Isu pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini menjadi polemik yang berterusan. Jabatan Perangkaan merekodkan pengangguran di negara ini mencecah 777,500 orang, manakala statistik www.jobsmalaysia.gov menunjukkan 174,327 pemohon pekerjaan adalah dalam kalangan siswazah. Walaupun isu ini diperdebatkan secara lebih serius ketika pandemik COVID-19 kerana kadar pengangguran semakin tinggi, namun pada hakikatnya hampir setiap tahun anggota masyarakat akan bercakap tentang soal ini.
Cakap-cakap tentang gaji yang rendah serta kerja yang tidak sepadan dengan kelayakan sebagai graduan terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan anggota masyarakat. Ia berikutan bilangan graduan yang dihasilkan oleh IPT terus bertambah pada setiap tahun, namun peningkatan dalam jumlah pekerjaan tidak begitu memberangsangkan dan membimbangkan.
Pengangguran
Secara prinsipnya, banyak faktor yang mempengaruhi isu pengangguran ini seperti krisis ekonomi dan kesihatan yang sedang kita hadapi sekarang, selain lambakan graduan di pasaran. Jangan lupa kita memiliki 20 universiti awam dan lebih 400 universiti swasta.
Dalam soal ini apa yang menarik perhatian kita ialah teori dan tuduhan bahawa kadar pengangguran dalam kalangan graduan tinggi kerana graduan dikatakan terlalu memilih pekerjaan dan meminta bayaran gaji permulaan yang tinggi. Tidak dapat dinafikan mungkin ada segelintir daripada graduan memiliki sikap seperti itu, tetapi tindakan anggota masyarakat kita memukul rata dan mendakwa semua yang menganggur itu memilih pekerjaan adalah sangat tidak wajar, adil dan rasional.
Pada hakikatnya, majoriti graduan kita memiliki semangat dan daya tahan yang kental sekali gus sanggup melakukan apa jua pekerjaan asalkan boleh memperoleh pengalaman serta pendapatan yang halal dan mencukupi untuk menampung keperluan diri, keluarga serta kelangsungan hidup.
Buktinya, ramai yang sudah mula menceburi pelbagai jenis pekerjaan sambilan sementara mendapat peluang yang lebih sepadan. Misalnya, sudah ada yang berani memulakan bisnes secara kecil-kecilan walaupun tiada modal yang besar serta memiliki pengalaman, ini termasuklah terlibat dalam aktiviti perniagaan dalam talian serta menjadi pemandu e-hailing dan penghantar makanan. Malah ada saja yang sanggup membantu perniagaan keluarga seperti jual kuih dan nasi lemak. Jelas sekali graduan seperti ini tidak memilih kerja apatah lagi malu untuk melakukan kerja yang tidak setimpal dengan kelayakan mereka. Jadi tidak wajar dilemparkan tohmahan bahawa semua graduan yang menganggur terlalu memilih pekerjaan.
Peluang pekerjaan terhad
Hakikatnya punca utama graduan menganggur adalah kerana jumlah peluang pekerjaan yang sesuai dengan mereka sangat terhad dan semakin mengecil terutamanya sejak serangan pandemik. Ini ditambah pula dengan keengganan para majikan untuk memberi peluang kepada graduan baharu menimba pengalaman dan membuktikan kemampuan. Ironinya situasi ini adalah di luar kawalan pada graduan, jadi janganlah meletakkan kesalahan di bahu mereka secara total.
Pada ketika ini, graduan juga jelas sekali tidak terlalu memberi keutamaan kepada jumlah gaji yang ditawarkan. Walaupun secara zahirnya mereka mengharapkan gaji yang setimpal dengan kelayakan namun mereka sedar situasi semasa tidak begitu menggalakkan dan memihak kepada harapan mereka. Justeru mereka sanggup menerima gaji yang kecil dengan harapan janji ada kerja serta boleh dijadikan platform untuk mengutip pengalaman. Dalam konteks ini, ramai juga yang sudah bersedia melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk menampung keperluan hidup dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.
Malah bagi penulis, tiada salahnya graduan mengharapkan gaji yang lebih sepadan dengan kelayakan diploma atau ijazah yang mereka miliki. Hal ini kerana, di samping kos sara hidup yang semakin tinggi, mereka memerlukan pendapatan yang mencukupi untuk membayar balik hutang pinjaman pendidikan serta mengurangkan beban keluarga di kampung.
Peranan semua pihak
Oleh itu, semua pihak perlu membantu graduan untuk membina masa depan yang lebih terjamin. Penglibatan mereka dalam ekonomi gig perlu dilihat sebagai bersifat sementara sehingga dapat peluang pekerjaan yang lebih baik. Untuk jangka panjang dan demi masa depan mereka dan negara yang lebih baik, kita tidak boleh mensia-siakan pengetahuan dan kepakaran graduan muda ini yang sepatutnya menerajui pelbagai sektor penting negara.
Justeru, di samping kita berharap pihak kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menambah peluang pekerjaan, kita juga berharap agar para majikan daripada sektor korporat dan swasta membuka peluang kepada graduan. Sediakanlah platform untuk mereka menimba pengalaman dan mengasah bakat sebelum menjadi seorang pekerja yang cemerlang dan berkemahiran tinggi memenuhi keperluan pasaran kerja tempatan.
Hentikanlah tohmahan dan dakwaan bahawa graduan terlalu memilih pekerjaan dan meminta gaji yang tinggi, sebaliknya kita perlu membantu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka. Hakikatnya, mereka ini adalah modal insan masa hadapan negara yang perlu disediakan ruang dan peluang yang secukupnya untuk menimba pengalaman dan membuktikan kemampuan sekali gus memikul tanggungjawab untuk meneruskan kecemerlangan negara.
-- BERNAMA
Noor Mohamad Shakil Hameed merupakan penganalisis isu semasa dan Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia