TINTA MINDA

BERGERAK KE ARAH SISTEM MAKANAN MESRA BUMI

28/05/2021 09:53 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts Dr Saiful Irwan Zubairi

Peranan yang dimainkan oleh sumber dan sistem makanan di dunia dalam konteks pemuliharaan dan kelestarian bumi perlu dilihat kembali secara holistik. Ini kerana sistem makanan merupakan kelompok penggunaan tanah terbesar sebanyak iaitu sebanyak 34 peratus komposisi bumi dengan penggunaan sumber air mentah sebanyak 69 peratus. Sistem makanan juga merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran gas rumah hijau (GRH) sebanyak 25 peratus. Makanan dan planet bumi sangat saling berhubung kait sejak manusia mula berkehendakkan sumber makanan sebagai sumber tenaga dan metabolik tumbesaran.

Sejauh mana kesedaran manusia dalam menyeimbangi hubung kait tersebut agar bumi dapat kembali ‘bernafas’ untuk generasi seterusnya. Oleh yang demikian, berikut merupakan empat langkah utama bagi mendapatkan dan menggalakkan sistem kehidupan yang mampan agar bumi kekal seimbang, lestari dan boleh menampung keberadaan generasi mendatang:

1. Kurangkan penggunaan tenaga berlebihan

Secara khusunya, penggunaan tenaga elektrik secara berlebihan mampu memberi kesan langsung kepada pemanasan bumi akibat daripada permintaan bahan bakar fosil yang tinggi dalam pembekalan tenaga kepada pengguna.

Berdasarkan kepada statistik penggunaan tenaga 2017 melalui draf terakhir low carbon mobility blueprint 2021-2030 oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Malaysia, sektor utama penggunaan tenaga terbesar di Malaysia adalah melalui sektor penggunaan kenderaan persendirian, awam dan penerbangan iaitu merangkumi 37 peratus walaupun ianya hanyalah menjadi penyumbang nombor dua (20 peratus) gas karbon dioksida (80 peratus komposisi utama gas GRH) untuk kesan rumah hjiau selepas sektor pembekalan tenaga (44 peratus).

Bagi sektor pembekalan tenaga yang merangkumi hanya 26 peratus penggunaan tenaga, lonjakan pembakaran minyak fosil bagi janakuasa pembekalan tenaga elektrik akibat daripada permintaan pengguna domestik yang tinggi terutamanya ketika berlaku krisis pandemik COVID-19 melalui aktiviti-aktiviti dalam talian bagi urusan kerja, pendidikan, pembasuhan dan penyediaan/penyimpanan makanan sudah pasti dilihat bakal meningkatkan lagi penggumpulan gas tersebut.

Walaupun terdapat pengurangan drastik pengguna di sektor kenderaan persendirian, awam dan penerbangan ketika perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), ia tidak banyak membantu mengurangkan komposisi keberhasilan jejak karbon (carbon footprint) tersebut tetapi mungkin diunjurkan kembali kepada lonjakan sektor industri pembekalan tenaga akibat permintaan pengguna domestik yang mendadak.

Sebanyak 28 peratus bagi sektor penggilangan/pembuatan dan pembinaan (nombor empat penyumbang jejak karbon merangkumi tujuh peratus) turut memberikan unjuran lonjakan ke atas permintaan tenaga semasa terutamnya dalam sektor pembuatan dan rantaian pembekalan makanan yang turut mengalami burn-out pada sistem operasi pemprosesan dan pengurusan akibat daripada permintaan pengguna yang mendadak sepanjang pandemik tersebut.

Justeru, pengguna seharusnya lebih peka dan bijak dalam pengurusan tenaga di rumah dengan memastikan sebarang peralatan elektrik tidak dipasang pada masa yang tidak sepatutnya dan memilih pembelian peralatan yang jimat tenaga melalui pelabelan kecekapan tenaga (Suruhanjaya Tenaga) yang memberikan penafaran tertinggi lima bintang kepada perkakasan elektrik yang memberikan penjiimatan tenaga yang maximum.

Di samping itu, pengguna juga tidak harus mengikut perasaan dalam berbelanja membeli produk makanan terutama sekali produk makanan yang mempunyai tarikh luput yang cepat (cth: produk berasaskan roti) dan pembelian produk sejuk beku yang banyak kerana ianya boleh membeban sistem penyejukan peti simpanan dan secara langsung meningkatkan penggunan tenaga yang tidak cekap.

Pihak pengilangan dalam rantaian bekalan makanan juga perlu lebih proaktif dalam mempertingkatkan kecekapan unit operasi pemprosesan melalui servis berkala, penggunaan sumber alternatif tenaga lain melalui pemasangan panel solar, insulasi haba bagi menggelakkan kehilangan haba berlebihan dan regenerasi tenaga haba kepada sumber eletrik melalui simpanan bateri supaya penggunaan tenaga yang mendadak dapat diurus dengan lebih lestari dan efisien.

2. Pemilihan diet berasaskan tumbuhan dan bijirin

Sektor agrikultur yang merangkumi dua peratus penggunaan tenaga di Malaysia dilihat menjadi penyumbang ketiga kepada kesan rumah hijau (10 peratus). Daripada konsep from farm to fork dalam sistem rantaian makanan, kepelbagaian penggunaan tenaga dilihat menyumbang kepada gas rumah hijau terutama pada peringkat perladangan dan penternakan.

Pada peringkat huluan ini, penggunaan baja yang berlebihan, penebangan pokok dan pembakaran terbuka untuk pembukaan ladang ternakan secara berleluasa dan ketidakcekapan pengurusan sisa organik daripada peternakan dan perladangan meningkatkan penghasilan dua gas utama sektor ini iaitu gas metana (10 peratus komposisi utama gas GRH) dan nitrus oksida (tujuh peratus).

Masalah utama bagi sektor ini adalah kesan berantai yang bermula daripada diet masyarakat Malaysia yang tinggi ke arah permintaan daging merah daripada ternakan lembu dan kambing. Apabila permintaan melebihi keperluan semasa, maka akan lebih banyak aktiviti-aktiviti diperingkat huluan tersebut dipertingkatkan bagi menyediakan permintaan pengguna yang mendadak. Oleh yang demikian, sambutan tahun buah-buahan dan sayuran antarabangsa 2021 oleh Food and Agriculture Organization of the United Nations (FOA), amat bertepatan dengan situasi semasa yang mana stigma masyarakat terhadap diet berasaskan tumbuhan ini perlu diubah. Diet baharu ini dapat memberi alternatif diet tambahan yang lebih efisien dalam diet sedia ada dengan pengurangan pengambilan diet daging merah sebagai sumber protein utama untuk kefungsian sistem tubuh manusia.

Pengambilan diet alternatif ini dilihat mampu meningkatkan kepelbagaian sumber biologi, memperkasakan kelestarian sistem alam sekitar yang mampan dan pada masa yang sama peningkatan ekonomi dan kehidupan sosial para petani dan para pekerja di sepanjang sistem rantaian pembekalan makanan.

3. Konsep 3R: Kitar semula seberapa banyak yang boleh

Konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) ini telah lama diuar-uarkan dalam segala macam bentuk hebahan media konvensional. Di media sosial sekarang kerap dinyatakan kepentingan konsep ini dan pihak berwajib seperti KASA dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat kekal komited dalam terus memberikan kesedaran sosial dan pendidikan asas kepada generasi terkini agar mereka terdedah lebih awal kepada konsep kelestarian alam sekitar. Peranan 3R ini bukan sahaja perlu dimainkan oleh pembuat polisi, malahan ianya perlu diperhalusi daripada setiap penjuru rantaian bekalan makanan dalam sistem makanan kerana rantaian inilah penyumbang utama kepada penggumpulan sisa yang memberi impak langsung kepada keberhasilan jejak karbon yang tinggi.

Terdapat empat jenis bahan yang boleh dikitar semula masih kekal iaitu kertas, plastik, kaca dan aluminium. Konsep 3R tersebut adalah Reduce (Kurangkan) yang merujuk kepada pengurangan kuantiti sisa yang dijana di punca utama dengan mengurangkan jumlah produk dan jenis produk yang digunakan. Ia juga merujuk kepada pengurangan penggunaan sumber semula jadi (cth: menggurangkan penebangan pokok bagi penghasilan kertas). Ini bermakna kita perlu memberi perhatian kepada produk-produk yang dibeli, dihasilkan dan dibuang seperti pemilihan produk makanan yang mempunyai ciri-ciri pembungkusan yang boleh dikitar semula (paparan logo kitar semula pada pek pembungkus).

Reuse (Guna semula) yang merujuk kepada penggunaan semula barangan berulang kali, dan dengan berbuat demikian penjanaan sisa dan pembuangannya dapat dikurangkan.

Akhir sekali, Recycle (Kitar semula) iaitu merujuk kepada meletakkan sesuatu kembali dalam rantaian kitaran. Mengitar semula dengan mengasingkan sisa dan kemudian menyalurkannya kepada organisasi atau kilang-kilang yang memprosesnya semula supaya menjadi produk baru untuk kegunaan pengguna kembali. Menurut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), kitar semula bermaksud memungut dan mengasingkan sisa pepejal bagi maksud menghasilkan keluaran baru. Oleh yang demikian, konsep 3R ini dilihat masih perlu diteruskan sampai bila-bila agar ia kekal memberi kesedaran dalam mengubah sebarang sisa menjadi sumber-sumber yang mempunyai nilai tambah menarik, mengurangkan penggunaan bahan-bahan semulajadi, menjana sumber kewangan dan memberi faedah sosial dalam bentuk pendermaan barangan terpakai kepada yang lebih memerlukan.

4. Elakkan penggunaan bahan/produk pakai buang

Penggunaan bahan/produk pakai buang yang membazir seperti kutleri, sudu, garfu, penyedut minuman dan botol yang hanya diguna pakai hanya untuk beberapa jam sahaja amatlah tidak praktikal. Penghasilan bahan ini boleh menambahkan kos operasi dan harga langsung produk di samping boleh membebankan lagi sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Produk pakai buang seperti penyedut minuman khususnya telah lama memberi kesan kepada habitat kehidupan akuatik laut seperti penyu, ikan dan unggas yang mana sisa tersebut akan turut kekal berada dalam rantaian pemakanan dan merosakkan imbangan ekologi yang mana akan turut memberi kesan jangka panjang kepada rantaian perolehan sistem makanan (cth: akibat penurunan jumlah tangkapan ikan).

Langkah terbaik yang telah mula diambil adalah penyediaan kutleri dan penyedut minuman berasaskan biopolimer (cth: poliester) dan campuran kertas yang mudah terurai sedikit sebanyak mampu menggurangkan bebanan sistem pengurusan sisa sedia ada. Para pengeluar produk minuman kotak dilihat telah mula menggunakan penyedut minuman terkitar semula yang mesra alam dan ianya boleh dibuang sebagai sisa mudah terurai dan boleh dikitar semula bersama dengan kotak minuman tersebut.

-- BERNAMA

Ts Dr Saiful Irwan Zubairi merupakan Teknologis Profesional/Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia,

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)