NOTA KAMPUS

Pandemik Serlahkan Potensi Warga Pentadbiran Universiti

04/08/2021 08:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Salmiwati Othman dan Mohamad Nasaruddin Mahdzir

Impak pandemik terhadap institusi pengajian tinggi di Malaysia semakin ketara dirasai. Penyesuaian terhadap operasi melibatkan pentadbiran institusi, pengurusan sumber, aktiviti akademik, penyelidikan, jaringan industri, khidmat masyarakat dan penghasilan inovasi dalam mendepani ketidaktentuan dan perubahan persekitaran global perlu disegerakan. Oleh yang demikian, peranan kakitangan pentadbiran juga adalah tidak terkecuali.

Kakitangan pentadbiran dalam kumpulan pengurusan dan profesional merentas skim perkhidmatan di universiti awam dilihat berada dalam lapisan kedudukan yang unik dan mencabar. Kakitangan pentadbiran ini menyokong semua keperluan kontingensi serta berperanan sebagai perantara antara pengurusan peringkat eksekutif dan kakitangan peringkat operasi. Berlandaskan kepada pengalaman dan kompetensi berasaskan bakat, keupayaan mereka dalam menterjemahkan tindakan dalam situasi pandemik harus diberikan pengiktirafan sewajarnya.

Pusat pemberian vaksin COVID-19 satu pengalaman

Pengoptimuman infrastruktur dan kepakaran universiti awam dalam menguruskan Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 merupakan satu pengalaman baharu. Dalam hal ini, kakitangan pentadbiran turut memainkan peranan penting dalam mengurus tadbir operasi pemberian vaksin kepada rakyat dan sekaligus meringankan bebanan tugas warga perubatan. Justeru, pihak pengurusan universiti juga sewajarnya berupaya menilai peranan dan kemampuan kumpulan ini semasa tempoh pandemik terutamanya melibatkan keupayaan mereka menjalankan tugasan kontigensi dan operasi hakiki jabatan secara optimum, berintegriti dan inovatif walaupun dalam kekangan sumber, sistem dan infrastruktur yang terhad.

Kajian berkaitan potensi kakitangan pentadbiran

Roxana Diana Baltaru (2019) mendapati universiti yang telah meningkatkan nisbah kakitangan bukan akademik profesional mengikut keperluan nisbah pelajar telah berjaya menghasilkan tahap prestasi yang lebih baik. Dr. Wing Keung Jason Lau menerusi kajiannya “Empowerment of non-academic personnel in higher education: exploring associations with perceived organizational support for innovation and organizational trust” mendapati strategi pengurusan dalam mengupayakan kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional mendorong kepada penghasilan idea baharu dan tingkah laku inovatif yang berupaya memberi impak terhadap kelangsungan penubuhan institusi.

Kajian empirikal turut memperlihatkan tanggungjawab kakitangan pentadbiran terlihat mempunyai kesan langsung secara positif terhadap sokongan organisasi meliputi aspek inovasi.

Potensi kakitangan pentadbiran mendapat perhatian

Pengalaman Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memulakan langkah rasionalisasi pelantikan kakitangan bukan akademik memegang jawatan utama dalam universiti merupakan paradigma baharu yang positif dan ianya satu tindakan yang perlu disokong. Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (Masti) menyatakan sehingga 2020, sejumlah 120 orang pentadbir universiti awam memiliki kelayakan doktor falsafah dalam peningkatan profesionalisme di universiti masing-masing.

Majoriti kumpulan ini juga mempunyai kelayakan sarjana serta profesional yang diiktiraf. Selain itu, pihak Masti juga mencadangkan agar penilaian semula istilah “staf bukan akademik” kepada “pentadbir professional” bagi menyerlah potensi dan peranan staf pentadbiran pada kedudukannya. Pengiktirafan dan kepercayaan kepada kumpulan ini mampu membantu mengerakkan universiti pada landasannya, mengoptimumkan bakat dan melonjakkan budaya kerja berprestasi tinggi.

Rumusan

Universiti hari ini berada dalam persekitaran yang dinamik dan perlu responsif terhadap perubahan persekitaran untuk kekal kompetitif. Di samping itu, universiti perlu memberi fokus terhadap sinergi bakat, pengoptimumkan sumber dan kecemerlangan kepimpinan agar ia lebih teguh dan berdaya saing. Kapasiti institusi itu sendiri perlu berfungsi secara kolektif menerusi pengoptimuman bakat akademik dan pentadbiran untuk bersama-sama mendepani perubahan institusi bagi menyokong landasan keberhasilan universiti dalam menghadapi fasa pandemik dan pasca pandemik selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan (DSG) 2030: (4) Pendidikan Berkualiti.

Justeru, ibarat aur dengan tebing, sinergi kepakaran bakat universiti di antara kakitangan akademik dan pentadbiran amat signifikan dalam mewujudkan solidariti berhubung peranan dan tanggungjawab setiap satunya untuk mempertingkatkan kecekapan tadbir urus universiti.

-- BERNAMA

Salmiwati Othman dan Mohamad Nasaruddin Mahdzir merupakan Timbalan Pendaftar,Universiti Teknologi MARA (UiTM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)