TINTA MINDA

DAKWAH SECARA DIGITAL PERLU DIPERHEBAT

23/07/2021 09:42 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Madya Kolonel Dr Burhanuddin Jalal

Pandemik COVID-19 telah mengorbankan banyak nyawa dan antara pendekatan pihak berkuasa negara adalah mengarahkan rakyat agar tidak keluar dari rumah, tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai dan tempat ibadah juga diarahkan untuk mengehadkan aktiviti bagi mengelak virus merebak dengan cepat.

Dalam hal ini pihak kerajaan telah melaksanakan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) beberapa peringkat berdasarkan keperluan dan keadaan semasa. Selain itu, wabak penyakit kemungkinan menjadi faktor pendorong berlakunya perubahan pada sesuatu zaman. Perkara ini juga telah berlaku dalam era abad pertengahan dunia, dan wabak atau pandemik yang berlaku turut mempengaruhi sistem politik, ekonomi dan budaya manusia.

Norma baharu

Pandemik COVID-19 juga membawa manusia kepada norma baharu dan manusia tidak mungkin dapat menikmati kehidupan seperti sebelum ini. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu sekali gus menjadikan teknologi komunikasi digital sebagai ‘public sphere’ yang dapat difahami sebagai proses pertukaran informasi. Tidak dapat disangkal bahawa perkembangan dunia digital telah mempengaruhi perkembangan manusia serta modenisasi juga akan menjadi pemangkin kepada perubahan sosio-budaya masyarakat dan kesannya tidak hanya dalam bentuk cara berfikir sahaja tetapi juga dalam bentuk kebendaan.

Dalam suasana pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia masa kini yang menyebabkan program dan aktiviti agama amat terhad, penyebaran dakwah melalui media sosial amat perlu diperhebatkan. Berdasarkan kajian Sham Ham (2016), sejumlah 53 peratus orang menggunakan internet melebih dua jam sehari dan 25 peratus selama tujuh jam sehari. Sejauh manakah para pendakwah atau organisasi agama kerajaan atau badan bukan kerajaan menggunakan internet untuk berdakwah dan berapa jumlah masjid atau di Malaysia yang menggunakan lawan web, Facebook atau YouTube menyiarkan ceramah atau pengajaran agama melalui saluran tersebut?

Kajian tentang agama dan internet sudah banyak dilakukan, termasuklah kesan penggunaan internet terhadap agama serta pola kepelbagaian amalan beragama dalam masyarakat. Satu kajian yang dilakukan oleh Armfield dan Holbert (2003), menyatakan terdapatnya kaitan antara agama dengan pemodenan khususnya pengaruh internet dalam amalan dan kepercayaan dalam beragama, dan beliau menyatakan, “the more religious an individual is, the less likely he or she will use internet (semakin tinggi tahap beragama seseorang, maka akan cenderung untuk tidak menggunakan internet).

Hilangnya kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa agama secara tradisional dan lemahnya kesedaran secara kolektif terhadap amalan beragama berpunca daripada salah faham mereka terhadap peranan internet (Barker, 2005). Namun pandangan ini disangkal oleh Bunt (2003), yang menyatakan keyakinan serta penghayatan beragama seseorang itu tidak menghalang dirinya untuk menggunakan internet sebagai media komunikasi yang baharu. Penghayatan beragama yang dimaksudkan oleh Bunt itu merujuk agama Islam kerana penggunaan internet di negara-negara Islam telah menunjukkan angka yang memberangsangkan.

Beberapa kajian lain yang telah dilakukan oleh Campbell (2015) menyatakan masyarakat masa kini memandang agama, tidak sama seperti masyarakat dulu, kerana pada masa kini telah berlakunya transformasi dalam pemahaman dalam pengamalan beragama disebabkan pengaruh teknologi khususnya internet. Dalam ajaran agama secara tradisional, ritual atau amalan beragama merupakan sesuatu yang amat ketat fahamannya dan amat sukar untuk dipersoal, dibantah atau dilaksanakan di luar kebiasaan. Agama kadangkala dianggap bersifat peribadi dan tidak mudah untuk dipersoalkan secara umum.

Namun demikian, keadaan tersebut telah berubah masa kini dan semua pihak boleh mendapatkan maklumat atau informasi berkaitan agama dengan lebih mudah dan terbuka serta tidak perlu lagi untuk hadir ke masjid atau pusat ibadah secara fizikal serta boleh mempelajari ilmu agama melalui atas talian. Melalui kaedah internet juga sesiapa sahaja boleh menyebarkan agama dan pada masa kini melalui media secara dalam talian terdapat sebahagian amalan agama yang boleh dilaksanakan secara langsung dan bersama dalam talian (Siti Suriani Othman, 2017).

Berdakwah melalui internet

Oleh yang demikian, dalam tempoh pelaksanaan PKP 1.0 pada 18 Mac 2020 sehingga kini sewajarnya para pendakwah, organisasi dakwah kerajaan dan bukan kerajaan telah manfaatkan laman web, blog, laman Facebook, YouTube atau apa sahaja aplikasi digital yang mereka telah bangunkan.Gesaan ini sejajar dengan pendapat Andi Faisal Bakti (2014), yang menyarankan agar media baharu digital dapat digunakan semaksimum mungkin untuk kepentingan dakwah atas beberapa faktor:

1. Dakwah digital mampu menembusi batas ruang dan waktu dengan kos yang tidak tinggi.

2. Penggunaan dan pengguna internet semakin bertambah setiap tahun secara drastik. Berdasarkan data laporan napoleon.com (2021) terdapat seramai 28 juta pengguna Facebook di Malaysia dan ia mewakili 85.6 peratus penduk Malaysia yang dianggarkan berjumlah 32.7 juta, dan kelompok terbesar ialah mereka yang berumur antara 35 hingga 34 tahun.

3. Dakwah melalui internet telah menjadi satu pilihan dan antara kaedah yang berkesan.

4. Cara penyampai dakwah dalam internet yang pelbagai, telah memberi peluang yang lebih luas terhadap jangkauan penyebaran maklumat.

5. Pembelajaran dapat dilakukan secara tidak formal dan santai.

6. Mempelajari sesuatu daripada pihak atau individu yang kita senangi atau sesuai dengan diri kita daripada beberapa aspek akan memudahkan pembelajaran dan kefahaman.

7. Terdapat kecenderungan untuk terus minat belajar dan mencari ilmu dalam keadaan yang lebih santai.

8. Lebih mudah menyerap ilmu pengetahuan dalam keadaan selesa

Selain dari, kandungan dakwah yang terdapat dalam internet dalam Bahasa Malaysia perlu diperbanyakkan bagi menandingi bahan-bahan agama yang tersedia ada dalam Bahasa Melayu Indonesia. Perkara ini bertepatan dengan pendapat Michael Dawing (2012), menjelaskan beberapa ciri khusus kelebihan isi kandungan dakwah media sosial:

1. Kandungan yang dipaparkan di media sosial bertahan lama (Persistent and permanent).

2. Kandungan yang dimuat naik boleh disalin tanpa mengurangkan kualiti dan boleh disebarluaskan (Replicability).

3. Kandungan yang dimuat naik boleh dicari dengan cepat di dalam talian (Search ability).

4. Kebolehan akses di mana sahaja dan bila-bila masa selagi ada jaringan internet (Accessibility).

Keperluan untuk para pendakwah beralih ke era digital selain daripada faktor pandemik COVID-19 dan juga sekatan serta ‘SOP ’atau ‘standard operation procedure’ yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dan kerajaan ialah faktor generasi baharu era digital, iaitu generasi milenial atau generasi Y, iaitu kelompok yang lahir setelah generasi X. Generasi Y pada hari ini lahir dalam tahun 1980-2000 dan ke atas, iaitu golongan generasi muda yang berumur antara 17-37 tahun. Jumlah generasi milenial ini semakin meningkat dan golongan ini mempunyai ciri yang tersendiri dan menonjol iaitu:

1. Menguasai media sosial.

2. Bersifat lebih terbuka dan cenderung berfikir ke arah agresif.

3. Banyak memanfaatkan internet dan media baharu dalam aktiviti mereka.

4. Dalam proses pembelajaran, mereka banyak melakukan akses internet bagi mendapatkan maklumat (Michael Dawing, 2012).

Berdasarkan kepada analisis juga, pendakwah masa kini perlu berdakwah dengan aktif secara digital dan perlu ‘terjun’ atau memasuki era media digital ini kerana perlu. Mengambil pandangan Tom Nicolsh (2017) dalam bukunya The Death of Expertise yang menyatakan media sosial telah menjadi arena pelbagai produk dan kandungan dan produknya menjadikan orang yang tidak memiliki ilmu pengetahuan menjadi mempunyai pengetahuan yang salah dan oleh yang demikian ‘publik’ atau orang yang mempunyai pengetahuan yang lengkap dan kukuh perlu mengambil alih kandungan media sosial dengan kandungan yang berilmu dan mempunyai nilai pendidikan bagi menghindarkan komunikasi toksik. Perlu ditekankan bahawa maklumat dan selera masyarakat awam tidak dibentuk secara sendiri tetapi dibentuk oleh pencipta kandungan. Pada era milenial ini, banyak ruang dalam media baharu yang berasaskan internet seperti Facebook, Instagram, YouTube, Twitter dan yang lain boleh dimanfaatkan oleh pendakwah untuk menyebarkan dakwah Islamiah.

Walaupun pada hari ini kita menghadapi cabaran pandemik COVID-19 yang memberi kesan terhadap usaha-usaha dakwah secara fizikal, usaha pembaharuan dakwah dalam suasana norma baharu perlu diterokai. Menurut Yusuf al-Qaradhawi (2004), pembaharuan dakwah perlu diteruskan dan perlu bergerak ke hadapan serta berorientasikan kemajuan atau keadaan yang lebih baik dalam segala aspek. Pembaharuan pada hakikatnya mempunyai makna ‘al-islah ila ma huwa al aslah’ yang bermaksud pembaikan secara berterusan menuju ke arah yang lebih baik. Oleh yang demikian dakwah pada masa kini perlu lebih bermakna dan dapat mencakupi pelbagai aspek kehidupan yang sekali gus dapat membantu umat Islam seluruhnya yang bukan sekadar untuk mampu untuk kehidupan semata-mata tetapi mampu untuk terus bersaing di era milenial masa kini.

-- BERNAMA

Kolonel Dr Burhanuddin Jalal ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)