TINTA MINDA

HIBAH INSTRUMEN PERANCANGAN HARTA PUSAKA ISLAM

04/08/2021 09:36 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Mohamad Ali Roshidi Ahmad

Hibah merupakan satu daripada instrumen yang sesuai digunakan dalam pengurusan harta pusaka menurut undang-undang Islam. Ia merupakan pemberian kepada seseorang yang memerlukan atau disayangi tanpa apa-apa balasan daripada penerima hibah. Ia juga membolehkan seseorang beragama Islam menetapkan agihan hartanya ketika masih hidup.

Kaedah ini dapat menghindar berlakunya perbalahan dan perebutan harta pusaka antara ahli keluarga atau waris si mati. Instrumen hibah amat digalakkan dalam Islam dan perlu dilaksanakan dengan kaedah yang betul selaras dengan kehendak syarak.


Kelebihan, Rukun Dan Penerima Hibah

Kelebihan hibah membolehkan seseorang memberikan hartanya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki sama ada waris sah, bukan waris, atau penerima bukan beragama Islam. Pelaksanaan hibah akan menjamin perpindahan hak milik harta kepada seseorang yang dikehendaki mengikut kehendak pemberi hibah.

Pemilik harta boleh menentukan sendiri kepada siapa hartanya akan diberikan, berapa jumlah yang hendak diagihkan dengan mengambilkira kesesuaian dari aspek ekonomi dan keperluan bakal penerima hibah.

Instrumen hibah mestilah memenuhi rukun serta syarat bagi menjamin kesahihannya dan memudahkan proses pembahagian serta perancangan harta. Terdapat empat rukun hibah iaitu pemberi hibah, penerima hibah, harta yang hendak dihibahkan serta akad hibah (ijab dan qabul).

Pemilik harta boleh memberikan hartanya secara hibah kepada anak, isteri atau suami, ibu bapa, anak angkat, anak susuan, keluarga angkat dan sebagainya bagi menzahirkan kasih sayang antara mereka. Hibah juga boleh diberikan kepada individu-individu lain seperti kenalan jauh mahupun sahabat terdekat. Bahkan seseorang boleh menghibahkan hartanya kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Dengan melaksanakan instrumen hibah seseorang bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim sesama Islam malah dapat menjalinkan hubungan kasih sayang dengan mereka yang berlainan agama.


Hibah Pemberian Kasih Sayang

Islam mendorong umatnya memiliki harta untuk memakmurkan bumi dengan cara terbaik sebagaimana yang disarankan oleh ajaran Islam. Justeru itu, instrumen hibah boleh menangani masalah ini dengan baik, harta yang dihibahkan boleh terus dimanfaatkan penerima hibah ketika pemberi hibah masih hidup.

Sekiranya pemilik harta tidak membuat perancangan, apabila berlaku kematian manfaat harta secara terus belum tentu dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Ia disebabkan oleh beberapa faktor seperti masalah pentadbiran dalam pembahagian harta pusaka, pertelingkahan di kalangan waris yang akhirnya menyebabkan harta itu terbiar.

Hibah merupakan pemberian kasih sayang, oleh itu ia tidak mempunyai kadar tertentu seperti wasiat yang menetapkan kadar tidak melebihi satu pertiga daripada nilai bersih harta pusaka. Pemilik harta menentukan sendiri kepada siapa hartanya akan diberikan dengan mengambil kira kedudukan ekonomi dan keperluan semasa penerima. Begitu juga dengan nilai harta yang hendak dihibahkan ia bergantung kepada kemampuan dan kehendak pemiliknya.

Hibah merupakan instrumen perancangan harta yang sesuai diamalkan dalam mengagihkan harta kepada waris atau bukan waris sebagai satu bentuk pemberian kasih dan sayang. Kaedah ini dapat mengurangkan salah faham dan memudahkan waris menerima rukun yang termaktub dalam syarat hibah.

Intrumen ini tidak mempunyai unsur ketidakadilan kerana pemilik harta bertanggungjawab memberi hibah kepada individu yang dikehendakinya. Perancangan pengagihan harta semasa hidup melalui konsep hibah perlulah dipraktikkan bagi individu yang beragama Islam bagi memudahkan urusan pengagihan harta.

Proses penurunan harta yang sempurna melalui cara hibah bukan sahaja memberi kebaikan kerana mampu merangsangkan dan meningkatkan ekonomi masyarakat dan negara, malah dapat memastikan bahawa semua harta yang dimilikki ketika hayat tidak akan menjadi bahan atau punca perbalahan dalam kalangan waris.

-- BERNAMA

Mohamad Ali Roshidi bin Ahmad merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, UPSI

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)