TINTA MINDA

VAKSINASI COVID-19 DAN PERANAN AGAMAWAN

04/06/2021 10:44 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Arrahman Awang

Apabila agama dilibatkan dalam perbincangan tentang sesuatu isu, ia sering berpontensi menjadi seperti 'tanah jerlus' dalam masyarakat yang mengundang polemik berpanjangan. Segelintir pemimpin agama di dalam komuniti percaya bahawa inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan berkaitan kesihatan awam seperti menggalakkan penerimaan vaksin COVID-19 adalah melanggar kebebasan, bukan tuntutan agama bahkan kurang berkeyakinan tentang keselamatan vaksin tersebut.

Hakikatnya agama seharusnya mendokong polisi kesihatan awam yang bertujuan memelihara kemaslahatan masyarakat. Organisasi agama perlu menjadi rakan penting penyampaian maklumat terutamanya dalam komuniti yang lemah pengetahuan. Di dalam hal ini, kita mungkin boleh mengambil iktibar daripada kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-68 bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa agama negeri perlu bersama-sama mempromosikan kesedaran tentang penerimaan vaksin dalam kalangan masyarakat kerana ia tidak terhad kepada usaha kerajaan semata-mata.

Panduan WHO dan peranan pemimpin agama

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan garis panduan sementara ketika tempoh pendemik COVID-19 melanda dunia pada 7 April 2020 yang menegaskan pertimbangan praktikal kepada pemimpin agama dan masyarakat berlandaskan kepercayaan dalam konteks menangani COVID-19.

WHO mengakui bahawa organisasi agama dan pemimpin agama memainkan peranan yang besar dalam menyelamatkan nyawa dan mengurangkan penyakit disebabkan COVID-19. Panduan WHO tersebut juga menjelaskan dan mengiktiraf peranan khas pemimpin agama dalam usaha mempromosi, pendidikan dan juga kesiapsiagaan menangani isu COVID-19.

Dalam konteks ini, organisasi agama dapat membantu dengan berkongsi maklumat yang tepat berasaskan bukti yang benar. Sebagai contoh dalam isu HIV/AIDS (Human immunodeficiency virus infection and acquired immunodeficiency syndrome), secara umumnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berperanan memberikan rawatan kepada pesakit-pesakit HIV/AIDS.

Namun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebuah organisasi agama berperanan menyampaikan maklumat dan mendidik pemimpin agama di peringkat komuniti tentang stigma dan pemahaman yang kurang tepat bahawa virus HIV/AIDS boleh tersebar semasa menguruskan jenazah penghidap HIV/AIDS. Virus HIV/AIDS sebenarnya tidak tersebar dan tidak berjangkit setelah pesakit AIDS itu meninggal dunia.

Pemimpin agama sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengan kumpulan rentan seperti warga tua, orang miskin, dan warga asing yang mungkin sukar dijangkau melalui ‘saluran rasmi’. Pemimpin agama adalah tokoh yang disegani dan dapat membuat keputusan yang signifikan di dalam beberapa perkara yang melibatkan kepentingan ummah.

Sebagai contoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah membuat keputusan bagi membatalkan penghantaran jemaah haji Malaysia pada tahun lalu berasaskan fakta hampir dua juta jemaah akan menunaikan ibadat haji di Mekah setiap tahun. Situasi tersebut jika tidak dikawal bakal mendedahkan masyarakat kepada risiko perhimpunan yang bersekala besar.

Pemimpin agama terbukti dapat memainkan peranan secara langsung dalam dasar kesihatan awam negara. Ketika peristiwa jemaah tabligh hadir ke perhimpunan keagamaan di sebuah masjid di Kuala Lumpur semasa tempoh awal penularan wabak COVID-19 tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu juga telah mengeluarkan kenyataan tentang kewajipan agar setiap yang hadir ke majlis tersebut untuk tampil menjalani ujian saringan bagi menjamin kemaslahatan semua.

Sinergi agama dan sains

Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui institusi masjid telah berperanan menyampaikan maklumat dan kesedaran berkenaan penerimaan vaksin melalui kaunter promosi dan pendaftaran vaksinasi serta Khutbah Jumaat Khas Isu Vaksin.

Agama dan sains tidak semesti bertentangan bahkan kedua-duanya saling memerlukan. Banyak prinsip penting yang digariskan oleh agama adalah selari dengan strategi kesihatan awam. Sebagai contoh prinsip memilih mudarat yang paling ringan selaras dengan kaedah fiqah yang disebutkan oleh Imam Ibn Nujaim: Maksudnya : Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan. (Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Ibn Nujaim).

Begitu juga prinsip mengutamakan maslahah seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah : ‘’Mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan’’. Oleh itu, perasaan empati, proakif dan hubungan awal pemimpin agama dan masyarakat dapat memainkan peranan yang penting bagi mendepani tempoh getir serta situasi kecemasan kesihatan dunia yang dilanda bencana COVID-19.

Bagi golongan profesional kesihatan, mereka mesti memastikan wujudnya komunikasi yang berkesan dan usaha yang serius untuk meningkatkan celik akal semua pihak tentang kepentingan kesihatan dan bahaya wabak COVID-19. Sekiranya usaha tersebut gagal, ia akan membentuk jurang pemisah dan pengasingan antara pemimpin agama dan dasar kesihatan sekaligus akan mengabaikan masyarakat beragama dengan sendirinya.

-- BERNAMA

Arrahman Awang merupakan Sekretariat Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)