Oleh : Najwa Shaari
Kewujudan aksesori tali pinggang keledar yang lebih dikenali sebagai dummy buckle atau alat nyah aktif penggera tali keledar bukanlah sesuatu yang baru dalam kalangan pengguna kenderaan. Terdapat dua jenis dummy buckle yang biasanya dijual di pasaran iaitu Jenis 1 dan Jenis 2.
Jenis 1 mempunyai klip besi sahaja manakala Jenis 2 mempunyai ciri-ciri yang boleh menyambungkan tali pinggang keledar kepadanya.
Fungsi Dummy Buckle
Dummy buckle Jenis 1 memang jelas berfungsi untuk menghentikan bunyi amaran tali pinggang keledar namun bagi dummy buckle Jenis 2 pula, sesetengah daripada mereka menggunakan ia sebagai penyambung terutama bagi individu yang berbadan besar atau mengandung. Pengguna dummy buckle ini tidak sedar bahawa aksesori tersebut adalah tidak menyelamatkan dan akan tercabut jika berlaku kemalangan.
Dalam ujian perlanggaran yang dijalankan di MIROS PC3, Melaka, dummy buckle yang dipasang pada tempat duduk pemandu telah tercabut semasa ujian tersebut walhal kelajuan kenderaan adalah hanya 64km per jam! Cuba anda fikirkan, jika kelajuan 80km, 90km, atau 100km? Pastinya keadaan akan lebih teruk lagi!
Beberapa penyiasatan kemalangan telah dijalankan oleh MIROS dan mendapati terdapat beberapa kenderaan yang terlibat menggunakan aksesori dummy buckle ini pada tempat duduk mereka. Kebanyakan daripada mangsa tidak menggunakan tali pinggang keledar dan ia mengakibatkan mangsa tercampak keluar daripada kenderaan atau terkena hentakan kuat pada stereng atau papan pemuka kenderaan seterusnya menyebabkan kematian.
Perlu tindakan segera haramkan penjualan
Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Ir Dr Khairil Anwar Abu Kassim, aksesori ini boleh dijual secara berleluasa di pasaran dengan harga serendah RM2, sedangkan ia amat berbahaya jika digunakan pemandu kenderaan. Kata beliau lagi, perlu wujud satu peraturan yang melarang penjualan aksesori kenderaan yang berupaya mendatangkan risiko kematian apabila berlaku kemalangan. Oleh itu, beliau berpendapat perlu diwujudkan satu undang-undang yang boleh mengawal dan mengharamkan penjualan aksesori kenderaan yang berbahaya kepada pengguna kenderaan.
Jadi pengguna bijak
Kajian MIROS yang melibatkan 326 responden menunjukkan bahawa 12.9 peratus pemandu atau penumpang kenderaan pernah menggunakan dummy buckle. Ini adalah petanda yang tidak baik kerana jika tidak dicegah dari awal, peratusan mungkin akan meningkat saban hari. Sejak kebelakangan ini, banyak mangsa kemalangan jalan raya mati akibat tercampak daripada kenderaan. Beg udara berfungsi dengan baik tetapi malangnya, tali pinggang dan beg udara tidak dapat menyelamatkan mangsa.
Paling menyedihkan lagi apabila kenderaan dibeli dengan harga puluhan ribu ringgit dengan pelbagai sistem keselamatan yang telah dibangunkan oleh golongan profesional tetapi malangnya ia ditambah dengan aksesori yang berharga kurang dari RM10 untuk menipu sistem kenderaan.
Kita sebagai pengguna perlu bijak membuat keputusan dan berfikir kerana kemalangan berlaku tanpa diduga. Gunalah tali pinggang keledar keselamatan dan katakan tidak kepada dummy buckle.
-- BERNAMA
Najwa Shaari merupakan Pegawai Penyelidik Unit Keselamatan Kenderaan Penumpang (PVOS) Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)