KETAMADUNAN

BUKU, PERPUSTAKAAN DAN PEMBINAAN PERADABAN

26/04/2021 07:17 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Madya Kolonel Dr Burhanuddin Jalal

Bagi pencinta buku, tarikh 23 April setiap tahun amat bermakna kerana tarikh tersebut merupakan hari buku sedunia. Dari segi sejarahnya tarikh ini dipilih bagi memperingati William Shakespeare yang meninggal dunia pada tarikh tersebut pada 1616. Apabila menyebut tentang buku ianya selalu dikaitkan dengan perpustakaan. Dalam hal ini Ibn Khaldun dalam kitabnya ‘al-Mukaddimah’ menyebutkan bahawa teras utama peradaban manusia ialah ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan bermula daripada buku dan seterusnya menjadi perpustakaan. Dalam peradaban Islam perpustakaan telah memberikan impak yang besar terhadap kemajuan dan peradaban manusia.

Makna sebuah buku

Sesungguhnya ilmuwan Islam amat memberikan penghormatan yang besar terhadap buku dan perkara ini pernah dinyatakan oleh Muhyiddin Ibn Arabi dalam bukunya ; Muhadharat al-abrar wa musamarah al-akhyar’ yang dikutip oleh Ahmad Shalaby dalam bukunya ‘History of Muslim Education (1954) yang menyatakan bahawa, “buku ialah tetamu yang singgah sebentar, tinggal bersama, menjadi bayangan bahkan sebahagian dari anggota badan manusia dan di masa yang lain buku seumpama taman, sebagai lidah penyambung kata-kata dengan orang yang telah meninggal dunia dan menjadi juru bicara bagi orang yang masih hidup”.

Bagi ilmuwan Islam Jahiz, beliau menyatakan, “buku akan diam selama mana pembacanya memerlukan kesunyian, fasih berkata-kata jika pembacanya inginkan perbincangan, tidak mengganggu ketika pembacanya berkata-kata, apabila pembacanya kesunyian ia akan menjadi teman yang paling akrab, menjadi rakan atau teman yang tidak pernah curang sekali gus menjadi rakan yang tidak pernah membosankan”.

Perpustakaan sebagai gedung ilmu

Dalam zaman kegemilangan Islam, perpustakaan banyak diwujudkan oleh pihak pemerintah dan begitu juga orang-orang yang cintakan ilmu mempunyai perpustakaan peribadi di rumah masing-masing. Bagi menggambar kehebatan perpustakaan dalam zaman kegemilangan Islam, dalam buku, Maadza Qaddama al-Muslimuuna li al-‘Aalam” (2009) yang ditulis oleh Dr. Raghib As-Sirjani telah menyebutkan terdapat lima kategori perpustakaan sebagai bukti kecintaan umat Islam terhadap buku dan ilmu. Kategori perpustakaan yang beliau sebutkan ialah:

  • Pertama: Perpustakaan akademi (Baitul Hikmah).
  • Kedua: Perpustakaan khusus (Perpustakaan Khalifah Al-Mustanshir).
  • Ketiga: Perpustakaan umum (Perpustakaan Cordova yang didirikan Khalifah al-Hakam al-Mustanshir pada 350 H/961 M).
  • Keempat: Perpustakaan sekolah (Perpustakaan al-Faadhiliyah di Mesir).
  • Kelima: Perpustakaan masjid (Perpustakaan Al-Azhar dan al-Qairuwan).

Pada waktu itu cinta atau minat terhadap buku bukan sahaja dalam kalangan individu, bahan kerajaan dan pemerintah turut berminat dengan kemajuan dan perkembangan dunia perbukuan. Sebagai contoh Khalifah Makmun salah seorang pemerintah atau Khalifah dalam zaman Daulah Abbasiah memberikan ganjaran kepingan emas kepada para penterjemah dan penulis buku. Pada ketika itu para penulis buku amat dihargai dan disanjung oleh negara dan produktiviti mereka amat tinggi sehinggalah ukuran yang dibuat ialah daripada bilangan judul buku yang ditulis atau terjemahan yang dihasilkan atau jumlah perpustakaan yang diwujudkan di tempat mereka. Di antara contoh perpustakaan yang besar dalam zaman kegemilangan Islam ialah seperti:

  • Perpustakaan Baghdad mempunyai sejumlah koleksi buku yang amat banyak sehingga dikatakan boleh dibuat jambatan oleh tentera Tartar ketika mereka menawan Baghdad.
  • Perpustakaan Darul `Ilm Cairo yang dikatakan mempunyai 18,000 judul buku atau lebih daripada tujuh ratus ribu naskhah buku.
  • Perpustakaan Cordova (mempunyai jumlah koleksi sejumlah setengah juta buku atau 500,000 koleksi buku)

Selain daripada itu, terdapat juga perpustakaan individu yang cukup hebat seperti yang dipunyai oleh Abu al-Fadhl bin al-`Amīd, ketika hendak berpindah ke tempat lain, beliau memerlukan seratus ekor unta untuk mengangkut buku-buku beliau. Begitu juga perpustakaan yang dimiliki oleh Al-Shahib bin `Abbād. Menurut Gustav Lobon dan Will Durent (1877), koleksi buku yang terdapat di perpustakaan peribadi Al-Shahib bin `Abbād pada abad keempat hijrah itu melebihi jumlah buku yang terdapat di seluruh negara Eropah pada ketika itu.

Buku dan peradaban bangsa

Menjadi satu kemestian bagi kita untuk terus maju dan membina peradaban Malaysia sewajarnya kita mencintai buku dan juga ilmu dan kita sepatutnya telah mempunyai satu peradaban yang tinggi serta hebat kerana Malaysia pada hari ini, berdasarkan data terbaru daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), terdapat sejumlah 3,002 buah perpustakaan seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai kategori iaitu:

  • Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) – 1 buah.
  • Perpustakaan Komuniti PNM – 5 buah.
  • Perpustakaan Awam Negeri (PAN) – 340 buah.
  • Perpustakaan Desa (PD) - 1,099 buah.
  • Perpustakaan Khusus - 1,100 buah.
  • Perpustakaan Akademik – 457 buah.

Secara umumnya, peranan perpustakaan amatlah besar selain daripada pusat maklumat, ia juga sebagai tempat mengumpul, menyimpan dan memelihara koleksi intelektual sama ada dalam bentuk buku atau yang lainnya sebagai khazanah ilmu dan intelek. Dari aspek yang lain, jika hendak dikaitkan dengan aspek pendidikan khusus pengajaran dan pembelajaran, perpustakaan berperanan penting dalam usaha untuk meningkatkan aktiviti pembelajaran termasuk aspek penyelidikan.

Sempena dengan sambutan hari buku sedunia pada tahun ini khususnya suasana pandemik COVID-19, yang menyebabkan kebanyakan orang terpaksa mengehadkan aktiviti di luar rumah, amat wajar sekali kekuatan ‘buku sebagai rakan’ dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam menambah ilmu di samping mempereratkan ikatan sesama individu selain dari memperluas wawasan, merangsang pemikiran serta melonjak kreativiti dan membina harga diri. Selamat menyambut Hari Buku Sedunia!

-- BERNAMA

Profesor Madya Kolonel Dr. Burhanuddin Jalal, ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur dan dan ahli Kluster Pertahanan dan Keselamatan Akademi Profesor Negara.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)