TINTA MINDA

LINDUNGI PEKERJA DARIPADA JANGKITAN COVID-19

28/04/2021 09:11 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muzaffar Syah Mallow

(Artikel sempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia)

Setiap tahun pada 28 April, seluruh dunia termasuk Malaysia akan menyambut Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai Word Day for Safety and Health at Work. Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia ini bermula pada tahun 2003 oleh pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Matlamat utama sambutan hari ini adalah bagi menekankan pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan melalui kekuatan tripartite dan dialog sosial antara pihak majikan dengan pekerja dan juga kerajaan. Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia ini juga bagi memperingati mangsa–mangsa yang terlibat dengan kemalangan industri dan yang terdedah dengan penyakit ketika bekerja.

Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia ini juga telah diadakan setiap tahun di Malaysia sebagai peringatan kepada semua pihak dalam negara kita untuk mengutamakan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pekerja di semua jenis sektor pekerjaan yang ada.

COVID-19

Namun Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia yang telah disambut buat sekian lama ini diraikan dalam suasana berbeza semenjak tahun 2020 akibat penularan virus COVID-19. Penularan virus yang boleh mengancam tahap kesihatan dan nyawa manusia ini menuntut setiap pihak termasuk para pekerja untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan diri mereka tidak dijangkiti dengan virus yang telah menyebabkan kematian lebih tiga juta manusia di serata dunia sehingga kini.

Walaupun tiada sambutan besar–besaran sempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia pada kali ini dan pada tahun lalu, ia tidak bermakna kita perlu melupakan isu pokok atau mesej yang ingin dibawa melalui sambutan hari berkenaan iaitu keutamaan semua pihak khususnya yang berada di tempat kerja untuk memberi fokus kepada aspek keselamatan dan kesihatan diri masing–masing.

Keutamaan harus diberikan oleh pekerja bagi menjaga diri mereka daripada dijangkiti virus berkenaan dan mengelak ia daripada tersebar ditempat kerja dan dalam kalangan masyarakat sekiling. Oleh itu, adalah penting untuk pekerja mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) dan langkah–langkah pencegahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19 seperti arahan pemakaian pelitup muka dan hidung dan penjarakan sosial.

Sikap ambil mudah terhadap aspek pematuhan SOP dan pengambilan langkah pencegahan ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Peningkatan jumlah kes jangkitan virus COVID-19 dalam negara kita semenjak kebelakangan ini khususnya yang membabitkan kluster tempat kerja harus menjadi peringatan kepada semua pekerja untuk mengambil serius terhadap perkara ini.

Semua pihak ditempat kerja harus memainkan peranan mereka supaya tidak berlaku jangkitan ataupun penularan virus COVID-19 di tempat kerja masing–masing. Pihak majikan sebagai ketua harus memainkan peranan utama supaya pekerja mereka sama ada pekerja warga tempatan ataupun warga asing bebas daripada risiko jangkitan virus COVID-19.

Majikan

Sebagai ketua ditempat kerja, majikan perlu dengan sedaya upaya memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja mereka berada dalam keadaan yang baik pada setiap masa. Majikan perlu juga memastikan pekerja mereka tidak terdedah dengan risiko jangkitan penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan tahap keselamatan dan kesihatan diri pekerja mereka serta orang lain dan ini termasuklah virus COVID-19 yang sedang berlaku pada masa kini.

Majikan perlu memastikan keadaan persekitaran tempat kerja selamat untuk pekerja mereka melakukan sebarang jenis tugas. Antara langkah yang boleh diambil oleh pihak majikan dalam menghadapi masalah penularan sebarang jenis penyakit berjangkit di tempat kerja mereka dan dalam kalangan pekerja mereka ialah dengan mengenal pasti dan meminta pekerja mereka yang sakit untuk segera berjumpa doktor serta melakukan pemeriksaan kesihatan dengan terperinci, melaksanakan sepenuhnya sistem waktu kerja anjal atau fleksibel dengan memberi kebenaran kepada pekerja mereka melakukan kerja dari rumah, mengalakkan pekerja menjaga aspek kebersihan diri mereka dengan lebih kerap seperti membasuh tangan, memastikan keadaan tempat kerja sentiasa bersih dan selamat pada setiap masa serta memberi nasihat keselamatan dan kesihatan yang sewajarnya kepada pekerja mereka.

Majikan juga perlu memberi pendidikan dan pendedahan maklumat kepada semua pekerja terhadap penularan sebarang jenis penyakit yang sedang berlaku. Proses pendidikan dan pendedahan maklumat ini perlu meliputi proses mengenal pasti simptom penyakit serta langkah yang perlu diambil oleh pihak pekerja sekiranya mereka mensyaki diri mereka dijangkiti sebarang jenis penyakit. Memandangkan virus COVID-19 sedang menular di serata dunia serta di dalam negara kita pada ketika ini, pihak majikan perlu berhenti menghantar pekerja mereka buat sementara waktu untuk membuat tugasan ke tempat atau lokasi yang terjejas teruk dengan penularan virus penyakit berjangkit terbabit. Pihak majikan juga harus mengunakan segala kemudahan teknologi sedia ada bagi melakukan mesyuarat, bengkel, seminar, kursus dan lain–lain aktiviti pekerjaan secara dalam talian bagi mengelak risiko jangkitan virus COVID-19.

Perlu diketahui, tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi keselamatan dan kesihatan para pekerja ini bukan sahaja telah ditentukan dari sudut moral sahaja malah ianya juga telah termaktub di bawah peruntukan undang–undang buruh dalam negara kita. Seksyen 15 (1) & (2) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514] telah jelas memperuntukkan kewajipan kepada setiap majikan serta setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya ketika bekerja.

Kegagalan pihak majikan mematuhi peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514] ini boleh menyebabkan mereka yang terlibat dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau dua tahun penjara ataupun kedua–duanya sekali seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 19 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514]. Isu yang melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak terutamanya oleh pihak majikan yang merupakan ketua di sesebuah tempat kerja. Ianya hendaklah diberikan perhatian serius bagi mengelak perkara–perkara yang tidak diingini daripada berlaku dalam kalangan pekerja dan masyarakat sekeliling.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)