Oleh: Prof Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim
(Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun 2021)
Alam sekitar dan manusia umpama “aur dengan tebing” dalam satu ekosistem. Alam sekitar menjadi tempat yang dihuni oleh manusia dan manusia menggunakan alam sekitar untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam kehidupan. Ekosistem merupakan interaksi atau hubung kait antara benda hidup dengan benda bukan hidup dalam alam semulajadi. Manusia yang menjejaskan alam sekitar dengan mengubah ekosistem akan mengundang bencana kepada manusia sendiri dan persekitaran alam sekitar itu sendiri.
Sempena Hari Alam Sekitar hari ini adalah menjadi tanggungjawab semua dalam menghayati temanya iaitu “Pemulihan Ekosistem”.
Merenung semula ekosistem
Dalam memahami pemulihan ekosistem ini, kita haruslah “merenung kembali, mencipta semula dan memulihkan” selari dengan moto sempena Hari Alam Sekitar tahun ini. Pelbagai perubahan ekosistem telah berlaku di negara kita dan meninggalkan kesan yang besar antaranya kemerosotan sumber dan kualiti air akibat pencemaran sungai. Tragedi Banjir Besar pada 2014 atau dikenali ‘Bah Kuning’ di pantai timur dan utara Semenajung Malaysia khususnya Kelantan, Terengganu dan Pahang seharusnya menjadi iktibar.
Akibat kerakusan manusia yang meneroka hutan, jumlah hujan yang banyak turun semasa monsun timur laut telah menyebabkan bencana banjir besar yang disertai lumpur dan sisa-sisa balak yang memusnahkan ekosistem fizikal dan memberi kesan buruk sekali. Mangsa banjir ini bukan sahaja menanggung kerugian, kerosakan harta malah kehilangan nyawa tidak berdosa.
Tragedi pencemaran air dan udara kesan perubahan ekosistem Sungai Kim Kim pula berpunca daripada kurangnya kesedaran dan rasa tanggungjawab oleh manusia yang rakus mengejar keuntungan dengan membuang sisa-sisa toksik ke dalam ekosistem sungai berkenaan.
Begitu juga tragedi runtuhnya kondominium Highland Tower yang mungkin semakin dilupai, tetapi kesan tragedi yang berpunca daripada penerokaan tanah cerun itu telah menyebabkan ekosistem cerun terganggu sehingga berlakunya bencana tanah runtuh.
Lebih menyedihkan, gangguan ekosistem juga telah menjadi pencetus kepada masalah kesihatan di seluruh dunia yang kini berdepan penularan pandemik COVID-19 yang dikatakan berpunca daripada hidupan liar kelawar di Pasar Makanan Laut Huanan yang menjadi perumal asal virus itu.
Para penyelidik pandemik termasuk daripada Akademi Perubatan Sains Shandong di China menyatakan haiwan-haiwan hidupan liar di pasar tersebut kemungkinan menjadi haiwan pengantara yang menjadi punca virus COVID-19 tersebar dan menjangkiti manusia.
Manusia yang mengubah habitat hidupan liar ini ke kawasan bandar menyebabkan berlakunya pandemik ekosistem bandar dan manusia. Ini seterusnya menjadi pandemik COVID-19 dunia dan mencatat sejarah pandemik kesihatan sehingga kini di hampir seluruh dunia termasuk Malaysia. Malaysia telah mencatatkan 595,374 kes secara keseluruhan sehingga 3 Jun 2021.
Mencipta Semula Ekosistem
Dalam mencipta semula ekosistem yang lebih baik, sambutan Hari Alam Sekitar tahun 2021 telah meletakkan agenda ini selari dengan pelaksanaan “UN Decade on Ecosystem Restoration” melibatkan lebih 70 buah negara dengan tema “pemulihan ekosistem” dalam perjumpaan Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ini memerlukan usaha memulihkan ekosistem yang diganggu dan dimusnah agar pemuliharaan ekosistem terus terpelihara. Kesihatan ekosistem harus dicipta semula kerana ekosistem kaya dengan kepelbagaian biodiversiti, kaya tanah yang subur dan dengan sumber yang bermanfaat, kaya dengan sumber kayu dan ikan serta tempat simpanan gas rumah hijau. Agenda ini menjadi tanggungjawab segenap peringkat umur rakyat Malaysia dalam memahami kepentingan mencipta semula ekosistem.
Apakah cara dan mekanisme untuk memulihkan ekosistem ini?
Usaha memulihkan semula ekosistem boleh dilakukan dengan pelbagai cara termasuklah menanam pokok malah menghindari tekanan terhadap ekosistem. Dengan cara ini alam sekitar dapat dipulihkan secara langsung dan tidak langsung. Pemulihan ini mampu menghilangkan 13 hingga 26 gigaton gas rumah hijau dari ruang atmosfera. Pelbagai ekosistem mampu dipulihkan termasuk hutan, tanah ladang, kawasan tanah bencah, ekosistem tasik, bandar dan lautan. Inisiatif pemulihan ini harus melibatkan semua dari pihak kerajaan dan usahawan sehingga ahli perniagaan, komuniti dan individu di seluruh Malaysia. Kita masih memerlukan tanah dan kemudahan infrastruktur di kawasan tanah untuk keperluan masyarakat namun kita wajib mengadaptasi perubahan iklim melalui memelihara kesimbangan ekosistem.
Pemulihan ekosistem matlamat pembangunan mampan 2030
Dalam usaha terus mewujudkan kesedaran pemulihan ekosistem ini, pelbagai inisitif di peringkat pengajian tinggi, komuniti pelajar dan komuniti masyarakat tetap perlu dilakukan situasi cabaran COVID-19 melalui webinar pemilihan ekosistem, kempen penanaman pokok di halaman rumah sendiri, program kitar semula minyak masak di rumah, kempen e-sisa elektronik, kitar semula, membuat baja kompos dari sisa makanan, kempen virtual mengenai pemulihan ekosistem, menggalakan aktiviti “urban house green projek” dengan membina aktiviti penanaman sayur-sayuran secara organik dan hidroponik di rumah. Dengan ini, pemulihan ekosistem dalam situasi COVID-19 dapat dilaksanakan secara mesra duduk di rumah.
Menurut United Nations Environment Programme (UNEP) kesedaran remaja 13 hingga 18 tahun terhadap pemulihan ekosistem amat penting dalam meningkatkan pengetahuan dan jangkaan meningkatkan pemulihan ekosistem sesebuah negara dan wilayah. Ini memerlukan momentum politik dan kerajaan yang berusaha memulihkan ekosistem dengan ribuan inisiatif pemulihan ekosistem alam sekitar.
Ini bertujuan untuk menghentikan aktiviti degradasi ekosistem, pengurangan karbon melalui dasar perubahan iklim Negara Malaysia dan mencapai matlamat pembangunan mampan 2030. Ini memerlukan usaha meningkatkan perspektif kesihatan ekosistem dengan masa yang sama meningkatkan daya huni manusia, mengatasi perubahan iklim dan menghentikan keruntuhan biodiversiti di Malaysia. Pemulihan ekosistem tanggungjawab semua, jadikan “Matlamat pembangunan mampan 2030” agenda semua.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim merupakan Dekan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan juga pensyarah di Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Felo Penyelidik Pembangunan Mampan (SIG SDGs), UPSI, Pengasas Projek Cintai Sungai Bernam, Perak & Profesor Adjung di Fakultas Geografi, Universitas Muhamadiyah Surakarta (UMS), Indonesia.