TINTA MINDA

ISTERI BERHAK TUNTUT HARTA SEPENCARIAN SELEPAS KEMATIAN SUAMI

19/07/2021 06:23 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Mohamad Ali Roshidi bin Ahmad

Harta sepencarian ialah sebarang harta yang telah diperolehi bersama oleh pasangan suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Ia termasuklah harta alih atau harta tak alih yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan.

Harta sepencarian merupakan hak eksklusif yang berhak dituntut oleh isteri atau suami selepas berlaku kematian seorang daripada mereka. Ia juga boleh dituntut oleh isteri apabila berlaku perceraian atau ketika suami hendak berpoligami.

Tuntutan harta sepencarian selepas kematian oleh isteri boleh dibuat sebelum pembahagian harta pusaka setelah menyelesaikan perbelanjaan pengurusan jenazah serta melunaskan segala hutang si mati. Tuntutan harta sepencarian oleh isteri selepas kematian kini semakin popular, namun agak merumitkan kerana melibatkan harta pusaka dan memerlukan kerjasama daripada semua waris yang berhak ke atas harta pusaka si mati.


Jenis Harta Sepencarian

Semua harta yang dimiliki oleh suami semasa hayatnya boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian selepas kematian suami, sama ada harta alih atau harta tak alih seperti rumah kediaman, bangunan komersil, tanah, wang pampasan tanah, kenderaan, barang kemas, peralatan dan perkakasan rumah serta wang dalam akaun simpanan.

Bagaimanapun, Mahkamah Syariah dan Jawatankuasa Fatwa Negeri menetapkan harta pusaka tidak boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian, tetapi boleh mewarisinya melalui kaedah faraid. Antaranya ialah simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, wang pampasan takaful dan saham syarikat serta faedahnya manakala wang pencen dan wang gratuity yang tidak dianggap sebagai harta pusaka, ia menjadi hak mutlak isteri.

Peruntukan Undang-Undang

Peruntukan secara khusus mengenai tuntutan harta sepencarian oleh isteri selepas kematian suami tidak termaktub secara jelas dalam mana-mana Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia. Sebaliknya terkandung dalam Arahan Amalan No. 5 Tahun 2003 Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang menyatakan: “Masa membuat tuntutan harta sepencarian dibolehkan sama ada semasa tuntutan perceraian atau selepas perceraian ataupun selepas kematian mana-mana pihak. Mahkamah dalam hal ini boleh menerima mana- mana tuntutan harta sepencarian yang dibuat selepas kematian mana-mana pihak dalam tuntutan tersebut dan rujukan hendaklah dibuat kepada mana-mana kes yang telah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi”.

Ini jelas menunjukkan bahawa isteri dibenarkan untuk menuntut harta sepencarian selepas kematian suaminya. Isteri tidak mempuyai hak secara automatik ke atas harta sepencarian sebaliknya hendaklah mengemukakan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah. Maka, mahkamah yang akan menentukan kadar bahagian yang boleh dimiliki oleh isteri berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan tertentu oleh pihak mahkamah.

Faktor utama yang dipertimbangkan oleh mahkamah ialah tempoh perkahwinan dan takat sumbangan pasangan suami isteri bagi memperoleh harta berkenaan, ia termasuklah sumbangan secara langsung atau tidak langsung. Oleh itu, pihak isteri mestilah mengemukakan bukti atau saksi bagi meyakinkan mahkamah bahawa beliau telah sama-sama memberi sumbangan ke atas perolehan harta yang dituntut.

Sumbangan secara langsung ialah sumbangan dalam bentuk kewangan atau usaha yang diberikan oleh isteri untuk memperoleh harta tersebut. Kerja-kerja suri rumah, sumbangan idea, dorongan serta keselesaan sehingga membolehkan suami bekerja dan mengumpul harta, dikategorikan sebagai sumbangan tidak langsung isteri dalam kehidupan harian.

Kes Tuntutan Harta Sepencarian

Kebanyakan kes tuntutan harta sepencarian dibuat oleh pihak isteri. Berlaku pertikaian dalam pembahagian harta sepencarian apabila harta itu diperolehi semata-mata oleh usaha pihak suami. Malah, sumbangan tidak langsung pihak isteri juga sering dipertikaikan oleh pihak suami. Walaupun berlaku pertikaian, isteri perlu tampil untuk menuntut hak mereka. Mahkamah tetap akan mengambil kira takat sumbangan yang telah diberikan pihak isteri, sama ada sumbangan langsung atau tidak langsung.

Dalam kes Boto’ bt Taha lawan Jaafar Muhamad (1984), mahkamah memutuskan: “Memang betul bahawa pihak menuntut tidak mengambil bahagian secara langsung dalam perniagaan ikan pihak kena tuntut, akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan. Sesungguhnya ia telah menyebut dalam keterangannya bahawa pihak menuntut bersamanya dalam perjalanannya disebabkan kesunyian jika ia tidak berbuat demikian. Oleh itu, adalah nyata perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa perkahwinan yang menjadikan harta-harta itu harta sepencarian”.

Bagi kes Bunga binti Ibrahim lawan Ila @ Zila bt Abdullah dan lain-lain (1999), isteri yang kematian suami telah menuntut pembahagian terhadap harta yang dikumpulkan sepanjang tempoh perkahwinannya sebagai harta sepencarian. Mahkamah memutuskan bahawa harta tersebut adalah harta sepencarian dan isteri berhak mendapatkannya.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dalam kes Habsah bt Saad lawan Surianata Baharom dan Saari Samad (2004) juga membenarkan isteri menuntut haknya ke atas harta sepencarian yang terkumpul sepanjang tempoh perkahwinan dengan suaminya.

Keputusan yang sama juga diputuskan dalam kes Hajjah Saudah lawan Hanafi Hj Daud dan lain-lain (1990). Isteri yang kematian suami dibenarkan untuk menuntut haknya mendapatkan harta sepencarian yang terkumpul sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Kadar Bahagian Berdasarkan Sumbangan

Kadar bahagian diperoleh isteri adalah berdasarkan kepada tahap sumbangan yang diberikan untuk memperolehi harta yang dituntut. Berdasarkan kes-kes yang diputuskan kadang kala pihak isteri akan mendapat bahagian 1/3, atau 1/2 dan kadang kala tidak mendapat apa-apa bahagian.

Pihak mahkamah akan menentukan kadar pembahagian setelah mengambil kira pelbagai sumbangan yang telah dibuat oleh isteri. Kes-kes mahkamah terdahulu juga menunjukkan bahawa keputusannya adalah berbeza bergantung kepada kekuatan bukti yang dikemukakan.

Mahkamah boleh memerintahkan pihak yang menuntut, iaitu isteri diberikan bahagian pada kadar yang ditentukan oleh mahkamah, sama ada 1/5, atau 1/4, atau 1/3, atau 1/2, atau satu kadar yang lebih tinggi, atau pihak yang menuntut tidak mendapat apa-apa bahagian.

Apabila kematian suami, isteri mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian ke atas semua harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan mereka berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Tuntutan hendaklah dibuat selepas ditunaikan semua tuntutan perbelanjaan pengurusan jenazah, menyelesaikan hutang si mati dan sebelum pembahagian harta pusaka dilaksanakan.

BERNAMA

Mohamad Ali Roshidi bin Ahmad merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)