NOTA KAMPUS

PENGURUSAN RISIKO PERLU SANTUNI SINERGI NILAI PERIBUMI

13/08/2021 07:45 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Oswald Timothy Edward

Pada November lepas, Pejabat Serantau UNESCO untuk Afrika Selatan (UNESCO ROSA) telah menganjurkan webinar Pengetahuan Orang Peribumi dan Pengurusan Risiko Iklim. Webinar ini telah membentangkan kajian yang menunjukkan sinergi antara nilai pengetahuan peribumi dan sistem pengurusan pihak berkuasa tempatan dalam pengurusan risiko perubahan iklim.

Webinar itu turut menjadi platform untuk meneroka aktiviti yang berpotensi untuk mengukuhkan sistem pengetahuan masyarakat peribumi untuk bersama dalam meningkatkan kaedah pengurusan risiko perubahan iklim, pengurusan sumber air serta pengurusan risiko bencana. Pembangunan mampan seharusnya mengambil kira penglibatan dan kerjasama masyarakat peribumi atau Orang Asal dalam isu yang membabitkan persekitaran seperti hutan dan sungai.

"Sungai merupakan salah satu urat alam, jika anda meracuninya, anda akan diracuni". Bunyinya terlalu karut dan menakutkan, tetapi inilah salah satu contoh nilai yang kita boleh pelajari daripada budaya masyarakat pribumi. Menurut kepercayaan pribumi lagi, sungai adalah unsur hidup serta rantaian penting dalam kehidupan dan bukanlah semata-mata satu sistem pengairan yang berpotensi untuk dieksploitasi. Justeru, hentikan perbuatan yang suka mencemarinya.

Nyawa manusia terdedah kepada rikiso disebabkan oleh bahaya yang berkaitan dengan alam sekitar akibat sungai tercemar, udara beracun, potensi penyebaran wabak kanser akibat aktiviti perlombongan – dan banyak lagi musibah lain. Jika kita ikhlas menghormati sungai, mungkin tidak akan berlaku kejadian yang membawa bencana seperti kes pencemaran Sungai Kim-Kim pada 2019.

Sepadukan nilai pribumi dalam pengurusan sumber negara

Nilai-nilai pribumi perlu dipertahankan dan diambilkira dalam pengurusan sumber di peringkat kebangsaan. Walaupun tidak mempunyai budaya pribumi yang tunggal, namun terdapat nilai-nilai murni dalam tradisi masyarakat pribumi Malaysia yang patut diingati dan disepadukan dalam pengurusan sumber negara.

Kita percaya bahawa nilai-nilai pribumi boleh membantu kita menyelesaikan masalah sosial dan ekologi asasi terkini. Namun, ianya memerlukan kesedian kita untuk mempertimbangkan nilai pribumi ini dalam agenda pembangunan mampan negara. Sebagai contoh, nilai pribumi bagi masyarakat Kadazandusun di Sabah, meletakkan penghormatan tertinggi terhadap alam sekitar dan kewujudan biologinya. Secara analisisnya, inait atau mentera nyanyian yang diulang-ulang oleh Bobohizan (penjaga alam) dalam upacara tertantu, mengandungi tiga nilai pribumi yang cukup signifikan dalam misi pembangunan lestari kita.

Pertama, inait (mentera) tersebut mengingatkan manusia bahawa kita patut membuat keputusan mengenai gaya hidup kita pada hari ini berdasarkan impak bahawa tingkahlaku kita akan memberi kesan kepada tujuh generasi kita pada masa hadapan.

Ini bermakna, kita haruslah menjadi penjaga bumi ini, bukan sahaja untuk kepentingan kita, tetapi juga bagi mereka yang akan mewarisi bumi ini. Kita percaya bahawa prinsip ini merupakan sebuah prinsip yang kukuh yang memberi panduan dalam menjalankan polisi dan amalan kita dalam penjagaan alam sekitar. Seterusnya, inait ini juga menyifatkan alam sebagai benda hidup. Bahawa setiap benda hidup, bernafas dan hidup seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan termasuk batu, tanah dan air (sungai) – semuanya berdoa untuk kita (manusia) juga.

Lama sebelum istilah kontemporari seperti “ekonomi hijau” dan “kemampanan” merupakan istilah yang digunakan dengan biasa, masyarakat pribumi lebih awal percaya dalam kehidupan seimbang dengan seluruh alam. Dengan itu, kita harus memahami hubungan kita dengan seluruh kehidupan dan cuba dengan sedaya upaya kita untuk hidup seimbang dengannya.

Aspek ketiga yang terkandung dalam inait tersebut melihatkan nilai hormat-menghormati, rendah diri dan toleransi sebagai nilai-nilai yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian. Walaupun nilai hormat, rendah diri dan toleransi bukanlah nilai yang ekslusif kepada masyarakat pribumi sahaja, namun dalam konteks pembangunan lestari, nilai-nilai ini amat berguna.

Dalam undang-undang asas atau prinsip kebanyakan masyarakat pribumi, aspek hormat amatlah perlu untuk melengkapkan dan mengseimbangkan hubungan. Justeru, adat ‘sogit’ (penebusan) adalah teras kepada nilai hormat menghormati ini. Adat yang termaktub dalam Undang-Undang Anak Negeri ini, bukan sahaja terpakai untuk hubungan sesama manusia tetapi juga dengan alam.

Dalam hubungan kita dengan alam sekitar, dalam masyarakat, ataupun dalam kehidupan peribadi kita, tanpa maruah diri dan rasa hormat terhadap orang lain, kita akan membawa diri kita kepada perasaan ketidakseimbangan, ketidakpercayaan dan kebencian. Dengan nilai hormat, kita menghargai kesambungan semua benda hidup dan peranan kita yang tidak boleh diketepikan dalam lingkungan kehidupan.

Nilai Pribumi Berteraskan Alam Sekitar

Sememangnya, cara masyarakat mendekati pengurusan sumber alam merupakan refleksi nilai, etika dan cara mereka mendefinisi serta mengukur kualiti kehidupan mereka. Jika nilai masyarakat ini telah disemai dengan nilai-nilai egoistik, etika antroposentris dan kefahaman kualiti kehidupan yang berasaskan keinginan materialistik – perspektif sebegini telah menyebabkan sumber alam untuk dieksploitasi dengan tidak bertanggungjawab.

Budaya pribumi mungkin mewakili sumber alternatif nilai alam sekitar kepada orang-orang materialistik yang dominan. Para penyelidik telah menyatakan bahawa daripada segi sejarah, budaya pribumi didorong oleh nilai-nilai yang berteraskan alam sekitar serta holistik, dan pandangan yang tidak bersifat materialistik terhadap dunia.

Untuk menangani konseptualisasi nilai-nilai alam sekitar sebagai atribut biofisikal alam sekitar, telah dicadangkan bahawa nilai-nilai yang berkaitan dengan alam sekitar, haruslah dipertimbangkan sebagai nilai-nilai manusia, dan seterusnya nilai perseorangan dan dikongsi dalam masyarakat atau kepercayaan masyarakat terhadap signifikan, kepentingan dan kesejahteraan alam sekitar dan bagaimana alam semula jadi harus dipandang dan dianggap oleh manusia.

Nilai telah dikaitkan dengan ‘environmentalisme’. Teori nilai-kepercayaan-norma berkaitan dengan alam sekitar dan perlakuan mencadangkan bahawa nilai mempengaruhi pandangan dunia kita terhadap alam sekitar (kepercayaan umum). Ini seterusnya mempengaruhi kepercayaan mengenai akibat perubahan alam sekitar atas perkara-perkara yang dihargai, yang seterusnya mempengaruhi persepsi kita terhadap keupayaan kita untuk mengurangkan acaman terhadap perkara-perkara yang kita hargai. Dengan demikian, ianya mempengaruhi norma kita dalam mengambil tindakan.

Prinsip Alam Sekitar Pribumi

Berdasar kepada nilai-nilai orang pribumi, terdapat lima prinsip yang mendorong cara kita harus berfikir mengenai alam sekitar dan bertindak ke atasnya dan sumbernya. Prinsip tersebut adalah:

  1. Alam sekitar penting disebabkan oleh kaitannya dengan manusia, kini dan masa lampau serta hadapan;
  2. Adalah penting untuk mengikuti ajaran yang telah dikurniakan oleh nenek moyang sebagai cara menghormati tradisi dan mengambil tindakan yang mencukupi untuk memelihara alam sekitar;
  3. Kita adalah alam dan alam adalah kita: kita bersatu dan kenalpasti dengannya;
  4. Kesihatan dan kesejahteraan berkait intim dengan alam sekitar dan kebergantungan kepadanya;
  5. Alam sekitar menyediakan rezeki, dari segi sara hidup dan aktiviti-aktiviti berasaskan upah, namun kita perlu menggunakannya dengan sewajarnya dalam cara mampan.

Pengajaran ini membolehkan kita untuk lebih mengintegrasi nilai-nilai pribumi dalam kehidupan kita dan ke dalam agenda pembangunan mampan. Ianya lahir dari alam di sekitar kita dan daripada pengalaman dan wawasan masyarakat orang pribumi kita.

-- BERNAMA

Oswald Timothy Edward merupakan Pensyarah Kanan (Pengurusan Risiko), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA, Johor

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)