Oleh : Prof Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani dan Dr. Wan Nur Ira Izyan Wan Izani
Pelbagai reaksi masyarakat terhadap pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Aidilfilti dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini. Dalam pengumuman tersebut, PKP dikenakan kepada enam daerah di Selangor iaitu di daerah-daerah Hulu Langat, Petaling, Klang, Gombak, Sepang dan Kuala Langat sehingga 17 Mei 2021. Pada hari berikutnya, diumumkan pula PKP di Kuala Lumpur, di daerah Johor Bahru, Kulai dan Batu Pahat, Johor serta Mukim Taiping, Daerah Larut Matang dan Selama di Perak sehingga 20 Mei 2021. Di Terengganu, 14 Mukim di Daerah Besut turut dikenakan PKP. PKP di seluruh jajahan di Kelantan dilanjutkan sehingga 17 Mei 2021.
SOP PKP menjelang Aidilfitri kali ini merangkumi aktiviti sosial termasuk SOP kunjung mengunjung, larangan takbir dari rumah ke rumah, larangan rumah terbuka Aidilfitri dan juga ziarah kubur yang tidak dibenarkan. Di kawasan-kawasan PKP, dihadkan hanya 15 orang pengunjung pada Hari Raya pertama sahaja manakala di kawasan-kawasan PKPB dan PKPP, terhad kepada 20 orang pengunjung sehingga hari Raya ketiga. Namun, aktiviti kunjung mengunjung dilarang di kawasan PKPD. Solat Aidilfitri dibenarkan dengan SOP sedia ada tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa agama negeri. Selain itu, rentas daerah dan negeri turut tidak dibenarkan dalam kawasan PKP.
Minggu lalu, Kementerian Kesihatan Singapura telah mengesyorkan pengehadan interaksi sosial kepada had maksima iaitu dua kali di negara itu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Wesak pada bulan ini manakala kerjaan Singapura telah mengambil langkah menutup tempat-tempat perkelahan dan aktiviti rekreasi bagi membendung peningkatan kes di negara itu.
Umum mengetahui bagi memutuskan rantaian COVID-19, antara cara yang berkesan adalah dengan tidak menghadiri apa-apa aktiviti sosial, terutama sekali aktiviti yang melibatkan perkumpulan orang ramai.
Kelesuan pandemik bukan alasan
Tatkala kes-kes harian yang meningkat naik saban hari, orang awam mula menunjukkan pelbagai reaksi. Kita dapat lihat sendiri rata-rata orang awam telah memberikan maklum balas negatif dengan komen-komen mereka di media sosial. Petanda ‘kelesuan pandemik’ ini seterusnya mendorong kepada emosi serta perasaan negatif terhadap pembuat dasar dan pihak-pihak yang menjalankan dasar seperti pihak berkuasa.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan definisi ‘kelesuan pandemik’ sebagai tindak balas semulajadi yang dijangkakan terhadap kesukaran yang berlanjutan serta berpanjangan dalam kehidupan seseorang disebabkan oleh pandemik. Rasa tidak puas hati, terasing dan putus asa adalah antara ciri-ciri kelesuan ini.
Jika dibandingkan pada peringkat awal penularan COVID-19 tahun lalu, rata-rata rakyat sangat bersemangat untuk sama-sama memutuskan rantaian jangkitan, namun kini, rakyat mula bersikap acuh tidak acuh dan mengambil ringan SOP yang telah ditetapkan kerajaan. Ada juga yang terus mengabaikan langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19. Ini tidak seharusnya berlaku!
Bagaimanapun, kelesuan pandemik ini boleh dikurangkan dengan mengurangkan halangan-halangan terhadap kehidupan harian anggota masyarakat. Dengan menyampaikan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang oleh kerajaan dapat melegakan rakyat yang dalam keadaan tertanya-tanya tentang pengakhiran pandemik.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan PKP kali pertama yang lepas, memberikan pengiktirafan kepada kekhuatiran dan penderitaan masyarakat serta menggariskan pelan-pelan menghadapi pandemik serta bantuan daripada segi ekonomi dan ia memberikan impak positif dalam menangani kelesuan pandemik sekali gus memenangi kepercayaan rakyat.
Polisi yang berubah-ubah cetus kekeliruan
Selain itu, polisi yang berubah-ubah serta pengecualian dalam SOP serta undang-undang untuk sesetengah pihak perlu diatasi bagi memastikan rakyat tidak keliru selain mengelak tercetusnya bantahan dan emosi negatif dalam kalangan masyarakat. Justeru, adalah penting pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dengan telus dan berintegriti di samping mengenakan SOP serta polisi yang tegas dan tidak berubah-ubah.
Manakala pemimpin dan individu-individu berpengaruh daripada kalangan ahli politik, ahli perniagaan ternama, artis dan ‘inluencer’ sewajarnya menjadi contoh yang baik mengikut SOP yang telah ditetapkan dan bukan yang sebaliknya. Dalam keadaan rakyat yang serba tertekan, rakyat menilai perilaku dan pekerti yang ditunjukkan oleh golongan ini. Jangan kerana “seekor kerbau membawa lumpur, yang lain terpalit sama.’
Apa lagi yang boleh kita buat untuk kurangkan jangkitan secara segera?
Jumlah kes adalah salah satu angka dalam penilaian risiko bagi menentukan kejayaan kita membendung penularan pandemik ini. Di sebalik jumlah kes yang dilaporkan saban hari, terdapat empat faktor utama yang menentukan kejayaan kita mengurangkan jumlah kes harian.
Faktor yang pertama ialah faktor epidemiologi atau taburan penyakit. Ini termasuk bilangan kes baharu, kebolehjangkitan dalam komuniti dan juga impak jangkitan terhadap komuniti tersebut. Faktor yang kedua ialah faktor perwatakan masyarakat setempat. Ini termasuk saiz komuniti, kepadatan penduduk setempat, jenis aktiviti yang dilakukan dan juga kelakuan masyarakat dalam mematuhi SOP sedia ada. Dalam kalangan masyarakat bersaiz besar serta kepadatan penduduk yang tinggi, penularan wabak akan berlaku dengan cepat.
Yang ketiga ialah faktor keupayaan pusat rawatan seperti hospital, jumlah katil ICU, fasiliti rawatan berisiko rendah dan juga pusat-pusat rawatan seperti klinik kesihatan yang mampu untuk merawat kes-kes COVID-19. Faktor yang keempat keupayaan sistem kesihatan awam. Kerja-kerja lapangan seperti melakukan saringan, menjejak kontak, mengeluarkan arahan kuarantin atau pengasingan pesakit merupakan antara fungsi-fungsi sistem kesihatan awam selain membuat penilaian dan komunikasi risiko di lapangan dan dalam masyarakat.
Jadi, dalam usaha mengurangkan jangkitan COVID-19, keempat-keempat faktor ini harus diberikan penekanan sewajarnya. Dari aspek kelakuan dan perwatakan masyarakat, suka saya tegaskan sekali lagi untuk mengelakkan daripada mengadakan atau menghadiri aktiviti secara berkumpulan. Pemakaian pelitup muka sepanjang masa dan pengamalan penjarakan sosial adalah perlu. Amalkan kebersihan tangan dan jangan ambil ringan jangkitan COVID-19.
Secara dasarnya, walaupun kita telah lebih setahun berhadapan dengan wabak ini, pematuhan SOP dalam kalangan individu masih belum mencapai tahap 100 peratus. Semasa melakukan sembahyang Jumaat dan terawih secara berjemah di masjid misalnya, masih ada individu yang tidak mengenakan pelitup muka dengan betul, iaitu dengan meletakkan di bawah dagu. Masih ramai juga yang mengabaikan penjarakan sosial di tempat-tempat awam terutamanya sekali di bazaar Ramadhan dan bazaar Aidilfitri. Sikap acuh tidak acuh dan sambil lewa ini sangat membimbangkan dan boleh mengakibatkan jangkitan yang serius terutamanya dalam kalangan warga emas dan golongan rentan.
Paling penting, daftar segera untuk mendapatkan vaksin. Kajian menunjukkan bahawa tahap keberkesanan vaksin ialah di antara 60 peratus sehingga lebih 95 peratus dalam kalangan yang telah melengkapkan dos vaksin. Vaksin juga terbukti berkesan mengurangkan komplikasi dalam kalangan mereka yang mendapat jangkitan selepas menerima vaksin. Kami yakin, seiring dengan peningkatan pemberian vaksin dalam program imunisasi kebangsaan, jumlah kes akan turut menurun. Ini telah dibuktikan oleh negara-negara seperti Israel yang mempunyai jumlah penduduk yang tinggi yang telah melengkapkan dos vaksin mereka.
Kewajaran PKP secara bersasar dan menangani masalah secara bersama
Walaupun secara dasarnya, PKP secara bersasar menjelang Aidilfitri yang diumumkan menimbulkan rasa tidak senang dan kecewa sesetengah individu kerana tidak dapat pulang ke kampung dan menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelum pandemik melanda, keputusan ini diyakini dibuat berdasarkan penilaian risiko serta menggunakan teknologi terkini yang dibangunkan secara bersama dengan Bank Negara. Pematuhan kepada SOP sedia ada yang patut menjadi keutamaan masyarakat dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.
Menangani isu kesihatan mental termasuk kelesuan pandemik harus menjadi perhatian kerajaan. Selain itu, komitmen kerajaan yang tinggi serta pelan jangka masa panjang menghadapi pandemik ini penting untuk diuar-uarkan kepada masyarakat. Selain daripada menambah keyakinan rakyat menghadapi situasi yang sukar ini, tahap kepimpinan yang tinggi dapat memulihkan ekonomi negara.
Dalam pada itu, pemimpin dan individu-individu yang berpengaruh dalam masyarakat harus menunjukkan contoh yang baik dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Jika dulu kita semua sangat bersemangat untuk sama-sama “kita jaga kita”, kini, setelah lebih setahun menghadapi pandemik COVID-19, kita sepatutnya lebih matang dan bertanggungjawab menjaga diri, lebih-lebih lagi dengan hadirnya varian virus yang lebih senang merebak. Kerana akhirnya, wabak ini tidak mengenal sesiapa, semua orang termasuk rakyat dan pemimpin berisiko untuk dijangkiti.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani merupakanPakar Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Dr. Wan Nur Ira Izyan Wan Izani merupakan Graduan Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (USIM)