Oleh : Dato' Muhammad Haizuan Rozali
Pelantikan Ahli Parlimen Bera, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 bakal menjanjikan kawasan tersebut mendapat limpahan perhatian serta pembangunan. Sebagaimana sebelum ini berlakunya impak kepada beberapa kawasan Parlimen yang diwakili Perdana Menteri. Mengambil contoh kawasan parlimen mereka seperti Kubang Pasu, Kepala Batas, Pekan, Pagoh yang telah mendapat limpahan pembangunan secara ketara.
Dengan keluasan 2,2144.44 kilometer persegi daerah itu sangat perlu kepada program transformasi untuk menjadikan Bera berwajah baharu dan kompetetif setanding dengan bandar-bandar utama lain di negara ini. Ekonomi sara diri penduduk yang bercorak agraria perlu pengolahan yang lebih berdaya saing supaya menjadi daerah yang strategik serta mempunyai kepentingan lokaliti di tahap nasional.
Potensi Bera
Resam lama ekosistem kehidupan masyarakat Bera perlu dijajarkan kembali. Sumber persekitaran semulajadinya dengan lembaran baharu mercu politik warga Bera adalah anugerah kepada daerah itu. Demografi sosial di antara kelompok tradisional dengan migrasi penempatan FELDA telah membina keunikan tersendiri dalam konteks budaya kehidupan toleransi sebagai masyarakat yang memiliki ‘silang budi’ yang sangat mesra.
Rujukan dan kesohoran daerah itu dengan kewujudan Tasik Bera, tasik air tawar terbesar di Malaysia dan sebagai Tapak Lembab Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) telah meletakkannya dalam peta dunia sebagai tapak eco-park menjadikan Bera berpotensi untuk maju.
Mengenali Bera sudah pasti perlu memahami ritma kehidupan populasi yang saling berkaitan dengan kedamaian di persekitarannya. Mengekalkan show case keunikan sumber pribumi dan aktiviti tempatan dengan pengisian pembangunan baharu mampu menjadikan kawasan parlimen itu sebagai satelit pendesaan pintar yang seimbang.
Pembangunan bakat muda
Penulis berpandangan bahawa sandaran utama kemajuan Bera sangat bergantung kepada pembangunan pendidikan dalam kalangan generasi muda. Dengan lembaran baharu ini, landskap politik Bera yang menerajui nasional akan dapat mengukuhkan semula perancangan menjadikan Bera sebagai hab utama pendidikan kemahiran dan teknikal negara amnya, dan Pahang khasnya. Inisiatif awal telah dijelmakan sebelum ini dan perlu diperkasakan semula dengan meluaskan skop serta penyertaan oleh education provider peringkat nasional dan antarabangsa.
Dalam menyokong usaha ini amatlah perlu diwujudkan sebuah yayasan khas dan gerakan menjana endowment untuk membangunkan bakat dan pendidikan anak muda Bera. Usaha perlu laksanakan untuk membangunkan motivasi pencapaian mereka agar dapat meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam kalangan generasi itu. Hal ini supaya inisiatif pembangunan yang sediakan itu akan dapat diteruskan oleh warga tempatan selaku pemain dan peneraju utama.
Gabungan program baharu re-entry programs yang tertangguh perlu penjajaran semula. Inisiatif ini perlu dijadikan critical mass untuk pembangunan modal insan dan ekonomi persekitaran. Mengembalikan elit pemikir setempat untuk memanfaatkan peluang semasa harus digerakkan segera agar Bera dapat dimajukan secara kolektif. Bera sangat wajar menjadi wilayah sehenti untuk pendidikan kepada masyarakat setempat dan luar.
Bidang edu-tech dan eco-tourism dilihat mempunyai potensi yang cukup besar jika dimanfaatkan. Segala prasarana pembangunan telah tersedia. Dengan siapnya jambatan Guai yang berharga RM98.5 juta, Bera berada di laluan strategik di antara pantai timur dengan pantai barat. Dengan kemudahan seperti institusi pendidikan sekolah dan perkhidmatan kesihatan sedia ada menjadikan daerah itu setanding dan mungkin lebih maju berbanding kawasan parlimen lain.
Teras pembangunan Bera wajar dijadikan wilayah pembangunan yang berintergrasikan kemajuan pendidikan dan pemikiran di samping pembangunan fizikal. Kebersamaan iltizam politik pembangunan untuk mengangkat kemajuan Bera perlulah menjadi keutamaan di era Perdana Menteri Malaysia ke-9 ini.
Peluang melonjak potensi Bera
Intrik untuk melonjak kemajuan Bera dengan deras bukannya atas kepentingan politik semata-mata malah ingin melahirkan pemikiran pembangunan yang jelas dan kena dengan citarasa sebenar masyarakat setempat. Ini adalah kebersamaan hasrat terpendam selama ini kepada warga orang asal, tradisional, migrasi perladangan, Cina dan India di Bera.
Melancarkan hasrat ini juga memerlukan sistem penyampaian peringkat pentadbiran daerah dengan lonjakan baharu. Penyediaan perkhidmatan perlu ditransformasikan kepada penawaran perkhidmatan. Pentadbiran yang dinamik akan mempercepatkan lagi pertumbuhan sosioekonomi yang begitu didahagakan oleh masyarakat setempat.
Sejauh mana kesempatan ini dapat dimanfaatkan oleh warga Bera sangat bergantung kepada pautan kebersamaan semua lapisan kepemimpinan masyarakat setempat. Kompleksiti sedia ada bukanlah halangan. Peluang seumpama ini sentiasa dinantikan oleh wilayah lain dalam dunia apabila warganya menjadi pemimpin utama negara.
Sebagaimana kebanggaan warga Mt. Albert Aukland dengan karisma Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern; wilayah Delaware dengan kemunculan Joseph Robineete Bidin Jr. sebagai Presiden Amerika Syarikat, wilayah Mindanao dengan lahirnya Rodrigo Duterte, Presiden Filipina dan juga wilayah Solo yang sinonim dengan Jokowi sebagai Presiden Indonesia. Lokaliti pemimpin itu sentiasa terkait dengan impak pembangunan, wilayah tumpuan dan peta sejarah negara dan dunia. Dalam hal ini, tentunya Bera bakal menjadi jenama baharu yang akan diteroka dengan lebih aktif dan pantas.
-- BERNAMA
Dato' Muhammad Haizuan Rozali ialah Pendaftar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.