TINTA MINDA

PEMULIH DAN USAHAWAN BUMIPUTERA

30/06/2021 10:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Idris Ahmad

Semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 pada 7 Sept tahun lepas, Perdana Menteri semasa menjawab persoalan berkaitan pelaksanaan dan keberkesanan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB). menjelaskan tahap kemiskinan Bumiputera adalah sebanyak 7.2 peratus pada tahun 2019 berbanding kaum lain. Manakala, kadar pengangguran Bumiputera bagi suku kedua tahun 2020, adalah sebanyak 5.2 peratus, berbanding purata nasional sebanyak 5.1 peratus. Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pula cuma berada pada tahap 16.2 peratus pada tahun 2015 berbanding bukan Bumiputera sebanyak 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus.

Ekonomi Bumiputera

Semua data ini memperlihatkan betapa keadaan sebelum ini jelas tidak menyebelahi masyarakat Bumiputera. Bagaimana pula dengan keadaan dan nasib masyarakat Bumiputera pada ketika ini? Adakah ianya lebih baik daripada sebelum ini? Dengan pelaksanaan PKP1.0, PKP2.0 dan PKP3.0 sepanjang tempoh 15 bulan daripada bulan Mac 2020, tentu sekali kita dapat menjangkakan ianya akan memburukkan lagi keadaan Bumiputera yang sebelum ini sudahpun jauh tertinggal di belakang.

Bahkan tidak mengejutkan sekiranya angka B40 daripada kalangan Bumiputera pada ketika ini terus meningkat rentetan daripada pandemik COVID-19 jika dibandingkan dengan sebelum ini yang telah berada pada paras yang tinggi iaitu sekitar 72 peratus. Di sinilah peranan kerajaan yang dilihat oleh rakyat sebagai kerajaan Melayu Islam diuji sama ada mampu untuk meningkatkan pendapatan Bumiputera melalui peningkatan pendapatan isi rumah, peningkatan pemilikan ekuiti yang disasarkan mencapai 30 peratus menjelang 2030 melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, pengurangan kadar pengangguran dan tahap kemiskinan dialam kalangan Bumiputera serta kemampuan untuk mentransformasi lebih ramai Bumiputera daripada B40 kepada M40 dan daripada M40 kepada T20.

Ekonomi digital

Semua perkara di atas hanya boleh dicapai sekiranya berlakunya peningkatan pendapatan Bumiputera. Antara kunci utama dalam membuka peluang kepada lebih ramai Bumiputera untuk meningkatkan pendapatan masing-masing adalah dengan menyertai ekonomi digital. Inilah satu-satunya cara yang mampu mengangkat Bumiputera ke tahap yang lebih baik.

Di dalam PEMULIH, dalam konteks menyokong perniagaan, kerajaan telah bersetuju menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan perniagaan. Beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya fokus kerajaan dalam menyokong usaha digitalisasi selain memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

Umum mengetahui bahawa keadaan pada ketika ini amat luar biasa di mana Malaysia berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan serentak. Dengan pelaksanaan PKP3.0, tentu sekali ianya memberikan kesan kepada perniagaan fizikal disebabkan oleh keterbatasan aktiviti perniagaan yang melibatkan limitasi kehadiran pelanggan untuk membeli barangan di tempat perniagaan masing-masing dengan pelaksanaan SOP yang ketat untuk membendung penularan jangkitan COVID-19. Hal ini sedikit sebanyak mengurangkan pendapatan usahawan Bumiputera.

Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara, ianya melibatkan empat fasa yang akan mengambil masa selewat-lewatnya sehingga November atau Disember 2021 untuk melengkapkan semua fasa tersebut. Usahawan Bumiputera dilihat agak sukar untuk bertahan dengan menggunakan strategi konvensional pada masa akan datang tanpa beralih kepada ekonomi digital.

Justeru, pertamanya, usahawan Bumiputera perlu mengubah mindset dan bersedia untuk beralih kepada ekonomi digital dan tidak hanya bergantung kepada perniagaan berasaskan fizikal sahaja. Inilah titik permulaan kepada langkah seterusnya yang boleh diambil untuk merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui ekonomi digital.

Kedua adalah peranan kerajaan dalam membantu usahawan Bumiputera untuk segera beralih kepada ekonomi digital. Kerajaan telah memperkenalkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) pada Februari lepas dan seterusnya telah melaksanakan langkah awal antaranya pelaburan RM4 bilion oleh pihak Microsoft dengan pembukaan pusat data serantau pertamanya di Malaysia yang akan menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4000 dalam bidang teknologi maklumat (IT). Melalui kerjasama ini juga Microsoft akan melatih dan meningkatkan kemahiran satu juta rakyat Malaysia menjelang akhir 2023.

Selain itu, menerusi PEMULIH, kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai. Kerajaan juga melihat kepentingan agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai, dan bersetuju membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan 200 juta ringgit untuk PMKS dan 100 juta ringgit untuk PKS.

Perniagaan dalam talian

Namun, antara cadangan lain yang boleh dipertimbangkan orang Kerajaan untuk mempercepatkan proses peralihan usahawan Bumiputera ke perniagaan dalam talian di mana kerajaan melalui agensi Bumiputera boleh berunding dengan syarikat e-dagang di Malaysia antaranya seperti Lazada dan Shopee untuk menyediakan ruang perniagaan dalam talian di platform masing-masing kepada usahawan Bumiputera untuk turut terlibat dalam penjualan barangan secara dalam talian. Ini juga termasuk ruang khusus yang boleh disediakan untuk semua barangan halal yang juga boleh menarik minat pembeli daripada kalangan umat Islam.

Syarikat seperti Lazada dan Shopee boleh membantu dalam memberikan kursus dan latihan komprehensif secara percuma kepada usahawan Bumiputera untuk mempersiapkan diri mereka beralih kepada perniagaan secara dalam talian melalui platform perniagaan masing-masing. Namun, untuk jangka masa panjang, kerajaan melalui agensi Bumiputera boleh merancang untuk membangunkan satu platform dalam talian baharu khusus bagi membantu usahawan Bumiputera meningkatkan penglibatan mereka dalam perniagaan secara dalam talian.

Kerajaan juga boleh membantu usahawan Bumiputera yang mempunyai kedai fizikal antaranya seperti Malakat Mall, Pasar Raya Ikhwan, Pasaraya Borong Sakan dan lain-lain dalam mempromosikan produk mereka melalui platform dalam talian dan berkerjasama dengan Lazada dan Shopee atau platform lain yang mampu menarik minat pembeli untuk membeli barangan produk Bumiputera daripada usahawan Bumiputera.

Geran khas

Seterusnya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan geran khas kepada usahawan Bumiputera sebagaimana geran yang telah diberikan sebelum ini melalui Geran Khas Prihatin 1.0, Geran Khas Prihatin 2.0, Geran Khas Prihatin Permai, Geran Khas Prihatin 3.0 dalam Pemerkasa dan yang terbaharu Geran Khas Prihatin 4.0 yang diumumkan di dalam PEMULIH. Namun geran khas pada masa yang akan datang boleh melibatkan peruntukan geran khusus untuk membantu usahawan Bumiputera beralih kepada perniagaan berasaskan kepada ekonomi digital. Geran khas ini akan dapat membantu usahawan Bumiputera dalam membuat persiapan peralihan kepada perniagaan berasaskan kepada dalam talian melalui kerjasama dengan syarikat e-dagang seperti Lazada, Shopee dan lain-lain hasil daripada inisiatif daripada kerajaan.

Bagi membantu lebih ramai usahawan Bumiputera untuk terlibat dalam perniagaan berasaskan penghantaran makanan, kerajaan boleh memberikan geran atau dana khas kepada usahawan Bumiputera untuk turut serta dalam menerajui syarikat perkhidmatan penghantaran makanan yang pada ketika ini majoritinya diusahakan oleh syarikat bukan Bumiputera.

Semua inisiatif ini hanya dapat direalisasikan dengan kerjasama erat daripada semua pihak terutamanya pihak kerajaan, syarikat e-dagang dan usahawan Bumiputera dalam membantu meningkatkan pendapatan mereka melalui PEMULIH dan peralihan kepada Ekonomi Digital. Hanya dengan peningkatan pendapatan dalam kalangan usahawan Bumiputera yang akan dapat membantu untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera selain daripada mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan Bumiputera dan akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kelompok kategori B40 kepada sekurang-kurangnya beralih ke kategori M40 atau tentu sekali sesuatu yang lebih mengembirakan sekiranya lebih ramai Bumiputera berada di kategori T20.

Maka pada ketika itu, masyarakat Bumiputera akan melihat kepentingan mempunyai kerajaan majoriti Melayu Islam yang dilihat mampu untuk memberikan impak yang besar dalam memperkasa ekonomi mereka melalui PEMULIH termasuk peralihan kepada ekonomi digital dan seterusnya berjaya membantu mereka keluar daripada pelbagai cabaran getir kesan daripada pelaksanaan PKP yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

-- BERNAMA


Senator Idris Ahmad merupakan anggota Dewan Negara

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)