Tanggal 15 Jun 2021 menandakan genap tempoh satu tahun saya sebagai Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Masa pantas berlalu apabila sudah menjangkau 12 bulan agensi ini memulakan misi 'Reinvent' (Mencipta Semula) untuk memastikan kesesuaian MDEC dalam landskap sosial dan ekonomi hari ini. Seterusnya akan menjadi pendorong utama dalam memacu transformasi digital negara ke arah matlamat Malaysia 5.0. Ini merupakan perjalanan untuk mewujudkan negara yang sangat terintegrasi dengan teknologi, memberikan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan.
Modal insan merupakan nadi utama kepada organisasi di mana sahaja dan saya sangat ‘beruntung’ kerana MDEC dibarisi oleh bakat-bakat yang tidak hanya mempunyai etika kerja yang luar biasa tetapi juga memiliki asas yang diperlukan untuk memulakan perjalanan dan perubahan. Misi ‘Mencipta Semula’ sangat penting kerana kita secara holistik mengubah diri untuk memimpin lonjakan digital negara ke arah 4IR dan mendorong hasil berimpak tinggi seperti yang dibayangkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL). MDEC telah memilih 'jalan yang logik' untuk membawa agensi melalui empat fasa sejak setahun yang lalu.
Izinkan saya berkongsi perjalanan ini dengan anda.
Mencatur strategi
Dalam fasa satu yang bermula dari Jun hingga September 2020, objektifnya bermula dengan gambaran yang meluas iaitu bagi memahami amalan, budaya dan sentimen sedia ada MDEC serta mengenal pasti halangan untuk merealisasikan potensi penuh yang dimiliki ketika melaksanakan mandatnya. Pada masa sama, terdapat faktor-faktor yang harus ditingkatkan melebihi standard industri juga dikenalpasti. Masa dan usaha ‘dilaburkan’ untuk melaksanakan kajian kualitatif dan kuantitatif untuk mengenal pasti peluang peningkatan dalam memimpin ekonomi digital sambil memanfaatkan peluang dan cabaran serta mengenal pasti jurang yang memerlukan tindakan konkrit dan strategi lebih lanjut untuk memacu masa depan kita.
Penglibatan pihak berkepentingan turut menjadi agenda pada fasa pertama. Saya menghubungi ahli pasukan MDEC serta pihak luar seperti pegawai kerajaan dan duta asing serta kumpulan strategik dalam industri sasaran untuk mendapatkan pandangan berharga bagaimana kita dapat bersama-sama untuk menempatkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.
Sebanyak 623 emel diterima dari setiap lapisan masyarakat mengenai cadangan untuk memperkukuhkan peranan MDEC. Menerusi perbincangan yang aktif ini, satu perkara jelas difahami iaitu transformasi diperlukan dengan cepat. Bersama -sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Surina Shukri, pasukan kepemimpinan kanan (nama kemudian diubah menjadi Majlis Operasi MDEC (MOC) pada Februari 2021), kami bergerak ke fasa kedua misi “Mencipta Semula” yang bermula pada September 2020 dengan tujuan untuk menetapkan hala tuju transformasi MDEC yang melibatkan tiga aspek utama iaitu modal insan, proses dan struktur.
Langkah diatur untuk menyampaikan idea segar iaitu transformasi diperlukan dan perubahan sedang menghampiri. Sejajar dengan objektif utama untuk mengubah dan memperkuat keseluruhan model tadbir urus dan pengurusan MDEC sambil memperkemaskan budaya dan operasi sedia ada, kami berusaha untuk memperluas Lembaga Pengarah dengan melantik pemain industri yang berkaliber untuk membimbing MDEC mengharungi ekonomi digital yang kompleks dengan lancar.
Selanjutnya terdapat juga pelantikan teknokrat berpengalaman untuk barisan kepimpinan kanan agensi ini untuk menerajui pengurusan MDEC. Inisiatif utama yang seterusnya adalah melakukan tinjauan tadbir urus holistik yang dibantu oleh entiti profesional, relevan serta berpengalaman dengan transformasi tadbir urus dalam memastikan bahawa kesan dan hasil setiap intitatif adalah jelas.
Selain itu, ia bagi memastikan dana awam digunakan dengan penuh tanggungjawab dan betul bagi mencapai ketelusan yang lebih tinggi. Hasil tinjauan tersebut mencadangkan aspek yang memerlukan penambahbaikan dalam urus tadbir dan kawalan di bidang utama MDEC yang memerlukan tindakan segera .
Ia meliputi pengawasan terhadap peranan Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Lembaga, Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan untuk tujuan tertentu (seperti Pengurusan Geran) kepada struktur organisasi di mana isu-isu seperti pemberdayaan fungsi tertentu yang menyebabkan kurangnya kebebasan dan “mentaliti silo” dalam kalangan anggota pasukan diberi perhatian. Pada tahap tertentu, keputusan strategik tidak disahkan oleh Lembaga Pengarah. Akibatnya, pelaksanaan penstrukturan dilakukan dengan penubuhan lima teras yang berbeza iaitu dua Jawatankuasa Lembaga khusus untuk mengawasi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan teknologi. MOC pula untuk mengawasi proses persetujuan dan laporan sementara tanggungjawab kepada Lembaga Pengarah berkaitan hal-hal kewangan dan operasi utama.
Penentuan agenda dan memperbetul persepsi
Fasa dua pula memperlihatkan pengenalan agenda Malaysia 5.0, berdasarkan model Japan Society 5.0. Di bawah agenda ini, MDEC berusaha untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang sangat terintegrasi dengan teknologi, yang ditadbir oleh prinsip dan amalan eko-lingkungan yang inklusif dan adil. Malaysia 5.0 akan mendorong pertumbuhan dan kemajuan untuk semua golongan rakyat dan seterusnya memungkinkan integrasi teknologi 4IR yang mendalam dalam setiap lapisan masyarakat dan berusaha untuk mengubah dan mentransformasikan sistem pendidikan negara untuk memenuhi tuntutan masa depan digital. Berdasarkan saranan tinjauan tadbir urus yang holistik, saya menyedari bahawa MDEC mempunyai risiko terhadap persepsi bahawa peruntukan digital yang diberikan oleh kerajaan tidak diagihkan secara adil kepada mereka yang benar-benar berkelayakan dan memerlukan. Oleh itu, proses pemeriksaan, penilaian dan persetujuan bebas telah diperketat untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada MDEC.
Namun demikian, terdapat beberapa kes pemberian dana telah disalahgunakan kerana kelemahan dalaman membabitkan proses penilaian dan persetujuan yang menyebabkan penyelidikan dilakukan. Sekiranya perlu, pemberian dana akan segera dihentikan dan pemulihan dilakukan untuk mengelakkan kes serupa berulang dan langkah-langkah untuk mendapatkan kembali dana yang diambil dilaksanakan termasuk melaporkan kepada pihak berkuasa dan mengambil tindakan undang-undang.
Komitmen meningkatkan integriti
Fasa Tiga: Berdasarkan jurang yang telah dikenalpasti dan rangka tindakan untuk mencapai hasil peningkatan disasarkan, MDEC beralih ke fasa tiga, bermula pada Januari hingga Mac 2021. Salah satu pencapaian utama di bawah tempoh ini adalah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan semua warga MDEC sekaligus menunjukkan komitmen kuat organisasi ini terhadap ketelusan dan kejujuran yang akan terus dipertingkatkan dengan adanya Pegawai Integriti Bertauliah dari SPRM.
MDEC menyaksikan peningkatan ketara dengan pelaksanaan Had Kuasa Budi Bicara (DAL), keseluruhan penambahbaikan Surat Anugerah (LOA). DAL menetapkan semula kerangka yang menyeluruh untuk diluluskan MDEC yang dengan jelas mendefinisikan hierarki dan garis pelaporan, menetapkan tanggungjawab yang jelas dan melucutkan kuasa yang sebelumnya diberikan kepada ketua bahagian tertentu yang menyebabkan longgarnya kawalan. DAL mendorong kembali keputusan dibuat oleh badan asas iaitu Lembaga Pengarah.
Salah satu ciri penting DAL ialah untuk memastikan terdapat garis pelaporan kepada Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif, MOC dan Ahli Lembaga Pengarah bagi mengatasi masalah "silo" dalam agensi. Untuk melembagakan DAL, sesi townhall dan roadshow dijalankan di mana saya telah memulakan perjumpaan dalaman dan bertemu kesemua 467 kakitangan MDEC untuk memastikan mereka diberi penerangan jelas serta mengumpulkan maklum balas mengenai apa yang ingin dicapai agensi yang dilembagakan dengan tahap profesionalisme, integriti dan prestasi tertinggi.
DAL menjadi 'latihan pendamaian' untuk memastikan Lembaga Pengarah diberi kefahaman untuk menilai dan bersetuju terhadap aktiviti strategik, kewangan dan operasi sehingga budaya silo yang wujud di bahagian tersebut diubah. Terdapat dua pihak utama dalam proses kelulusan iaitu Lembaga Pengarah atau MOC (bagi keputusan melibatkan nilai RM500,000 ke bawah). Beberapa ‘kluster’ tidak mengalu-alukan DAL kerana tidak lagi berkuasa untuk membuat keputusan atau peranan telah dikurangkan.
Mengoptimumkan peluang ekonomi digital
MDEC kini berada di Fasa Empat misi Mencipta Semula yang mana fokusnya adalah melaksanakan amanah untuk memenuhi objektif di bawah MyDIGITAL dengan memastikan ekonomi digital memberi pelbagai manfaat kepada rakyat. Untuk memperkemaskan strategi ini, empat teras utama telah dikenal pasti iaitu Kemahiran Baharu, Penerimagunaan , Pengganggu dan Pelaburan atau singkatnya N.A.D.I. ( New Skills, Adoption, Disruptors dan Investment).
Ini akan mendorong program teras MDEC untuk rakyat, perniagaan dan pelaburan seperti Gerakan #SayaDigital iaitu program utama mengenai jangkauan digital dan pembangunan untuk rakyat dan perniagaan di Malaysia.
Memandang lebih jauh cita -cita Malaysia untuk menjadi Nadi Digital ASEAN, MDEC telah mengumumkan penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memperkemaskan dan meningkatkan kualiti pelaburan tempatan.
YAB Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) melalui Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) baru-baru ini mengesahkan Pelan Halatuju Strategik e- Dagang 2.0 (NESR 2.0) dengan MDEC telah diamanahkan untuk memimpin Pejabat Pengurusan Projek dengan mandat untuk mengawasi kejayaan pelaksanaannya. Menyedari dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi 4IR juga merupakan inisiatif masa hadapan agensi ini.
MDEC mula melihat perkembangan dalam projek perintis di bidang pertanian melalui program eLadang. Petani yang terlibat telah memperoleh peningkatan sehingga 20 peratus melibatkan kualiti , kuantiti serta hasil pendapatan. MDEC bekerjasama dengan CIMB Islamic untuk menyokong para petani menerapkan teknologi internet kebendaan (IoT) dan mula menuai hasil berdasarkan pendigitalan.
Ini merupakan langkah pertama melibatkan kerjasama MDEC dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam usaha untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan makanan negara kita. Pandemik telah membawa perubahan dan cabaran malahan ada yang berpendapat ia menyebabkan ‘kemusnahan’. Namun seperti kata penyair Parsi abad ke-13, Rumi; "Di mana terdapat kehancuran, di situ wujud juga harapan untuk menemui harta karun."
Oleh itu, mandat digital MDEC hari ini telah menjadi fokus yang sangat diperlukan sebagai akibat pandemik global, yang memerlukan peralihan paradigma dalam ekonomi digital dan perubahan organisasi secara menyeluruh untuk menyokongnya.
Walaupun perubahan bukanlah masalahnya, tetapi penentangan terhadap perubahan merupakan isunya. Oleh itu, MDEC mengakui dan menerima hakikat perlunya perjalanan transformatif ini yang hanya boleh dilaksanakan dengan idea segar, terbuka untuk bereksperimen, berinovasi dan menekankan integriti untuk mencapai hasil yang diinginkan. Saya kekal optimis dalam memikul amanah MDEC untuk membimbing rakyat Malaysia ke arah kunci kejayaan -pendigitalan negara tercinta ini.
-- BERNAMA
Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff merupakan Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
MDEC adalah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara selama 25 tahun.