TINTA MINDA

KAJIAN GUNAAN BANTU MIROS TINGKATKAN KESEDARAN RISIKO PELANGGARAN

06/08/2021 08:51 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Mohd Khairul Alhapiz Ibrahim

Misi utama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sejak ditubuhkan 14 tahun lepas ialah memupuk sains dan kesenian dalam intervensi keselamatan jalan raya di Malaysia. Pada peringkat awal penubuhan MIROS, banyak kajian bersifat akademik dan berdasarkan teori telah dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman berkaitan punca dan kaedah terbaik penyelesaian isu kemalangan jalan raya.

Kini MIROS telah memiliki asas yang kukuh dan kekuatan ilmiah yang tersendiri untuk membawa perubahan sosial yang ketara dalam pembudayaan pemanduan selamat melalui pendekatan kajian gunaan.

Sikap pengguna jalan raya

MIROS telah menggunakan peruntukan sumber manusia dan kewangan secara khusus untuk menubuhkan Unit Simulasi dan Data Psikometrik Pemanduan bagi melipatgandakan keberkesanan intervensi yang menyasarkan perubahan sikap dan peningkatan kompetensi pengguna jalan raya. Keupayaan aset unit kajian ini seperti simulator pemanduan, kereta dan motosikal berinstrumentasi dan kemahiran pengaturcaraan komputer telah memacu usaha meningkatkan pembudayaan pemanduan selamat melalui pengaplikasian dapatan kajian gunaan yang telah dijalankan oleh MIROS.

Terbaharu, penyelidik MIROS daripada unit kajian ini telah membangunkan aplikasi diagnostik dan latihan peningkatan kompetensi pemandu berasaskan internet dan telefon mudah alih. Aplikasi diagnostik dan penentuan keperluan latihan yang diberi nama UbahLaku yang berasaskan internet. Aplikasi diagnostik mudah alih Skor Tingkah Laku Penunggang Motosikal Lebih Selamat atau SCORES telah dibangunkan menggunakan data dan dapatan kajian sosial dan saintifik yang telah dijalankan oleh MIROS sebelum ini.

Antara elemen diagnostik dan latihan pemanduan selamat kereta dan motosikal yang diaplikasikan ialah elemen kewaspadaan persekitaran, taksiran dan anggaran bahaya (hazard), kelesuan dan stress dalam dua pemanduan. Pembangunan aplikasi tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dan telah menunjukkan potensi keberkesanan di luar jangkaan pasukan penyelidik.

Kesedaran risiko pelanggaran

Antara rumusan penting kajian MIROS terdahulu yang perlu diketengahkan kepada umum ialah terdapat penunjuk yang jelas bahawa kesedaran risiko perlanggaran dalam kalangan pengguna jalan raya di Malaysia berada pada tahap yang tidak memuaskan dan membimbangkan. Sebagai contoh, terdapat konflik dan situasi hampir berlanggar antara pemandu kereta dan penunggang motosikal yang didapati berpunca daripada kegagalan pemandu kereta untuk menjangkakan kehadiran penunggang motosikal di antara lorong-lorong pemanduan pada kelajuan yang tinggi, walaupun senario trafik tersebut boleh dianggap biasa di negara kita.

Konflik tersebut juga didorong oleh tindakan penunggang motosikal yang mengambil risiko tanpa perhitungan yang munasabah dengan menunggang di ruang sempit antara lorong pemanduan dengan kelajuan yang tinggi tanpa pengurusan risiko pelanggaran yang berkesan.

Untuk itu, melalui kajian saintifik termaju, MIROS sedang berusaha dengan gigih untuk membawa perubahan besar dalam meningkatkan kewaspadaan persekitaran, kesedaran risiko perlanggaran dan kompetensi pemanduan defensif dalam kalangan pengguna jalan raya di Malaysia. Sokongan dan penglibatan bersama pengguna jalan raya di Malaysia adalah sangat diharapkan.

-- BERNAMA

Mohd Khairul Alhapiz Ibrahim merupakan Ketua Unit Unit Simulasi dan Data Psikometrik Pemanduan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)