PENA WANITA

KETERBUKAAN MENJANA KREATIVITI DALAM ORGANISASI

19/05/2021 06:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr. Azzanawawy Samat

Manusia itu diciptakan berbeza-beza, tidak sama antara satu sama yang lain, yang memiliki cara pemikiran dan kebolehan yang berbeza. Semua yang telah diciptakan mempunyai peranan yang dimainkan. Tiada satu pun manusia yang diciptakan dengan sia-sia dan atas dasar itu perlunya kita berlapang dada dalam menerima konsep kepelbagaian.

Berlapang dada atau sikap keterbukaan merupakan suatu sikap seseorang yang bersedia untuk mendengar, menerima pandangan dan kritikan orang lain. Namun keterbukaan bukanlah bermaksud mendengar dan menerima semata-mata, tetapi pada masa yang sama turut menilai pandangan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan.

Orang yang memiliki sikap keterbukaan ini dapat dilihat melalui respon atau tindak balas fizikalnya apabila melayani dan mendengar pandangan orang lain dengan penuh minat. Seseorang yang mempunyai sikap yang terbuka akan melayani orang yang ingin berjumpa dengannya tanpa mengira latar belakang orang tersebut bagi membincangkan sesuatu perkara dan menunjukkan minat untuk mendengar pandangan individu tersebut.

Keterbukaan dan rasa kekitaan

Sikap ini perlu ada pada setiap warga dalam organisasi sama ada penyelia atau kakitangan yang diselia. Bagi penyelia, keterbukaan bukan sahaja boleh membuatkan kakitangan berasa selesa untuk membincangkan sesuatu perkara, tetapi turut akan menggalakkan mereka menyuarakan pandangan dan cadangan. Tindakan “menutup mulut” kakitangan hanya akan menyebabkan mereka berasa tidak perlu bersusah payah memikirkan sesuatu isu dan masalah dalam organisasi. Ini kerana mereka berasakan bahawa tiada gunanya mereka berbuat demikian kerana mereka tahu bahawa pandangan dan cadangan mereka pasti tidak dihargai. Malah, dalam perkara-perkara tertentu, pandangan tersebut berkemungkinan langsung tidak dapat disuarakan. Akhirnya hanya terkubur begitu sahaja.

Ini seterusnya menyebabkan kakitangan lebih suka berpeluk tubuh dan tidak menghiraukan dan melibatkan diri dalam apa-apa perkara berkaitan permasalahan yang timbul. Ini kerana dalam minda mereka mulai tertanam bahawa tanggungjawab menyelesaikan masalah adalah tanggungjawab penyelia dan kakitangan tidak seharusnya dilibatkan.

Tindakan ini hanya membuatkan kakitangan menyisihkan diri daripada apa jua permasalahan dalam organisasi. Mereka ini hanya akan diibarat seperti robot yang bekerja mengikut masa yang ditetapkan dan menuruti arahan penyelia semata-mata. Rasa diri sebagai sebahagian daripada anggota organisasi akan terhakis sedikit demi sedikit dan akhirnya merugikan organisasi itu sendiri.

Bagi kakitangan pula, mereka seharusnya berlapang dada sekiranya pandangan yang disuarakan tidak diterima oleh penyelia mereka setelah penilaian dibuat. Mereka seharusnya faham bahawa keputusan yang dibuat itu perlulah dilihat daripada pelbagai sudut dan mengambil kira banyak perkara. Sekiranya pandangan tersebut tidak diterima pakai, sebagai kakitangan yang merupakan sebahagian daripada organisasi, usahlah berkecil hati, tetapi jadikan perkara tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus menyumbang tenaga dan idea kepada organisasi.

Menjana kreativiti dan motivasi

Menyedari perkara ini, satu perubahan sikap hendaklah dibuat dalam organisasi. Sikap keterbukaan dalam organisasi akan menggalakkan warganya sentiasa berfikir tentang sesuatu perkara atau masalah yang terjadi. Ini kerana mereka merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada organisasi dan adalah tanggungjawab mereka meningkatkan prestasi dan produktiviti organisasi.

Setiap idea yang dicurahkan akan memberi kepuasan kepada mereka dan secara tidak langsung berasakan diri mereka dihargai atas sumbangan fikiran tersebut. Secara tidak langsung, galakan berfikir ini akan menghasilkan warga organisasi yang mempunyai daya pemikiran kreatif dan inovatif. Akhirnya ini akan meningkatkan kreativiti dalam kalangan warga organisasi.

Dunia hari ini semakin mencabar kerana manusia semakin maju dan cerdik, ditambah pula akses kepada maklumat dan pengetahuan tanpa sempadan dengan bantuan teknologi. Persekitaran yang berubah turut mendesak perubahan dalam organisasi. Organisasi kini berdepan dengan pelbagai cabaran disebabkan pelanggan yang semakin kompleks yang mempunyai kehendak dan keperluan yang pelbagai.

Perubahan organisasi perlulah dibuat bagi memastikan tujuan dan objektif penubuhan organisasi tersebut masih relevan. Jika tidak, ada baiknya organisasi tersebut ditutup atau dibubarkan sahaja bagi mengelakkan berlakunya pembaziran sumber organisasi yang akhirnya merugikan banyak pihak, seterusnya memberi kesan tidak baik kepada negara.

Dalam mendepani cabaran yang semakin kompleks, organisasi dahagakan warga yang mempunyai daya pemikiran yang kreatif, mereka yang dapat berfikir secara analitikal dan praktikal mengenai sesuatu perkara atau permasalahan dan seterusnya membawa kepada penyelesaian.

Seseorang yang mempunyai daya kreativiti dapat menggunakan sumber sedia ada dan pengalaman yang ada bagi menghasilkan satu solusi baharu dengan meminimumkan risiko dan mengurangkan kos kepada organisasi. Kos yang dimaksudkan termasuklah dari segi perbelanjaan wang ringgit, masa dan sumber tenaga yang digunakan dalam perkara berkaitan.

Strategi membina dan mengekalkan hubungan dalam organisasi

Sebagaimana yang sedia maklum, bagi menggalakkan kreativiti dalam kalangan warga organisasi, seharusnya mereka ini diberikan ruang dan peluang yang bersesuaian dalam perkara tersebut. Penyelia seharusnya memberi kepercayaan kepada kakitangan dalam menguruskan sesuatu perkara dan kepercayaan itu seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para petugas.

Dalam sebuah organisasi, sesekali pasti akan timbul perkara yang boleh menjejaskan hubungan di antara penyelia dengan kakitangan. Sebagai manusia biasa, sesiapa pun tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun, sekiranya difikirkan daripada sudut positif, kesilapan itu sebenarnya suatu pembelajaran.

Penyelia tidak seharusnya terus melatah sekiranya kesilapan ini berlaku, ambilah sedikit masa untuk melihat dan memikirkan kesan dan akibat daripada kesilapan tersebut. Ketepikan sikap ego sebaliknya gunakan pendekatan memanggil kakitangan terlibat untuk mengetahui punca permasalahan dan berbincanglah dalam keadaan harmoni.

Tidak dapat dinafikan, sesetengah kesilapan yang dibuat oleh kakitangan sudah semestinya menerbitkan rasa amarah penyelia. Namun berfikirlah secara rasional kerana marah tidak akan mendatangkan kesan, malah akan menimbulkan kebencian kakitangan dan akhirnya merosakkan hubungan di antara kedua-duanya kelak.

Keterbukaan pemecah masalah

Bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, perlulah ada beberapa alternatif penyelesaian. Setiap idea perlu dibuat penilaian kesan dan akibatnya. Mengenal pasti risiko-risiko yang mungkin akan berlaku dan menilai tahap risiko tersebut. Sekiranya idea tersebut mempunyai tahap risiko yang paling rendah tetapi memberikan kesan positif kepada permasalahan tersebut, idea tersebut perlulah dipertimbangkan. Sekiranya penyelia ketandusan idea, tidak ada salahnya sekiranya melibatkan kakitangan yang lain. Penyelia boleh memberi galakkan dan rangsangan agar perbincangan yang dibuat secara bersama-sama tersebut mencapai tujuannya.

Secara ringkasnya, sikap keterbukaan amatlah penting dalam menghasilkan daya pemikiran yang kreatif dalam kalangan warga organisasi. Warga kerja akan berasa lebih dihargai dan terus menjana idea-idea dan kadang kala idea tersebut di luar daripada apa yang dijangkakan.

Sebagai fasilitator, penyelia seharusnya bertindak sebagai pemudah cara dan memastikan apa yang dihasratkan oleh pengurusan atasan disampaikan kepada kakitangan dengan jelas dan mudah difahami.

-- BERNAMA

Dr. Azzanawawy Samat merupakan Penolong Pengarah Kanan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)