TINTA MINDA

BERSAMA BERHIJRAH MENANGANI PANDEMIK COVID-19

09/08/2021 08:21 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli dan Muhammad Ammar Harith Idris

Esok umat Islam di seluruh dunia bakal melangkah masuk ke tahun baharu 1443 Hijrah. Saban tahun sambutan Maal Hijrah pada 1 Muharram diadakan sebagai simbolisme bagi mengingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah walaupun menurut pandangan ulama, Baginda berhijrah pada bulan Rabiul Awwal pada tahun ke-14 kenabian.

Peralihan tahun baharu ini juga adalah satu proses cas semula atau tajdid semangat serta keazaman baharu untuk berhijrah menjadi insan dan peribadi yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Peristiwa hijrah

Jika ditelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, terdapat dua siri hijrah yang dilakukan. Pertama hijrah para Sahabat ke Habsyah dan kedua hijrah para Sahabat dan disusuli oleh Baginda SAW ke Yathrib (Madinah). Peristiwa ini berlaku disebabkan tindakan kejam orang kafir Quraish yang menolak dakwah Baginda dan mereka melakukan penindasan terhadap umat Islam. Jadi, tindakan hijrah ini sebagai satu strategi untuk menyelamatkan nyawa umat Islam di samping jalan untuk menangani ujian berat yang dihadapi pada waktu itu.

Dalam peristiwa hijrah ke Madinah, Baginda SAW telah berjaya menyebarluaskan dakwah dan ia diterima dengan baik oleh penduduk Madinah sehingga Madinah menjadi negara Islam yang pertama. Antara strategi yang diatur oleh Baginda SAW adalah mendirikan masjid sebagai pusat spiritual yang menguatkan ikatan hubungan antara manusia dengan Allah SWT.

Dalam masa sama Baginda memperkuatkan hubungan sosial antara golongan Muhajirin dan Ansar dengan mempersaudarakan di antara mereka. Dengan tindakan ini, ia berjaya membentuk umat Islam sebagai sebuah kekuatan baharu. Walaupun begitu, selepas pembukaan kota Mekah, tiada lagi hijrah yang dilakukan kerana Mekah telah menjadi sebahagian negara Islam. Tetapi, inspirasi daripada hijrah yang berlandaskan pendekatan rabbani (arahan Allah SWT) ini dapat dimanfaatkan oleh umat Islam kini untuk membentuk ummah yang berkualiti.

Dunia sedang diuji

Pada hari ini, kita sedang menghadapi situasi yang gawat. Ujian demi ujian dialami oleh umat Islam. Tercetusnya pandemik COVID-19 yang berlarutan ke tahun kedua telah menimbulkan berbagai krisis peringkat global mahupun lokal. Ia bukan hanya melibatkan krisis yang berkaitan dengan kesihatan, malah turut membabitkan krisis ekonomi, politik, sosial dan keagamaan.

Hampir setiap sektor kehidupan menerima tempias di sebalik pandemik yang berlaku ini. Dalam sektor kesihatan, penularan virus ini kini semakin meluas, jumlah pesakit dan angka korban semakin bertambah. Dalam masa sama, petugas barisan hadapan telah mengalami kelelahan dalam menangani pertambahan pesakit dan keadaan kapasiti hospital hampir penuh.

Ramai pihak dalam rantaian ekonomi turut terkesan. Banyak syarikat, kedai dan kilang telah ditutup kerana tidak dapat beroperasi dan menanggung beban hutang dan kerugian. Secara langsung, pekerja yang terlibat juga telah hilang sumber pendapatan. Begitu juga mereka yang bekerja sendiri dan tiada kerja tetap. Perintah kawalan pergerakan menyebabkan mereka tidak dapat keluar bekerja dan peluang pekerjaan lebih terbatas. Situasi ini menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk dan ada yang mengalami ketidak cukupan terhadap sumber makanan.

Pandemik ini turut memberi tempias kepada situasi politik tempatan yang kini berdepan tsunami yang besar. Pada peringkat awal pandemik, kita telah menyaksikan peralihan kerajaan dan situasi ketidakstabilan ini masih berterusan sehingga kini. Malah proklamasi darurat yang ditetapkan tidak berjaya menurunkan kes-kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19, bahkan semakin bertambah.

Dalam krisis sosial pula, terdapat berbagai isu yang berlaku dalam masyarakat. Berlakunya peningkatan kes-kes penderaan domestik yang melibatkan suami, isteri, kanak-kanak dan warga tua, pengabaian terhadap kebajikan ibu bapa dan terputusnya bekalan makanan antara krisis sosial ketika pandemik. Tekanan yang dihadapi telah menyebabkan meningkatnya kes-kes penderaan dalam masyarakat.

Jika diimbas kembali, kalendar 1442 Hijrah yang lalu menyaksikan kita terpaksa bergelut dengan cabaran kehidupan di musim pandemik yang begitu mencengkam dengan ramai dalam kalangan kita yang terkesan daripada sudut material, mental dan spiritual akibat COVID-19. Justeru bagaimana dengan kedatangan tahun baharu 1443H, apakah kita masih hendak pesimis atau perlu anjakan paradigma untuk menanam rasa optimis?

Hijrah sikap

Jika disorot dalam strategi hijrah Rasullullah, kita dapati tindakan hijrah masih relevan dalam situasi pandemik kini. Namun, ia bukan lagi satu hijrah yang berbentuk fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain, kerana boleh menyebabkan penularan virus dan jangkitan virus disebabkan situasi pandemik. Sebaliknya, ia dapat dilakukan dengan hijrah dari norma yang lama kepada yang norma yang baharu lebih selamat, hijrah dari sikap yang buruk kepada baik, hijrah dari sikap individualistik kepada kolektif dan seumpamanya.

Selari dengan itu, kita boleh terapkan hijrah dalam menangani krisis kesihatan, ekonomi, politik dan sosial. Dalam tindakan hijrah bagi menangani krisis kesihatan, setiap kita perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berwajib, mengamalkan SOP yang ketat, mengamalkan penjarakan sosial dan fizikal, mengamalkan kawalan kendiri dengan berdisiplin di samping patuh kepada arahan vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok. Masyarakat perlu memberikan bekerjasama dengan mendaftarkan diri untuk mengambil suntikan vaksin di pusat-pusat pengagihan vaksin (PPV) yang dibuka.

Cari kekuatan untuk kembali bangkit

Dalam hijrah ekonomi pula, tiap kita perlu bangkit semula untuk memenuhi keperluan kewangan keluarga. Di samping bantuan yang disalurkan oleh kerajaan, pusat zakat, badan bukan kerajaan dan pihak persendirian, mereka yang terjejas dari aspek ekonomi perlu untuk menyusun kembali kehidupan untuk kembali mencari sumber kewangan pasca pandemik. Bahkan, mereka perlu berhijrah dan tidak lagi boleh berkekalan hidup sebagai golongan asnaf dan penerima bantuan kebajikan tanpa sebarang usaha.

Manakala hijrah politik pula melibatkan anjakan sikap aktor politik sama ada pemimpin atau pengikut yang mengorbankan kepentingan peribadi untuk membawa negara kepada situasi yang lebih baik. Lebih-lebih lagi apabila negara kita ini masih lagi berada dalam kegawatan akibat pandemik.

Justeru, sikap dwi-standard dan perebutan kuasa dalam kalangan golongan politik menimbulkan ketidakstabilan dan memberikan kesan terhadap usaha menangani pandemik, memulihkan ekonomi dan ketenangan sosial. Malah ia turut menimbulkan bibit-bibit perpecahan. Sedangkan ketika ini semangat kerjasama, dan bertanggungjawab adalah penting untuk menimbulkan keyakinan masyarakat dalam melalui fasa pandemik. Dengan itu, mereka perlu berhijrah kepada mengamalkan politik yang matang.

Sikap peduli sosial

Sementara dalam hijrah konteks sosial pula, impak penularan COVID-19 telah menyebabkan sebilangan kita mengalami kesusahan. Kesusahan ini kadangkala menimbulkan tekanan hidup hingga mendorong kepada penderaan dan keganasan rumahtanga serta pengabaian warga emas. Dalam hal ini, setiap pihak perlu memainkan peranan bagi menangani kes penderaan sama ada dalam bentuk sokongan moral, material, mahupun makanan dan tempat perlindungan bagi mangsa.

Di samping itu, bantuan juga boleh disalurkan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga yang terjejas. Begitu juga peranan institusi zakat, badan-badan kebajikan dan badan bukan kerajaan untuk menyalurkan sumbangan dengan lebih cepat dan berkesan. Pada masa yang sama, kesedaran untuk membantu antara satu sama lain ini juga dapat mengikis sifat bakhil dalam diri agar menjadi lebih baik sekaligus bertepatan dengan konsep hijrah, iaitu menjadi manusia yang dermawan dan peduli sosial.

Rasulullah SAW telah menegaskan soal kualiti seorang mukmin dengan sabda baginda: seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT berbanding seorang mukmin yang lemah. Namun keduanya tetap mempunyai kebaikan. Bersemangatlah atas perkara-perkara yang bermanfaat bagi kamu. Minta tolonglah kepada Allah, Jangan kamu lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu musibah, maka janganlah kamu berkata: seandainya aku lakukan demikian dan demikian. Akan tetapi hendaklah kamu katakan: Ini sudah takdir Allah. Setiap apa yang dia kehendaki, pasti terjadi kerana perkataan seandainya dapat membuka pintu syaitan (Riwayat Muslim).

Bersama mendepani cabaran

Sehubungan itu, sambutan Maal Hijrah kali ini sewajarnya menjadi suatu titik permulaan dan perubahan ke arah yang lebih positif terutamanya dalam meneruskan kehidupan di saat-saat yang sukar dan pasca pandemik. Umpama peristiwa hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat ke kota Madinah, Baginda menyusun strategi dengan memperkuatkan tautan spiritual umat Islam dan mengukuhkan hubungan sosial melalui persaudaran berlainan pertalian darah dan kabilah. Justeru kekuatan spiritual dan sosial ini dapat menjadi asas kepada pembentukan umat yang berkualiti sekaligus dapat menjana semangat tolong menolong dan ambil peduli dalam masyarakat untuk bersama-sama melalui situasi sukar ketika pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Muhammad Ammar Harith Idris, Pegawai Penyelidik, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)