TINTA MINDA

OBSES DENGAN TELEFON PINTAR ANDA? JANGAN SAMPAI ALAMI KECEDERAAN OTOT

19/07/2021 08:38 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Irwan Syah Md Yusof

Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan kembali kuncitara (total lockdown) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) berikutan peningkatan kes COVID-19. Kerajaan turut memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merangkumi fasa 1, 2, 3 dan 4. Peralihan fasa ini berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan oleh MKN.

Walaupun setakat ini, lapan negeri sudah berjaya beralih ke Fasa 2, PPN iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan terbaharu Sarawak, namun pergerakan rentas daerah dan negeri masih berkuatkuasa, sekaligus untuk rakyat Malaysia yang beragama Islam bererti sekali lagi tidak boleh balik kampung untuk sambutan Aidiladha. Meskipun begitu, masalah ini bukanlah satu titik noktah kepada kita yang tidak dapat pulang ke kampung halaman kerana sejak menjalani kehidupan dengan norma baharu susulan pandemik COVID-19, kemajuan teknologi khususnya telefon bimbit telah menjadi platfom penghubung terbaik untuk merapatkan jurang silaturahim.

Kadar penggunaan telefon pintar yang tinggi

Telefon pintar telah menjadi satu keperluan dalam masyarakat untuk mencapai atau memenuhi keperluan yang dikehendaki oleh pengguna itu melalui kemudahan pelbagai aplikasi yang disediakan. Perkara ini telah menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang tertinggi memiliki pengguna telefon pintar di dunia dengan menduduki tangga ke-10 di dunia. Dari sudut positif perkara ini merupakan sesuatu perkembangan yang boleh dibanggakan dalam kalangan negara-negara membangun dan menjadi indikator bahawa negara berada pada landasan yang baik dari sektor perkembangan teknologi serta menunjukkan tahap kecelikan teknologi maklumat dalam kalangan rakyat.

Meskipun begitu perkembangan ini sekiranya tidak dilakukan dengan baik mampu memberikan kesan negatif dari pelbagai sudut kalangan pengguna itu sendiri. Salah satu kesan negatif yang mudah dialami kalangan pengguna adalah masalah kesihatan yang terhasil secara kumulatif akibat tingkahlaku penggunaan telefon pintar yang tidak baik.

Penggunaan telefon pintar telah meningkat berlipat kali ganda apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) mula diperkenalkan pada 18 March 2020. Hampir setiap waktu gajet berkenaan berada di sisi pengguna, sama ada untuk tujuan melakukan tugasan kerja (work from home) atau aktiviti lain seperti berinteraksi secara maya sama ada melalui pesanan ringkas atau video dengan kenalan atau ahli keluarga, menonton cerita, bermain game atau melayari media sosial dan pelbagai aktiviti lagi.

Kesemua aktiviti berkenaan merupakan perkara lazim yang dilakukan hampir kesemua pengguna telefon pintar ketika PKP 1.0 mula diperkenalkan sehingga ke PKP3.0. Secara purata setiap individu memperuntukkan sekurang-kurangnya 8 jam sehari ketika melakukan pelbagai aktiviti yang melibatkan telefon pintar disaat PKP 1.0 sehingga PKP 3.0 diperkenalkan semula oleh kerajaan. Penggunaan telefon pintar dijangkakan memuncak ketika menyambut perayaan dalam suasana ‘norma baharu’. Di saat itu, penggunaan telefon pintar umpama tidak dapat dipisahkan lagi dengan pengguna dan jangka waktu penggunaannya juga meningkat secara mendadak kerana setiap pengguna akan kerap berhubung dengan ibu bapa dan sanak saudara yang jauh di kampung halaman sama ada melalui panggilan secara konvensional atau menggunakan applikasi video.

Bahaya kecederaan otot akibat penggunaan telefon pintar berlebihan

Tanpa disedari segala aktiviti penggunaan telefon pintar berkenaan mampu memberikan implikasi negatif terhadap kesihatan atas tingkah laku pengguna itu sendiri. Secara kebiasaan, ketika berinteraksi atau melakukan aktiviti yang melibatkan telefon pintar dalam jangka waktu yang panjang akan menyebabkan postur tubuh pengguna itu dalam pelbagai posisi sama ada membongkok, kedudukan baring atau menelentang, duduk dan pelbagai gaya lagi yang ekstrem secara tuntasnya akan menghasilkan kecederaan pada anggota otot akibat daripada postur janggal yang dilakukan tanpa disedari.

Akibat daripada postur janggal ini akan menyebabkan terhasilnya gejala musculoskeletal disorders (MSDs) yang berlaku secara kumulatif. Simptom awal hasil daripada penggunaan telefon pintar dapat dikesan adalah sering mengalami gejala sakit-sakit atau tidak selesa pada bahagian otot tangan, leher, bahu dan belakang badan serta mudah merasa letih, kekebasan, kekejangan otot pada bahagian pergelangan tangan dan jari ketika memegang telefon pada jangka waktu panjang.

Sehubungan itu,adalah digalakkan mendapatkan rehat daripada menggunakan telefon bimbit atau lakukan regangan otot bagi membantu memulihkan kembali kecederaan yang berlaku.

Selain itu, amalan generasi muda yang gemar menggunakan telefon pintar dalam suasana persekitaran pencahayaan yang kurang baik boleh mengakibatkan gangguan pada anggota mata seperti keradangan otot mata, sakit kepala, pandangan menjadi kabur, kegatalan, penglihatan berganda dan mengalami keletihan pada setiap visual yang dilihat.

Adalah diingatkan bahawa mata manusia dijadikan untuk fokus pada sesuatu jarak pandangan dan memerhati dalam pelbagai pergerakan. Oleh itu, sekiranya pergerakan mata berlaku dalam keadaan minimum dengan pandangan mata tertumpu pada skrin telefon pintar dalam jangka waktu yang lama akan mengakibatkan ketegangan anggota otot mata dan akhirnya menghasilkan tekanan emosi pada individu berkenaan.

Elakkan penggunaan telefon pintar dalam keadaan gelap atau ruang pencahayaan yang malap kerana secara semulajadi retina mata akan memberikan tumpuan lebih pada objek yang ingin dilihat maka hal ini akan menyebabkan segala simptom yang dinyatakan boleh berlaku.

Jarak pandangan mata dengan skrin telefon pintar juga memainkan peranan terhadap kesan penglihatan mata. Jarak antara 14-16 inci daripada mata dan skrin telefon bimbit merupakan faktor penyumbang kepada masalah yang melibatkan gangguan pada anggota mata. Berikutan itu, dicadangkan jarak sesuai adalah antara 20-25 inci daripada skrin ke mata atau memadai dapat melihat visual yang dipaparkan dengan baik.

Adalah diharapkan kepada semua pengguna dapat manafaatkan teknologi telefon pintar dalam mendepani ‘norma baharu’ tanpa menggadai kesihatan pengguna yang boleh dirasai pada jangka waktu yang panjang kelak.

Pengguna seharusnya menjadi lebih pintar daripada telefon pintar untuk menjamin kehidupan yang lebih baik dan kesejahteraan kita semua. Jangan kerana tindakan singkat yang kita lakukan akan membawa penyesalan yang berpanjagan dalam hidup kelak.

-- BERNAMA

Dr. Irwan Syah Md Yusoff merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber Dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)