TINTA MINDA

PEDAGOGI TEATER FORUM: MENJANA KEMORALAN MASYARAKAT

06/08/2021 08:36 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Profesor Madya Dr Nadarajan Thambu


Ketandusan nilai moral dan akhlak dalam kalangan masyarakat kian memuncak. Ibu bapa dan masyarakat menuding jari kepada sekolah dan pedagogi pendidikan yang dikatakan gagal membentuk generasi bermoral. Dalam konteks ini, mata pelajaran yang mengajar nilai, akhlak dan etika secara langsung di sekolah dan universiti ialah Pendidikan Moral.

Ahli bijak pandai pula terus menegaskan matlamat Pendidikan Moral bukan sahaja untuk merangsang kemoralan individu dalam aspek kognitif semata-mata, tetapi mendorong individu untuk mempraktikkannya dalam bentuk tingkah laku moral. Justeru, sejenis teater komuniti iaitu Teater Forum telah diubah suai dalam konteks pendidikan untuk dijadikan teknik pengajaran dan pemudahcaraan Pendidikan Moral di bilik darjah.

Pedagogi Teater forum

Teater Forum ialah satu bentuk pedagogi untuk mengajar Pendidikan Moral di sekolah dan universiti. Teknik ini mempunyai empat langkah iaitu olahan skrip, lakonan anti-model, sesi forum dan lakonan intervensi.

Keunikan pedagogi ini ialah keempat-empat langkah tersebut akan dikendalikan oleh seorang badut atau Joker yang berperanan sebagai guru. Elemen Joker dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang mesra pelajar dan tanpa tekanan di bilik darjah. Justeru, pelajar yang terlibat dalam Teater Forum akan belajar secara santai selaras dengan konsep ‘didik-hibur’.

Olahan skrip

Dalam sesi ini pelajar digalakkan untuk mengembangkan skrip berdasarkan pengalaman harian yang ada kaitan dengan satu daripada objektif unit pengajaran dalam buku teks. Ia perlulah menggambarkan konflik atau dilema moral dihadapi oleh watak-watak yang terlibat. Olahannya wajib memaparkan situasi penindasan, tekanan atau konflik yang dicetuskan oleh watak antagonis terhadap golongan lemah dan tidak berkuasa serta gagal mengatasi tekanan tersebut.

Objektifnya adalah untuk mengembangkan aspek pemikiran, emosi, imaginasi dan struktur minda pelajar yang mampu mengolah konflik moral secara naratif. Ia secara langsung dapat menarik perhatian, kerana kemampuan otak manusia untuk berfikir secara naratif dalam hubungan sebab dan akibat.

Semasa mengolah skrip, para pelajar dapat memikirkan semula penindasan yang berlaku terhadap mereka, keadaan ini mampu memberi kesedaran bahawa perbuatan itu tidak patut dilakukan kepada orang lain. Pemikiran moral ini penting untuk membentuk perwatakan moral individu.

Lakonan anti-model

Skrip yang dikembangkan akan dilakonkan untuk tontonan pelajar di hadapan kelas. Lakonan peringkat ini dikenali sebagai lakonan anti-model, iaitu lakonan yang dipertontonkan bukanlah ‘model’ yang harus dicontohi dan diteladani.

Ia biasanya berakhir dengan penindasan yang berterusan daripada watak-watak antagonis yang tidak bermoral. Mangsa penindasan pula tidak berupaya menyelesaikan masalah atau konflik yang melanda diri mereka.

Objektifnya, supaya sesuatu konflik moral dapat dipaparkan dengan jelas. Biasanya dalam apa jua teknik lakonan, pelakon dan penonton akan menggunakan kelima-lima pancaindera untuk memahami isu yang dipaparkan. Lakonan yang realistik juga boleh meninggalkan kesan mendalam di jiwa pelakon dan penonton kerana mereka terlibat secara fizikal, emosi dan perlakuan.

Dalam konteks ini, pelajar yang berlakon sebagai penindas pula dapat menjiwai serta menganalisis pemikiran, perasaan dan tindakan mereka terhadap orang lain. Mangsa pula dapat menjiwai perkara yang dialami yang memberikan peluang kepada mereka untuk bermuhasabah dan insaf.

Sementara itu, pelajar yang menjadi penonton mampu menganalisis perkara baik dan buruk yang dipaparkan untuk dijadikan pengajaran serta teladan. Mereka juga dapat berfikir dan bertindak secara rasional untuk campur tangan dalam masalah yang dilihat demi mengekalkan keharmonian masyarakat.


Sesi Forum

Seterusnya, sesi forum yang dikendalikan oleh Joker yang berperanan sebagai guru. Joker akan berbincang dengan penonton (pelajar lain yang tidak berlakon) masalah yang dipaparkan dalam persembahan anti-model dan cadangan penyelesaiannya.

Joker akan meminta penonton memikirkan idea munasabah yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan konflik dialami watak yang tertindas atau mengubah sikap watak antagonis yang tidak bermoral. Sesi perbincangan, brainstorm dan lontaran idea daripada penonton dikenali sebagai “forum” dalam Teater Forum.

Dalam sesi ini, penonton yang memberikan idea penyelesaian secara lisan juga perlu bersedia untuk 'melakonkannya’ dalam sesi lakonan intervensi bagi menyelesaikan masalah yang dicadangkannya. Tujuannya ialah idea yang abstrak perlu dilaksanakan secara praktikal atau amali supaya dapat difahami oleh diri sendiri. Ia selaras dengan kata-kata Confucious “I do, I understand” dan perlakuan tersebut menjadi contoh teladan kepada orang lain yang melihatnya.

Lakonan Intervensi

Sesi terakhir ialah lakonan intervensi, iaitu lakonan anti-model dipersembahkan untuk kali kedua. Dalam sesi ini penonton perlu mengubah konflik yang dipaparkan dalam lakonan anti-model kepada satu penyelesaian yang lebih harmoni.

Pada peringkat ini, pelajar lain yang tidak berlakon akan mengambil alih peranan antagonis atau watak yang tertindas untuk membawa penyelesaian terbaik kepada masalah dihadapi.

Intervensi bermaksud rawatan atau pemulihan. Oleh itu, tugas pelakon intervensi adalah untuk menyelesaikan konflik dan mengubah perwatakan antagonis yang tidak bermoral kepada yang bermoral dan berakhlak. Jelasnya, lakonan intervensi merupakan lakonan yang “merawat” seseorang daripada sikap negatif kepada positif.

Penonton bebas memilih watak antagonis atau mangsa penindasan yang mereka hendak ubah atau “rawat”. Contohnya, dalam lakonan anti-model, Joe merupakan watak antagonis yang panas baran dan suka menyakitkan hati rakan-rakannya. Maka, penonton yang hendak mengubahnya perlu memikirkan cara untuk mengubah Joe menjadi watak yang bermoral.

Setelah mengenal pasti watak yang hendak dirawat, pelakon intervensi harus menghentikan lakonan anti-model yang sedang berlangsung dengan teriakan “freeze”. Contohnya, penonton “A”, akan angkat tangan dan berteriak dengan berkata “freeze watak Joe”.

Apabila mendengar teriakan ini, watak Joe dan para pelakon anti-model yang sedang berlakon akan “freeze”. Watak Joe akan keluar dari pentas lakonan. Penonton (pelakon intervensi A) yang berteriak tadi akan tampil ke pentas untuk mengambil alih peranan watak Joe dan melakonkan idea penyelesaiannya di atas pentas.

Selepas itu, lakonan anti-model akan diteruskan dengan ‘pelakon intervensi “A” yang mengambil alih watak Joe. Pelakon intervensi “A” harus menunjukkan pemulihan terhadap watak Joe daripada aspek pemikiran, perasaan dan tindakan serta berusaha untuk menyelesaikan konflik sedia ada.

Proses yang sama berlaku sekiranya ada penonton yang ingin mengubah watak antagonis atau mangsa penindasan. Ia akan berterusan sehingga semua watak antagonis dirawat dan konflik moral yang dicetuskan dapat diselesaikan.

Objektif sesi ini ialah tidak mahu orang ramai hanya menjadi penonton pasif dan tidak berfungsi. Pedagogi Teater Forum tidak menggalakkan penonton pasif seperti dalam teater konvensional.

Teater ini mahu penonton aktif mengambil bahagian dalam persembahan untuk mencipta aksi yang membawa kepada perubahan dalam menangani konflik penyelesaian yang harmoni, bermoral serta boleh diterima oleh masyarakat. Kemahiran penyelesaian konflik dalam teater akan memberikan satu pengalaman dan latihan yang bermakna untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian.

Setiap anggota masyarakat tidak sepatutnya bersikap indivudualistik dan apati apabila berlaku masalah yang melibatkan keruntuhan moral. Bersikap simpati terhadap sesuatu keadaan tanpa menghulurkan bantuan atau menjadi penonton yang beretika sahaja (ethical bystander) tanpa bertindak, tidak mampu membawa perubahan positif dalam masyarakat.

Pedagogi Teater Forum melatih pelajar menjadi anggota masyarakat yang bertindak aktif dalam menangani suatu konflik atau isu moral demi memelihara kemoralan dalam masyarakat.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim, menyatakan “pegagogi Teater Forum mampu menjadi wahana untuk menerap dan memperkukuh nilai moral serta akhlak yang menjadi paksi pembinaan manusia dan kemanusiaan; lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik COVID-19, yang banyak memperlihatkan isu keruntuhan moral individu dan masyarakat”.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter, Fakulti Sains Kemanusiaa UPSI, Dr Noor Banu Mahathir Naidu pula menyatakan “pedagogi yang mementingkan latihan kemoralan seperti Teater Forum, penting untuk memenuhi kehendak Pembelajaran Abad ke-21, yang mana nilai moral dan akhlak menjadi tunjang pembentukan modal sosial dan modal ekonomi negara kita”.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Nadarajan Thambu merupakan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)