demi memastikan kelestarian seni tradisional khususnya, orang Melayu perlu melihat segala bentuk kemampuan sama ada dari segi warisan seni muzik, tarian, nyanyian dan teater sebagai satu ‘komoditi’ yang mempunyai nilai komersial dan pelaburan yang tinggi. Namun, kebijaksanaan dalam menguruskan agenda ini perlulah selari dengan usaha memelihara imej dan identiti seni tradisi itu sendiri. Namun, perlu ditegaskan usaha ini memerlukan kesepaduan, kepedulian, pandangan malah pengurusan secara bersama semua pihak.

Kesimpulannya, pengetahuan dan bakat yang tinggi dalam bidang seni dan tradisi sahaja tidak mencukupi. Penggiat dan pengamal seni khususnya orang Melayu perlu dilengkapkan dengan kemahiran usahawan agar mampu bersaing dalam arus budaya popular moden.

Keterbukaan luas dalam industri kreatif juga adalah satu peluang yang perlu digarap sepenuhnya sebagai alternatif bagi mengukuhkan matlamat untuk mengekalkan kelestarian seni tradisi itu sendiri.

-- BERNAMA

Mohammad Haris Abd Azis merupakan Pegawai Kebudayaan Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)