TINTA MINDA

SOSIALISASIKAN IBADAH DALAM RUMAH KETIKA “LOCKDOWN”

14/07/2021 03:17 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Muhammad Ammar Harith Idris

Penularan pandemik yang belum berakhir memberi isyarat bahawa setiap individu perlu meluangkan lebih banyak masa di rumah masing-masing. Rumah bukan sahaja menjadi tempat berlindung, berehat, ruang privasi bagi diri sendiri dan ahli keluarga, malah ia turut menghadirkan ketenangan dalam diri. Pada masa yang sama, ia juga berfungsi sebagai pusat pendidikan terawal bagi setiap individu sejak selepas mereka dilahirkan. Bermula daripada kecil, ibu bapa merupakan insan pertama yang mendidik anak-anak di rumah dengan nilai-nilai keagamaan dan kebudayaan setempat sehinggalah mereka berjaya menempatkan diri dalam lingkungan masyarakat sekeliling. Justeru, proses mendidik, menerap dan menyesuai nilai-nilai oleh ibu bapa ini dikenali sebagai sosialisasi yang berlaku di peringkat primer.

Internalisasi nilai agama

Daripada aspek keagamaan, antara peranan ibu bapa adalah mendidik anak-anak menghayati kehidupan sebagai umat Islam. Hal ini termasuklah juga mengajar mereka mengenai kewajipan beribadah kepada Allah SWT. Masyarakat Melayu mula mendidik anak-anak mereka mengenai ibadah sejak awal usia lagi. Antaranya menunaikan solat fardu lima waktu, melatih untuk berpuasa di bulan Ramadan, menghafaz doa-doa yang ringkas seperti doa makan, menghantar mereka ke kelas-kelas pengajian al-Quran, solat berjemaah, menghadiri program keagamaan dan pelbagai lagi.

Proses internalisasi nilai-nilai agama dan cintakan ibadah ini amat penting dalam usaha membentuk jati diri umat Islam yang mentaati perintah syarak serta menghormati budaya masyarakat di sekeliling mereka.

Walau bagaimanapun, penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan pelbagai perkara. Persekitaran masjid dan surau yang berfungsi sebagai agen sosialisasi ibadah di peringkat sekunder juga dilihat terbantut. Banyak aktiviti ibadah yang sebelum ini berpusat di masjid dan surau terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Rentetan senario itu, ia telah membangkitkan perasaan bercampur baur dalam kalangan umat Islam.

Sesetengah daripada kita berasa sedih dan kecewa kerana melihat rumah Allah tidak dibuka sepenuhnya. Begitu juga dengan kebimbangan terhadap generasi muda yang semakin berjauhan daripada masjid. Bahkan, proses sosialisasi ibadah kalangan kanak-kanak turut terkesan.

Dalam konteks ibadah di musim pandemik ini, limitasi kehadiran ke masjid dan surau tidak sewajarnya menjadi asbab utama yang melunturkan roh ibadah dalam kalangan umat Islam. Hal ini kerana, pelaksanaan ibadah tidak hanya terbatas di tempat-tempat yang tertentu sahaja. Ia boleh dilaksanakan di mana-mana muka bumi Allah yang luas ini termasuklah dari dalam rumah.

Hayati sirah Rasulullah

Pada masa inilah sebenarnya kita mempunyai tempoh yang khusus untuk mendidik isteri dan anak-anak kita mengenai nilai-nilai agama. Hayatilah semula sirah Rasulullah SAW sewaktu baginda mula-mula diutuskan sebagai seorang Rasul. Fasa pertama perjalanan dakwah baginda bermula dari dalam rumah apabila mula menyampaikan wahyu kepada isteri dan ahli keluarga terdekat. Kemudian, Rasulullah berdakwah pula kepada para sahabat dengan mengumpulkan mereka di rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam secara rahsia selama beberapa tahun. Sirah ini menunjukkan betapa rumah juga berperanan menjadi pusat mendidik dan menerapkan nilai-nilai Islam.

Sejajar dengan itu, orang-orang yang bertaqwa di sisi Allah ialah mereka yang tetap menghormati dan menghidupkan syiar Islam walau di mana sahaja mereka berada. Firman Allah Ta’ala:

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

Surah al-Hajj (32)

Rasulullah SAW juga berpesan agar menghidupkan rumah masing-masing dengan aktiviti-aktiviti ibadah serta tidak membiarkannya suram dan sunyi seperti tanah perkuburan. Sabda baginda :

“Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. Riwayat Muslim (780)

Oleh yang demikian, syariat Islam amat menitik beratkan kepada umatnya supaya terus menghidupkan ibadah walaupun di rumah masing-masing. Meskipun masjid mempunyai nilai signifikan yang tersendiri sebagai syiar Islam, namun ia tidak bererti pelaksanaan ibadah hanya tertumpu di sana sahaja. Bahkan, Rasulullah SAW juga menghidupkan rumah baginda sendiri dengan amal ibadah. Contonya semasa di bulan Ramadan, Rasulullah juga menunaikan solat terawih di rumah baginda setelah bersama para sahabat di masjid.

Rumah tempat ibadah

Sehubungan itu, rumah secara tidak langsung telah menggalas seketika tugas masjid dan surau sepanjang fasa “lockdown” ini. Ibu bapa berperanan mewujudkan suasana ibadah di rumah. Amalan solat fardu berjemaah sesama anggota keluarga perlu dilaksanakan dengan lebih kerap kerana ia berupaya mendekatkan hati antara satu sama lain selain menyumbang kepada kesihatan mental individu. Lebih-lebih lagi ketika sedang dilanda musibah ini, ibu bapa wajar mengajak anak-anak mereka untuk menunaikan solat sunat hajat bagi memohon perlindungan dan keselamatan daripada Allah SWT. Antara ibadah lain adalah bersama-sama melazimi puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis. Begitu juga dengan berpuasa sunat hari Arafah pada bulan Zulhijjah.

Di samping itu, majlis zikir dan bacaan al-Quran di dalam rumah juga jangan dilupakan. Antaranya meneruskan tradisi membaca surah Yasin dan tahlil pada setiap malam Jumaat. Selain dapat menyerikan rumah dengan amal ibadah, pada masa yang sama ia juga dapat melatih anak-anak untuk terbiasa dengan membaca al-Quran, berzikir dan berdoa. Tambahan pula, dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ini, aplikasi-aplikasi seperti Zoom, Google Meet, Cisco Webex dan lain-lain membolehkan kita meneruskan amalan ini secara maya.

Secara tuntasnya, rumah telah menjadi tempat ibadah utama sepanjang fasa “lockdown”. Ibu bapa wajar memainkan peranan penting untuk menanam rasa cintakan agama dan ibadah dalam diri anak-anak mereka. Lebih-lebih lagi ketika berdepan cabaran getir COVID-19, umat Islam perlu menghidupkan rumah mereka dengan amal ibadah sebagaimana mereka bersungguh-sungguh mengimarahkan masjid dan surau. Ia sekali gus membantu menstabilkan kembali emosi, memberikan ketenangan jiwa serta menguatkan aspek spiritual mereka terutamanya dalam mendepani tuntutan hidup yang sangat mencabar ketika ini.

-- BERNAMA

Muhammad Ammar Harith Idris merupakan Pegawai Penyelidik, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)